Theflowersellingboy

Jumaat, 6 April 2018

PARLIMEN 13 BUBAR, PRU 14 MENJELANG, SIAPA MENANG SIAPA KECUNDANG :RAKYAT YANG MENENTUKANNYA



Dalam sebuah negara yang demokratik, rakyat yang berkuasa. Rakyat yang menentukan siapa yang mereka mahu membentuk kerajaan untuk menguruskan aset dan kekayaan negara demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Rakyat mesti jelas akan hal ini iaitu: 

"Parti politik yang mereka pilih mestilah bertanggungjawab memikul amanah bagi menguruskan aset dan kekayaan negara demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Tidak ada lain selain dari itu".

Apabila sudah  jelas, maka buatlah penilaian dengan adil dan saksama tanpa emosi tetapi berdasarkan fakta dan maklumat yang sahih.  

Panduan terbaik untuk membuat pilihan ialah undilah parti yang bukan sahaja bercakap fasal menegakkan kebenaran dan melawan kemungkaran tetapi parti yang benar benar melaksanakannya. 

Oleh itu rakyat mesti ada dan perlu mendapatkan maklumat dari berbagai sumber yang dikeluarkan oleh setiap parti yang bertanding dan menilainya sebaik mungkin.

Ingat bahawa parti yang dipilih mesti mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara. Itu asas yang mesti digunakan oleh rakyat.

Ingat juga bahawa rakyatlah yang berkuasa. Dengan itu gunakan kuasa mengundi ini dengan sebaik mungkin. Jangan sia-siakan undi dengan cara tidak keluar mengundi, merosakkan kertas undi. 

Ingat juga, mengundi ialah bagi membolehkan mana mana parti untuk menubuh kerajaan dan seterusnya bagi mentadbir dan menguruskan aset dan kekayaan negara demi rakyat dan negara.

Rakyat wajib tahu:

i) Parti politik yang masuk bertanding dan bilangan kerusi yang di tandingi. 
ii) Syarat minima untuk menubuh kerajaan.
iv) Prestasi yang ditunjukkan oleh parti politik semasa menjadi kerajaan.

Bagi PRU 14 parti politik yang bertanding adalah terdiri dari UMNO/BN ; PH (PKR, DAP , AMANAH dan PPBM): PAS dan BEBAS.   

Walaupun PPBM atau Bersatu tidak mendapat kelulusan dari Pendaftar Pertubuhan , ahli parti itu tetap bertanding bersama dengan parti parti dalam gabungan PH.

Calun Bebas boleh saja diketepikan kerana ianya tidak mampu menubuhkan kerajaan. 

Syarat minima untuk menubuh kerajaan Persekutuan ialah memenangi 112 daripada 222 kerusi parlimen. Ertinya calun bebas tidak boleh tubuh kerajaan. BN, PH dan PAS sahaja yang berpotensi menubuh kerajaan dengan syarat menang kerusi minima 112.

PAS menyatakan akan bertanding 130 kerusi. Tetapi jika PAS menyatakan keyakinan untuk hanya menang 40 kerusi dan jika menang sebanyak itu maka PAS juga tidak layak membentuk kerajaan.

PAS juga boleh diketepikan. Lagipun PAS tidak mungkin akan menang kerana pengundi PAS hanya terdiri dari orang Melayu yang terpaksa berkongsi dengan UMNO dan PH (PKR, AMANAH dan Bersatu) sedangkan parti parti lain mempunyai sumber pengundi dari bukan Melayu.

Jika mahu tubuh kerajaan, PAS tidak dapat melakukannya. Sia-sia undi diberikan kepada PAS.

Dengan demikian persaingan bagi menubuh kerajaan adalah diantara UMNO/BN dan PH sahaja.

Oleh itu pengundi jangan buang masa menilai selain dari UMNO/BN dan PH. Nilai prestasi parti parti ini. 

UMNO/BN telah menjadi kerajaan semenjak merdeka sehingga Sabtu esok (7 April 2018). Bagaimana prestasi UMNO/BN dalam memberi dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat?

Adakah pada tahap terbaik? Sederhana? Atau setakat 'bolehlah' atau buruk?

Nilaikan perkara atau kes berikut:
i) Kos sara hidup membebankan atau dalam kemampuan rakyat terbanyak.
ii) Bagaimana dengan GST? Membantu turun harga atau harga meningkat sehingga bertambah beban.
iii) Peluang kerja kepada warga negara. Pengangguran meningkat atau tiada pengangguran.
iv) Tahap gaji atau upah berbanding dengan kos sara hidup. Upah atau gaji meningkat seimbang dengan sara hidup atau terlalu rendah.
v) Tadbir urus aset dan kekayaan negara. Adakah  berlaku salahguna kuasa, rasuah , ketirisan dan pembaziran. Ambil contoh kes NFC, 1MDB, MARA dan FELDA. Bagaimana dengan kedudukan hutang dan simpanan negara.
v) Faedah kepada rakyat dari pertumbuhan ekonomi negara. Adakah faedah itu dinikmati oleh sebagian besar rakyat atau sebaliknya.
vi) Adakah bantuan kepada rakyat seperti BR1M sudah mencukupi bagi mengatasi kos sara hidup? 
vii) Bagaimana pula dengan kebebasan institusi penguatkuasaan termasuk kehakiman dalam menjalankan tanggungjawab. Adakah campur tangan atau bebas dari pengaruh eksekutif. Misalnya dalam kes penyiasatan dan pendakwaan rasuah.

Bagaimana pula dengan PH yang mentadbir Selangor dan Pulau Pinang?

Amat baik, sederhana atau buruk?

Fikir dan nilai perkara perkara berikut:

Bantuan bantuan seperti bas percuma, air percuma dan berbagai bantuan bagi kumpulan tertentu seperti bantuan hospital tidak membantu bagi merengankan beban sara hidup? Bagaimana pula layanan kepada penjawat awam di Selangor misalnya dari segi bayaran bonus tahunan. Adakah bayaran yang lebih dari yang diberikan oleh kerajaan persekutuan itu tidak membantu penjawat awam di Selangor atau Pulau Pinang.

Bagaimana pula dengan pengurusan kewangan? Tahap salah guna kuasa, rasuah dan ketirisan lebih tinggi dari persekutuan atau negeri negeri di bawah UMNO/BN.

Bagaimana kedudukan hutang dan kemampuan membayar balik berbanding dengan persekutuan dan negeri negeri dibawah UMNO/BN. 

Parti manakah yang lebih baik?

Parti yang lebih baik itulah yang anda patut beri undi untuk menang dan menubuh kerajaan selepas PRU 14. Ingat , jangan sia-siakan undi dengan memilih parti yang mempunayi rekod yang buruk demi kebaikan rakyat dan kemakmuran negara , bukan sahaja bagi jangka masa pendek tetapi bagi jangka masa panjang, demi generasi yang akan datang.

Adalah tidak adil jika kita mewariskan hutang yang terlalu tinggi kepada generasi akan datang . 

Masa depan negara dan rakyat sama ada hidup sejahtera dan makmur atau sebaliknya amat bergantung kepada parti yang dipilih untuk mengurustadbir negara ini. Berhati hati memilih parti itu. 

Selamat Mengundi.


















  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan