Theflowersellingboy

Isnin, 22 Ogos 2016

"Kami Bersetuju, Dato' Seri".




Jika ada orang bertanya siapakah yang akan menang dalam pertarungan politik, diantara mantan PM Mahathir dan geng, dan PM sekarang Najib, dan geng. 
 
Apakah jawapan anda?
 
Sebelum anda mahu memberi jawapan, saya tetapkan terlebih dahulu jajaran yang perlu anda patuhi. Bahawa bagi saya pertempuran antara dua PM ini (mantan dan semasa) adalah satu pertempuran politik, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.
 
Ertinya jika kedua-dua belah pihak termasuk para penyokong mereka , begitu teruja mendakwa bahawa pertempuran mereka adalah demi rakyat dan bagi kepentingan negara, maka ketawakanlah saja sampai gusi anda menjadi kering, dan ketawakanlah dengan suara yang terbahak bahak.
 
Ya, saya sudah sekian lama ketawa terbahak-bahak. Sekarang sudah masuk ke peringkat meluat dan menyampah.

Oleh yang demikian anda jangan sekali-kali cuba menggunakan masa anda walaupun sesaat cuma untuk mencari atau memberi jawapan dengan melihat dari segi nilai kebenaran. Siapa yang benar dan siapa yang salah, bukan satu kiraan dan pertimbangan politik.

Anda akan kecewa jika kebenaran yang anda mahu cari!

Anda jawablah sendiri menurut jajaran yang saya tetapkan diatas.
 
Jawapan saya begini:
 
Bagi saya pertempuran mereka itu adalah bagi memilikki sesuatu  demi kepentingan, kelangsungan kedudukan mereka agar hidup mereka di dunia berterusan selesa dan selamat.

Di Malaysia, memiliki kuasa politik, dengan apa cara sekalipun, adalah segala-galanya. Ianya puncak yang perlu direbut dan ditawani terlebih dahulu. Bahkan wang yang dipercayai adalah segala-galanya juga adalah perlu bermula dengan penguasaan politik.
 
Tiada kuasa politik dipuncak, 
i) Lupakan saja kuasa ekonomi. 
ii) Lupakan saja untuk menjadi orang kaya dan hidup bermewah melampaui rezeki yang halal. 
iii) Lupakan saja untuk mendapat pengikut dan penyokong yang bersuara lantang lagak berani mati  dan tanpa malu-malu membela apa saja tindak laku walaupun bersifat  keji dan batil. iv) Lupakan saja untuk mendapat pengikut dan penyokong yang berpendidikan tinggi, berpengetahuan dan berilmu bertukar menjadi manusia yang tidak rasional, menghina dan merendahkan martabat ilmu mereka.
v) Lupakan saja untuk bertindak sesuka hati melampaui peraturan dan undang-undang. 
vi) Lupakan saja para dermawan yang dengan rela hati menghulurkan bantuan dan pertolongan. 
vii) Lupakan saja dari terlepas tuduhan, siasatan dan diheret ke muka mahkamah atas dakwaan melakukan kesalahan yang terang lagi nyata.
viii) Lupakan saja untuk menghimpunkan orang dalam bilangan sejauh mata memandang untuk hadir mendengar temberang dan penipuan. 
ix) Lupakan saja untuk menunjukkan sifat baik hati dan pemurah dengan menabur budi dalam berbagai bentuk dan cara, dan membiayai kos bagi hal-hal yang memang di tunggu dan diharap-harapkan oleh ramai orang walaupun sekali dalam seumur hidup mereka.
 
Hanya dengan anda berada dipuncak kuasa politik, lupaan-lupaan diatas akan terkubur dengan sendirinya. Anda akan dapat segala-galanya jika anda dipuncak kuasa politik. 
 
Yang paling menakjubkan dan menyeronokkan ialah  anda mampu menjadikan orang bodoh menjadi lebih bodoh dan yang pandai boleh bersedia untuk menjadi dungu. 
 
Cuma perlu diingatkan bahawa ketakjuban itu hanya boleh berlaku di Malaysia saja. Tidak di Jepun. Tidak di Korea. Tidak juga di negara-negara barat yang selalu kita cap sebagai negara kafir yang rendah moral.
 
Saya percaya anda masih lagi belum ketemu jawapan saya iaitu siapakah yang menang dalam pertempuran politik antara Mahathir dan Najib. Sebenarnya saya telah secara tidak langsung telah menyatakan pemenangnya.
 
Antara Mahathir dan Najib tidak ada beza, dilihat dari segi politik. Kedua-dua berada dipuncak kuasa politik. Kedua-dua menggunakan kuasa politik melampaui etika dan konvensyen amalan politik dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Dengan sebab itu kedua-dua boleh berkata, "Aku punya sukalah".

Ertinya kedua-duanya adalah pemenang politik. Namun oleh kerana ketika ini Najib berada dipuncak kuasa politik, pertempuran politik dengan Mahathir sudah semestinya akan dimenangi oleh Najib. Kerana Najib  pada ketika ini boleh berkata, "Aku punya sukalah". Dan ramai pula dari berbagai latarbelakang yang akan berkata , "Kami bersetuju, Dato' Seri".
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan