Theflowersellingboy

Jumaat, 22 November 2019

Kita Perlu Pahlawan Yang Ada Liabiliti....Cukuplah Anakanda Sebagai Aset




Pada suatu hari seorang raja yang baru saja ditahtakan buat kali kedua memanggil rakyat jelatanya mengadap di balairong seri  untuk memberitahu rakyat sekalian bahawa dia perlu mencari tiga orang untuk dijadikan pahlawan negara yang taat setia yang tidak berbelah bagi. Raja itu ditemani oleh putera kesayangannya.

Maka dititahkan kepada rakyatnya bahawa sesiapa yang dapat mencari 3 orang yang taat setia yang tidak berbelah bagi itu akan dianugerahkan dengan gelaran Diraja Datuk Unggul Nan Gagah  Utama (DUNGU) dengan diiringi sepersalinan pakaian Diraja.

Maka bergembiralah seluruh yang hadir, bersorak tepuk tangan dengan laungan Daulat Tuanku, Junjung Kasih Tuanku dan Hidup Selama-lama Tuanku Yang Dikasihi.

Setelah suasana riuh rendah reda, Raja itu  bertitah lagi bahawa setiap orang yang mencari tiga pahlawan itu wajib menyediakan laporan tentang latarbelakang setiap pahlawan itu untuk dibentangkan dalam perjumpaan yang akan ditentukan dua minggu dari tarikh perjumpaan untuk mendapat perkenan raja.

"Kamu semua mesti menyediakan resume setiap orang yang dicadangkan untuk menjadi pahlawan untuk pertimbangan beta", Titah Raja itu. "Sekarang semua orang boleh bersurai dan buat kerja kamu segera", Sambung titahnya sebelum berangkat masuk kamar istana bersama puteranya.

Direngkaskan cerita, pada hari yang tetah ditetapkan mengadaplah rakyat di balairong seri , masing-masing hadir bersama dengan pahlawan yang dicadangkan beserta resume mereka untuk dibentangkan dihadapan raja.

Maka seorang demi seorang rakyat membentangkan cadangan masing-masing. 

Semua cadangan melaporkan sifat-sifat terpuji orang yang dicadangkan : seorang ikhlas, jujur, amanah, berbudi bahasa, dari keturunan yang baik-baik, taat pada Allah, gagah , pandai ilmu mempertahan diri dan tidak gentar menghadapi lawan dan taat kepada raja.

Raja mendengar kesemua pembentangan itu tanpa memberi reaksi yang menunjukkan minatnya terhadap orang yang dicadangkan untuk jadi pahlawan. 

"Ada sesiapa lagi yang mahu memberi cadangan?" Titah Raja.

Maka tampillah ke hadapan seorang yang wajahnya kelihatan pucat , berjalan membongkok diri mengadap raja untuk mempersembahkan cadangan.

" Ampun tuanku, beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Adapun orang yang patik hendak cadang untuk menjadi pahlawan tuanku tidaklah semulia sifatnya seperti yang tuanku dengar  dari pacal-pacal tuanku tadi. Gementar juga patik hendak menyatakan takut-takut menjadi kemurkaan kebawah duli tuanku".

" Beritahu, beta sedia mendengarnya", Raja meredakan ketakutan sipencadang itu.

"Ampun tuanku. Adapun orang itu telah melakukan berbagai jenayah. Sebut sahaja apa jenayah, dia telah melakukannya dan.....".

"Hahahahaha....itulah yang beta nak cari untuk menjadi pahlawan beta.", Raja ketawa besar sebelum sempat pembentang cadangan itu menyambung pembentangan.

Rakyat senyap, saling pandang memandang , kehairanan. Hendak bersuara takut dimurka oleh raja. Pembentang cadangan pun sama terkedu, mulut ternganga dan lidah kelu untuk berkata.

"Beta ucapkan terima kasih cadangan kamu. Beta terima cadangan kamu kerana tiada cacatnya. Seperti yang beta telah janjikan bahawa bermula hari ini kamu diberi gelaran DiRaja dengan Panggilan Datuk Unggul Nan Gagah Utama (D.U.N.G.U). Kamu boleh gunakan dalam apa sahaja dokumen dan surat menyurat.

Rakyatpun bersurailah, tiada kata-kata mengiringi langkah mereka, hanya terpinga-pinga melainkan yang telah bergelar Datuk Diraja : Datuk Unggul Nan Gagah Utama (D.U.N.G.U) yang berjalan tanpa membongkok lagi, tersenyum bangga.

Setelah semua rakyat meninggalkan istana, putera raja bertanya ayahandanya,

"Fasal apa ayahanda ambil orang jahat jadi pahlawan sedangkan ada orang baik yang dicadangakan?"

Raja ketawa terbahak-bahak sampai menepuk bahu puteranya dan berkata, "Banyak benda yang anakanda kena belajar jika mahu terus jadi raja. Orang jahatlah yang kita boleh gunakan untuk kepentingan kita untuk terus berkuasa. Kita boleh tarik hidungnya kemana sahaja kita suka dan bila-bila masa. Sebab dia ada masaalah".

"Tapi ayahanda, orang jahat menjadi beban kepada kita. Dia adalah liabiliti, bukan aset".

"Benar anakandaku. Untuk berkuasa dan terus berkuasa kita mesti pandai jadikan liabiliti sebagai aset kita. Kita 'turnaround' jadikan aset".

"Anakanda tak faham. Tapi anakanda patuh pada ayahanda".

"Bagus. Sikap patuh itu adalah aset bagi ayahanda". Mereka melangkah ke bilik santapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan