Theflowersellingboy

Isnin, 5 September 2016

MAHATHIR SALAM ANWAR




Mahathir salam Anwar setelah 18 tahun tidak bersalaman. Satu berita yang viral ketika ini.
 
Saya katakan bahawa Mahathir yang salam Anwar, bukan Anwar salam Mahathir. Mereka bersalaman setelah salam Mahathir disambut oleh Anwar. Ertinya Mahathir mencari Anwar. Itu adalah tafsiran saya. Saya tidak nampak ianya salam perdamaian atau saling maaf memafkan.
 
Untuk tujuan apa?
 
Sudah tentu salam Mahathir itu bukan salam persahabatan. Bukan juga salam mengunjungi seorang sahabat yang lama tidak bersua muka untuk bertanya khabar. Tidak juga salam untuk menyatakan rasa kesal diatas apa saja kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukannya terhadap Anwar, jauh lagi untuk mohon kemaafan. Ertinya bukan salam yang menyangkut hati demi menyambung kasih sayang, buang yang keruh ambil yang jernih.
 
Setakat sekarang , seperti yang boleh dilihat dari riak wajah dan kata-kata Mahathir, salam yang dihulurkan bukan bagi tujuan untuk berdamai dan menyambung semula persahabtan yang telah menjadi rosak semenjak 18 tahun yang lepas.
 
Salam Mahathir adalah salam untuk memudahkan kerja beliau bagi mencapai matlamatnya untuk menjatuhkan PM Najib. Dan sekarang ditambah lagi untuk mengalahkan UMNO/BN dalam PRU 14.
 
Setakat sekarang apa yang beliau dan geng lakukan bagi menjatuhkan PM Najib nampaknya belum begitu berkesan. Kata orang, beliau sudah terdesak, memerlukan bantuan dari mana-mana dan siapa saja dalam misinya untuk menjatuhkan Najib dan mengalahkan UMNO.
 
Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Mahathir menghalalkan cara untuk mencapai matlamat itu walaupun cara itu amat berat untuk beliau lakukan.
 
Menghadiri mahkamah untuk bersalaman dengan Anwar bukan satu perkara yang mudah untuk hati beliau bersetuju. Beliau menelan ego dan kebencian yang masih ada terhadap Anwar demi satu tujuan iaitu menjatuhkan Najib. Apa saja yang dilakukan oleh Najib misalnya dalam kes Undang-undang MKN, jika dapat dihalang, beliau akan merasa satu kejayaan. 
 
Dan apabila Anwar mengemukakan injunksi bagi undang-undang MKN ini, Mahathir nampak ianya satu peluang untuk bekerjasama dengan Anwar. Maka berlakulah salam di mahkamah yang dihulurkan oleh Mahathir dan disambut oleh Anwar.
 
Saya tidak hairan mengapa Anwar menyambut salam Mahathir. Anwar sebenarnya telah lama memafkan Mahathir. Tetapi rakyat belum tentu memafkan Mahathir atas kezaliman dan salah guna kuasa semasa memerintah selama 22 tahun.
 
Jadi apabila Mahathir sendiri datang ke mahkamah untuk bersalaman, ianya bukan satu perkara yang pelik bagi Anwar. Salam disambut.
 
Bagimana pula pendapat dan tafsiran anda tentang salam yang dilakukan oleh dua pemimpin ini.
 
Bagi saya, Mahathir masih lagi tidak mahu menyatakan kekesalannya terhadap apa yang telah dilakukan keatas Anwar. Egonya dalam hal ini terlalu tegar untuk diketepikan. Saya tidak tahu sampai bila Mahathir akan menyatakan kekesalannya itu dan mohon maaf dari Anwar dan keluarga. Sesungguhnya saya amat mengharapkan perkara itu berlaku. Hanya Allah yang maha mengetahui.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan