Theflowersellingboy

Rabu, 20 November 2019

BERMUHASABAHLAH SEKELIAN ORANG




PM Mahathir terus bertahan untuk terus jadi PM walaupun mengakui keputusan PRK Tg Piai yang mana PH (Bersatu ) kalah teruk, dan kekalahan itu ada kaitan langsung dengan kepimpinannya. 

Mahathir terus dengan retorik politiknya bahawa dia akan menunaikan janji untuk serah kuasa kepada Anwar seperti yang dipersetujui sebelum PRU 14 dan dengan lidah yang sama mengatakan bahawa belum sampai masanya untuk menyerahkan jawatan PM itu kepada Anwar.

Beliau konsistem menggunakan naratif yang membawa maksud yang sama bahawa beliau masih mahu terus memimpin, bahawa kekalahan di Tg Piai bukan sebab baginya untuk berundur.

Walaupun tanda atau alamat untuk beliau berundur telah terlalu jelas, pertama kekalahan teruk di TG Piai, diikuti dengan suara-suara menggesa beliau meletakkan jawatan dan serah kuasa kepada Anwar dari kalangan ahli dan pimpinan PH, beliau tetap meyatakan belum tiba masanya untuk berundur. 

Faktor lelah dan kurang tenaga fizikal atas sebab usia yang lanjut tidak langsung mematahkan keinginannya untuk bertahan. Apakah hidungnya yang berdarah sewaktu sidang akhbar dalam satu persidangan tidak dapat memberi sedikit masa baginya untuk memikirkan bahawa itu adalah satu petanda bahawa khidmat beliau telah sampai ke penghujung?


Muhasabahlah wahai Perdana Menteri ku yang telah banyak jasa kepada bangsa dan negara. Apakah peluang kedua yang telah diberikan ini masih tidak mencukupi? Apakah  yang hendak dibuktikan lagi? 

Tidak dinafikan bahawa ada gerakan, usaha dan suara-suara  yang menyatakan sokongan untuk Mahathir terus berkhidmat sehingga habis ke PRU 15. Tetapi apakah Mahathir yang mempunyai pengalaman berpolitik yang tidak ada tolok banding itu tidak mampu untuk menilai akan keikhlasan gerakan dan suara sokongan itu?

Siapakah mereka itu?

Mahathir tahu siapa mereka dan terlalu rapat dengan sebahagian dari mereka dan tahu apa tujuan mereka. Dan Mahathir juga tahu ada diantara mereka datangnya dari musuh politik ketat yang tak pernah sebulu dengannya, tetapi boleh sahaja menukar naratif politik dengan mempersembahkan dalil agama yang melunak serta meransang keinginan untuk kekal berkuasa dengan hujah antaranya  demi kepentingan bangsa dan negara serta institusi raja, bahawa DAP  satu dari komponen PH adalah komunis dan amat bahaya. 

Hahahahaha...orang ini macam nak memperbodohkan Mahathir.

Mereka adalah pihak yang tidak ikhlas dan jujur. Merekalah yang tidak bersetuju Mahathir menjadi Perdana Menteri jika PH menang kerana alasannya Mahathir sudah tua. Apakah Mahathir tidak tahu tentang ini? Atau sudah lupa?

Siapakah yang mencadangkan agar Mahathir usah lagi bergiat dalam politik kerana usia yang telah tua hanya layak berada di masjid dan duduk di atas tikar sejadah serta bermain dengan cucu. Sebab itu ada yang memberi gelaran PM ini sebagai 'Atuk' yang menjaga cucu. Mahathir hanya layak jaga klinik, satu lagi kata penghinaan. Sudah lupakah ini?

Mungkin semasa bersetuju bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, Mahathir sanggup melupakan kebenciannya terhadap Anwar atas sebab yang beliau sendiri tahu kerana semata-mata untuk menjatuhkan Najib. Begitu juga Anwar mempunyai tujuan yang sama, untuk menjatuhkan Najib, Ngam kesatuan niat mereka. 

Tanpa kerjasama diantara dua orang yang bermusuh ini, Najib dan BN tidak mungkin boleh dikalahkan.

Dan Anwar Ibrahim pula mensyaratkan bahawa kerjasama dengan Mahathir bukan setakat menjatuhkan Najib tapi lebih dari itu iaitu untuk meneruskan agenda Reformasi yang diperjuangkan. Mahathir tiada pilihan terpaksa bersetuju kerana untuk menjatuhkan Najib mereka mesti bekerjasama.

Akhirnya mereka bersetuju dikuti dengan perjanjian seperti yang dimaklumkan iaitu jika PH menang:

1. Mahathir jadi PM sementara, bukan sehingga PRU 15. Dua tahun lebih kurang.
2. Wan Azizah jadi TPM
3. Usaha mendapat pengampunan Anwar dari Agong dilakukan untuk membolehkan Anwar bertanding dan seterusnya jadi PM selepas Mahathir. 

Oleh itu apakah ada alasan lain atau sebab-sebab lain mengapa persetujuan yang telah dicapai itu menjadi satu isu yang makin panas dalam PH sehingga ada gerakan untuk menyekat Anwar jadi PM ke 8?

Ini soal janji. Pihak Anwar telah tunai janji apabila Wan Azizah menolak untuk jadi PM semasa bertemu dengan Agong setelah kemenangan PH diumumkan. Sekarang giliran Mahathir pula tunai janji.

Oleh itu jangan ada mana mana pihak kawan atau musuh yang berpura-pura dan menjadi dalang untuk menghalang Anwar jadi PM. Apatah lagi parti yang tidak ada kena mengena dengan persetujuan yang telah diikat dikalangan pimpinan PH. 

Duduk tepilah kamu!

Jadi bermuhasabhalah wahai perdana menteriku. Bermuhasabahlah wahai mereka yang mahu menghalang Anwar jadi PM. Tunggulah PRU 15 untuk berbuat demikian . i

Sesungguhnya bermuhasabah adalah satu formula yang terbaik untuk Mahathir lakukan kerana disana ada keberanian politik yang terpuji untuk mengundur diri dan bagi Anwar membuktikan bahawa beliau boleh melakukan kearah lebih baik bagi mengangkat Harapan..... Harapan Rakyat dan Harapan Negara. Sudah tentu untuk Parti Harapan juga untuk menjadi parti Harapan Rakyat.
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan