Theflowersellingboy

Rabu, 2 Oktober 2019

Panggilan Dari Seorang Kawan: Ianya Sungguh Mengesankan.




Ianya luar biasa. Maksudnya, menerima panggilan talipon dari seorang kawan, selepas bersara, yang tiada apa apa, adalah finomina luar biasa. Apatah lagi, bukan dari seorang kawan yang rapat, dulu dan kini.

Pada sebelah pagi, 1 Oktober, 2019, ketika itu saya sedang memikirkan sesuatu untuk dicatatkan sebagai paparan di blog ini, skrin vivo saya memaparkan nama seorang kawan.

"Apa hal dia talipon ni?" Ianya pertanyaan yang spontan. Tidak mengharapkan sesuatu.

Kawan tu bertanya khabar, tentang kesihatan. Dia bertanyakan sama ada saya tahu tentang kembalinya seorang kawan menemui Yang Maha Esa, beberapa minggu yang lepas. Katanya dah lama tidak ketemu.

Saya maklum akan berita sedih itu. Mengucapkan terima kasih atas ingatan menalipon saya. Menanyakan khabar.

Mungkin berita pemergian seorang kawan itu membuatkan tergerak dihatinya untuk membuat panggilan. Masihkah saya .......? (sangkaan) atau tidak sihat.  Maklumlah dalam usia siri 70an ini, kebarangkalian sangkaannya itu mungkin tidak kurang dari 50%.Sedangkan kawan yang telah pergi tu pun masih muda berbanding dengan usia saya.

Dulu dia bekerja dengan sebuah organisasi kerajaan. Tapi, mungkin tidak sejalan dengan kepimpinan politik, walaupun dari parti politik yang sama,  tempatnya dikosongkan untuk orang lain. Menganggurlah kawan itu buat beberapa waktu.

Saya tidak pasti status kerjanya sekarang. Bekerja sendiri atau bekerja dengan organisasi lain. Mungkin free lancer. Yang pasti dia bekerja dalam bidang binaan kerana dia beritahu ketika ini sedang menyiapkan infrastruktur satu projek pembinaan.

Doa saya untuknya agar berjaya dalam kerjayanya itu.

Panggilan talipon kawan saya itu tersangat memberi kesan kepada saya. Ianya satu peringatan agar saya juga mesti lalukan perkara yang sama. Hubungilah kawan-kawan yang ada. Rapat atau tidak rapat bukan satu pertimbangan. Asalkan ada number talipon atau cara mana boleh dihubungi, wajar saya lakukan.

Usah dikesal apabila panggilan  talipon tiada yang menjawab nanti. Atau jawapan yang diterima mengatakan 'arwah dah tiada lagi' atau  'ini isteri arwah' atau 'ini anak arwah'.

 Atau "Dah lama kami tak jumpa". Sesalan dari saya. 

Dalam beberapa kumpulan wasap--- alumni, kawan satu kelas. satu angkatan (semua pelajar tingkatan enam, bagi tahun tertentu ) dan banyak lagi, berita tentang kawan kawan yang telah mendahuli menemui Yang Maha Esa, sentiasa menjadi berita duka yang diiringi dengan ucapan takziah dengan berbagai cara.

Nampaknya siri 70an, siri saya dan kawan-kawan saya, seolah olah sedang berbaris menunggu giliran. Oleh itu nafas yang masih dapat keluar masuk ini, saya akan gunakan sebaik mungkin untuk sentiasa menghubungi kawan kawan, yang rapat dan kawan biasa, selagi ada cara dapat dihubungi.

Dan paling penting ialah kawan kawan yang  telah disakitkan hati mereka, secara sedar. Mohon kemaafan. 

Maklumlah semasa bekerja dulu, dengan sedikit kedudukan yang diamanahkan, kemungkinan untuk melakukan kesilapan dan menyakitkan hati kawan, bukan sesuatu yang boleh saya nafikan.

Terima kasih kepada kawan yang menalipon saya pada pagi itu. Ianya sungguh mengesankan.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan