Theflowersellingboy

Selasa, 26 Mei 2020

DEBAB DEBUB DEBAB DEBUB DEBAB DEBUB : Nasib Baik Jantung Saya Masih Berdebab Debub.




Saya selalu terfikir dan berangan angan untuk menulis sebuah cerita, sebuah novel konon, tentang pengkhianatan dalam sebuah persahabatan. 

Bagi saya cerita tentang pengkhianatan dalam persahabatan ini bukan perkara baru, sudah sedia ada pengalaman. Tapi pengkhianatan yang saya nak tulis, atau berangan angan untuk tulis ini adalah amat luar bisa sekali. Ianya satu norma baru dalam pengkhianatan. Kesan pengkhianatan itu amat meluas sekali. Deritanya, merananya , sakit hatinya alang kepalang sekali. Bukan satu, tidak juga dua, seribu pun terlalu kecil bilangan penderitanya, yang jadi mangsa.

Tapi saya ada satu isu yang menjadi penghalang sekian lama yang masih belum mampu diatasi. Dari mana titik mulanya ceritanya. Apakah perkataan pertama yang mampu menggerakkan perkataan lain untuk membentuk ayat ayat bagi menerus dan menamatkan cerita. Tentang isi cerita, plot dan cara cerita, rasanya bukan satu isu besar.  

Cukup. Sekadar itu. Buat sementara waktu berhentikan angan angan menjadi penulis sebuah novel, konon! Bicaralah soal dibawah ini.

Saya mendapat maklumat yang mendebarkan hati. Macam mana ni. Boleh percaya? Mungkin itu fake news. Satu yang biasa dari dulu. Kini serupa juga, berita palsu mendahului berita benar dan sahih, dialam maya.

Tapi kalau ianya berita sahih dan benar? 

PM dikurantin. Covid punya fasal. Tapi masih negatif. Alhamdulillah.

Tapi. PM pengidap penyakit kanser. Adakah termasuk dalam istilah penyakit kronik seperti kencing manis , sakit jantung, darah tinggi dan sakit buah pinggang? Rasanya begitu, saya mengesahkan sendiri.

Debaran jantung semakin kuat. Apa akan jadi? 

Tapi setakat ini PM hanya dikurantinkan sahaja. Kesihatan beliau dari sudut serangan covid masih positif. Dia  masih negatif covid. Tiada apa yang perlu dirisaukan.

Dalam tempoh kurantin selama 14 hari, beliau masih lagi PM , meneraju kepimpinan negara. Dalam zaman digital dan komunikasi dihujung jari, ruang kurantin bukan hal yang boleh menyekat penyampaian dan penerimaan segala maklumat , tiada isu tentang timbal balik, inisiatif dan reaksi. Boleh sahaja mengarah dan membuat keputusan. Beres.

Tapi. Ada lagi tapi. Pergerakan fizikal PM jadi terbatas dalam ruang kurantin. Langkahnya terhad setakat seluas ruang kurantin itu. Itupun hujung jari kakinya tidak mampu memijaki setiap tepi dinding ruang kurantin. 

Ya, PM tidak mampu bergerak lebih dari itu. Bukan kerana tiada tenaga disebabkan hidapan kanser tapi itu sahaja ruang yang telah ditentukan Allah baginya semasa dalam tempoh kurantin. Apatah lagi untuk membuat langkahan seperti yang telah dilakukan bergerak menuju hotel Sheraton, tidak beberapa lama dulu. Ingatannya masih segar tentang langkah yang meletakkan dia sebagai PM.

Aduh, debaran jantung saya datang semula. Debab debub debab debub kencangnya mengatasi kebiasaan. Satu norma baru dalam persekitaran politik kerajaan berbagai jenama. 

Kerajaan yang diwujudkan dengan berbagai jalan, kata pihak disebelah sana. Ada yang kata guna jalan pintu belakang. Ada yang tidak jumpa pintu lalu usaha memanjat dilakukan untuk masuk cara tebuk atap. Waduh, lagi satu norma baru.

Wah, apa lagi pihak yang disebelah sana dengan pantas seperti kilat menjenamakan kerajaan berbagai jalan ini sebagai KERAJAAN PENGKHIANAT MANDAT RAKYAT. 

Apa pun cara dan jenama yang diberikan, PM dengan rendah diri telah melakukan sujud syukur. Syukur ke hadrat Allah. Tapi saya tidak pasti apa doa yang telah dilafazkan oleh PM. Itu antara PM dengan Allah. 

Yang saya pasti melalui mata dan telinga sendiri, PM, dengan merendah diri dalam penampilan wajah yang tidaklah seceria seperti seorang yang baru dinaikkan tahkta sebagai perdana menteri, melafazkan kepada sekalian rakyat bahawa kerajaan pimpinannya adalah KERAJAAN TANPA RESTU RAKYAT.

Itulah yang sangat sangat saya bimbang dan risau ketika ini. Bukan kerana PM dikurantin sebagai sebahagian dari usaha memutuskan rangkaian covid. Rangkain covid adalah negatif  terhadap PM. Itu adalah sahih.

Bagaimana untuk mempertahankan sebuah kerajaan tanpa restu rakyat jika PM dalam keadaan kurantin, apatah lagi selama 14 hari. Sekerat hari pun, ianya satu peluang keemasan bagi pemain pemain politik meraih keuntungan, ianya satu laba. Dan bala kepada PM.

Pergerakan fizikal PM terbatas. Mata nya tidak nun jauh memandang. Telinganya kosong tanpa bisikan, syaitan mahupun insan.  Tiada simpton politik negatif atau positif yang dapat dinilaikan. Apa gula gula politik yang perlu difikirkan yang mampu mencair dan melembutkan hati untuk ditawarkan agar kerajaan tanpa restu rakyat ini perlu disepakatkan.

TIADA. KOSONG. ZERO.

PM tiada pilihan melainkan berada dalam kurantin.

Debab debub debab debub debab debub debab debub, denyutan jantung saya semakin kencang , menyambut  dan menyambung denyutan jantung PM yang berada dalam kurantin.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan