Theflowersellingboy

Ahad, 3 Mei 2020

COVID 19 : Musibah dan Hikmah




Berbuka puasa hari ini, kita telah melepasi hari yang ke sepuluh , dan memasuki yang ke sebelas. Alhamdulillah, ianya berjalan dengan baik. Mengharapkan amal ibadat diterima Allah SWT.

Puasa tahun ini terlalu istimewa sekali berbeza dengan tahun tahun yang berlalu. Kita bukan saja diuji dari segi menahan diri makan minum dan segala hawa nafsu yang lain mulai subuh hingga maghrib, tahun ini kita diuji dengan ketahanan diri dalam menghadapi musibah kuman covid 19.

Soal berlapar dan berhaus serta menahan hawa nafsu yang lain, rasanya bukan sesuatu yang kita tidak mampu melakukannya.

Tetapi menghadapi covid bukan perkara yang mudah. 

Ia memerlukan gabungan kekuatan pemerintah dan rakyat. Lemah rakyat, berjayalah covid untuk kekal lama sebagai wabak yang meragut nyawa. 

Begitu juga, pemerintah yang tidak mantap dan goyah tidak mampu  mengaturkan berbagai program dan tindakan yang berkesan untuk melawan wabak ini. 

Namun rakyat wajar bersyukur , kerana kita mempunyai perkhidmatan awam yang berdidikasi , berkhidmat penuh semangat menghadapi risiko maut dalam berdepan dengan covid ini. Sewajarnya khidmat bakti penjawat awam ini , kesemuanya sekali, dari semua peringkat, sama ada di barisan hadapan atau yang lain wajar  dihargai.

Dari penjawat awam am seperti penyampai dan pelaksana berbagai perkhidmatan termasuk kesihatan dan perubatan dan penjawat dari sektor keselamatan yang terdiri polis dan tentera, dan berbagai lagi pasukan beruniform, tabik hormat wajar diberikan kepada mereka. 

Ucapkanlah, "TERIMA KASIH" kepada mereka.

Sesungguhnya, bagi saya, covid ini ada hikmah kepada penjawat awam. Sebelum musibah ini, kita telah berhadapan dan mengalami berbagai musibah dalam berbagai bentuk. Dan penjawat awam terlibat sama.

Dalam bersama sama menghadapi musibah seperti bencana alam, berbagai wabak penyakit, kemelesetan ekonomi dan penyelewangan kekayaan negara seperti rasuah dan salah guna kuasa, penjawat awam sentiasa tidak terlepas dari penilaian dari rakyat dan ahli pentadbiran (ahli politik yang mentadbir negara).

Ya, ada penilaian yang positif dan ada yang negatif demi kebaikan penjawat awam itu sendiri. Ianya bukan satu isu yang boleh melemahkan ketekunan penjawat awam untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

Namun begitu ada juga kritikan kritikan yang kadang kadang tidak berasas kepada penjawat awam, dari rakyat dan ahli pentadbiran itu sendiri apabila berlaku sesuatu hal yang diluar kawalan penjawat awam dalam menyampaikan sesuatu perkhidmatan. Contoh kekurangan peruntukan bagi menyediakan peralatan dan kelengkapan yang boleh memberi keselesaan kepada rakyat termasuklah kekurangan bekalan ubat ubatan.

Keadaan seperti diatas sudah tentu menimbulkan keresahan kepada rakyat untuk mendapat perkhidmatan yang terbaik. Sebagai barisan hadapan, penjawat awamlah yang menerima segala rasa tidak puas hati dari rakyat. Tambahan lagi jika ada pertuduhan dan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dikalangan penjawat awam walaupun ianya sebagai tuduhan tanpa bukti yang nyata.

Kalau setakat itu ianya masih tidak melunturkan semangat penjawat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Namun ada satu perkara yang amat mendukacitakan yang dihadapi oleh penjawat awam. Perkara ini telah menjadi satu beban dan amat menyakitkan hati kepada penjawat awam yang bertugas dan memberi perkhidmatan dengan ikhlas. Beban dan hal yang amat menyakitkan hati ini telah berlaku dari dulu sehingga kehari ini.

Apa yang sangat menjadi beban dan menyakitkan hati itu?

Dari mata ahli ahli pentadbiran termasuk orang orang politik , penjawat awam ini adalah berkhidmat 'for political master'. Sebab itu kata kata 'to serve your political master', sudah semacam diterima oleh penjawat awam. 

Hubungan antara penjawat awam dan ahli pentadbiran bukan sebagai kawan kongsi yang mempunyai kepentingan yang sama iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat. Penjawat awam tidak dianggap sebagai pemegang taruh yang sama (stake holder). Penjawat awam hanya alat atau melakukan tugas hanya bagi menurut perintah saya. 

Perintah dari siapa? Perintah dari orang politik yang ada kuasa dengan panggilan sebagai perdana menteri atau menteri dan yang sejenis dengannya. 

Mengapa jadi pak turut?

Sebab setiap penjawat awam menjalankan tugas dengan pengakuan 'Saya Yang Menurut Perintah'.  

Maka sebab itulah pejawat awam ini menjadi tempat untuk dibebankan segala kesalahan atau kesilapan atau kelemahan yang tidak dilakukannya walaupun penjawat awam itu sendiri menandatangani surat bagi menyampaikan sesuatu keputusan atau mengaturkan sesuatu tindakan.  Jadi kambing hitam.

Dari dulu sehingga sekarang hal yang sama terus berlaku. 

Tidak mengapa. Pada ketika covid ini penjawat awam telah membuktikan bahawa mereka mempunyai tangungjawab dan moral yang tinggi dalam menangani wabak covid ini  berbanding dengan beberapa ahli pentadbiran. 

Dengan demikian covid 19 ini telah memperlihatkan bahawa penjawat awam adalah sebahagian dari kawan kongsi dalam menguruskan isu isu negara dan tidak perlu diperlekehkan dan dijadikan sebagai kambing hitam. Hargai dan hormati mereka. Keberadaan mereka bukan 'to serve political master'. Mereka bersama sama berkhidmat bagi kepentingan rakyat dan negara.

Lihat dan renunglah wajah Ketua Pengarah Kesihatan setiap kali beliau menyampaikan perkembangan tentang kedudukan covid. Wajah dan kata kata beliau adalah cerminan kepada kesungguhan setiap dari penjawat awam.

Oleh itu ahli pentadbiran dan orang politik yang masih lagi menganggap diri sebagai 'tuan politik' dalam hubungan dengan penjawat awam, berhentikan segera perangai sombong itu. Penjawat awam bukan kambing hitam yang enak saja ditarik telinganya apabila berlaku kelemahan dan kesalahan dari ahli pentadbiran dan orang politik.

Terima kasih covid 19 kerana musibah yang kau bawa ada hikmah kepada penjawat awam. Dalam bertungkus lumus menghadapi dan melawan mu, kau telah membuka mata dan hati rakyat Malaysia bahawa penjawat awam mempunyai kepentingan dan kedudukan sebagai pemegang taruh (stake holder) dalam memaju dan memakmurkan negara.






















Tiada ulasan:

Catat Ulasan