Theflowersellingboy

Rabu, 22 April 2020

JANGAN JADI PENTAKSUB: KESANNYA TIDAK BAIK.




Taksub? 

Tidak sesekali. Sebab Allah telah mengurniakan otak untuk digunakan sebaik baiknya, menfaat sebaik baiknya kearah yang diredhai Allah, sudah tentu dengan pertolongan dan izin Allah.

Bukankah Allah sentiasa bertanya: Tidakkah kamu mahu berfikir?

Maknanya Allah mahukan kita sentiasa gunakan otak untuk berfikir. Jangan sia siakan  kurniaan Allah yang berharga ini.

Mengapa saya timbulkan perkataan taksub pada hari ini?

Perkataan yang sama tetapi mendapat sikap dan tafsiran yang berbagai mengikut pemahaman dan kecenderungan seseorang. Saya juga mempunyai fahaman sendiri tentang taksub yang mungkin berbeza dengan orang lain.

Taksub adalah sikap yang terbentuk hasil dari pemikiran yang melampau . Dia percaya  bahawa tiada lain yang benar selain yang dia percaya dan tiada yang salah selain yang dia tidak suka. Kalau bermula dari titik kiri, selama lamanya di kedudukan yang sama dan begitu juga sebaliknya.

Katakan dia percaya A atau sesuatu kaum atau puak atau sesiapa sahaja sebagai baik maka selama lamanya dia akan tetap mengatakan pihak yang itu sebagai baik. Tiada yang baik selain dari itu walaupun dia tahu bahawa sesiapa sahaja ada kekurangan dan kelemahan. Pada ekstrim yang lain, pihak yang dia tidak suka akan selama lamanya dia katakan sebagai jahat atau mempunyai sisi sisi kelemahan disana sini. Tiada langsung yang baik.

Itulah pentaksub namanya.

Taksub ini boleh berlaku terhadap individu, puak, kumpulan, bangsa, parti politik dan agama. Taksub adalah disebabkan ada pengaruh. Kekuatan pengaruhlah yang menyebabkan timbulnya ketaksuban kerana  terlalu yakin atas kelebihan seseorang, puak , bangsa , kumpulan atau parti politik keatas yang lain.

Individu yang mempunyai karisma, pemimpin negara dan politik adalah individu yang selalu menjadi individu yang ditaksubi atau mungkin menjadi mangsa kepada ketaksuban ini. 

Dalam negara kita pemimpin seperti Tun Mahathir, Anwar Ibrahim, Najib Razak , Haji Hadi, Lim Kit Siang dan banyak lagi adalah individu yang tidak mudah terlepas dari menjadi ketaksuban mana mana pihak sama ada dialu alukan atau sebaliknya.

Menyebut nama nama diatas tidak bermakna saya taksub keatas mereka atau salah seorang dari mereka. Tidak dan tidak selama lamanya. Tetapi saya mempunyai kecenderungan keatas penguasaan ilmu, teladan yang dipamirkan,  asas perjuangan parti politik yang dipimpin, penampilan keperibadian diri dan keluarga  sebagai asas sokongan saya dalam membuat sesuatu keputusan politik walaupun saya bukan ahli politik parti berkenaan. Itu sahaja.

Jika tidak benar katakanlah tidak benar. Jika mungkir janji katakanlah mungkir janji. Jika perasuah dan dibuktikan sebagai perasuah, dan kalaupun tidak terus mahu mengaibkan perasuah itu usahlah menyokong dan mempertahankan perbuatan itu, tidak kira dia dari puak atau parti, bangsa atau yang seagama dengan kita. 

Dan jangan pula kelemahan sendiri sama ada secara peribadi atau atas nama bangsa dan parti dialihkan kepada pihak lain dengan memainkan emosi disebabkan ketaksuban yang ada pada diri. 

Jangan tipu pada diri sendiri, ianya merugikan pada masa jangka panjang kerana membudayakan hal hal yang batil dan bukan yang hak yang terus mendaging sehingga menjadi ikutan generasi akan datang. 

Jangan jadi pentaksub.

Saya akhiri bicara ini dengan secebis kisah yang melibatkan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimana ada individu yang berpengaruh yang telah melanggar PKP telah dipertahankan oleh seorang bergelar ustaz dengan mengatakan individu yang melanggar PKP itu sebagai ada iman dalam hati kerana individu itu telah mohon maaf. Difahamkan ustaz itu dalam parti politik yang sama dengan individu yang melanggar PKP. 

Itulah perangai pentaksub. Ini pentaksub peringkat rendah sahaja. 


Oleh itu jangan jadi pentaksub.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan