Theflowersellingboy

Ahad, 29 April 2018

Hari Penamaan Calun Yang Pelik tapi Benar dan Memalukan





1. Bagi saya penamaan calun PRU 14 yang berlangsung semalam, 28.4.18 adalah penamaan calun yang pelik tapi benar, memalukan dan menyakitkan hati, di beberapa pusat penamaan calun Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Ianya satu pengurusan yang CACAT.

2. Saya hanya mampu menggunakan perkataan cacat sahaja. Sebenarnya ianya lebih daripada itu.

KES DUN RANTAU

3. Calun, penyokong dan pencadang  tidak dibenarkan masuk menyerahkan borang pencalunan kerana tidak ada pas.

4. Kemudian calun, penyokong dan pencadang yang tiada pas itu dibenarkan pula masuk untuk menyerahkan borang pencalunan. 

5. Calun itu ditolak kerana menyerah borang selepas waktu/tempoh pencalunan.

6. Bukankah calun itu telah bersedia untuk menyerah borang pencalunan dalam waktu/tempoh yang dibenarkan. Kenapa tidak dibenar masuk? 

7. Orang yang berfikiran waras akan mengatakan ianya satu tindakan yang pelik, tidak masuk akal. Dan mungkin ada juga yang mengatakan tindakan itu mempunyai motif diluar dari memudahkan calun untuk menjadi calun.

8. Bagi pegawai pengurus pilihanraya yang menolak pencalunan, kita mahu tanya soalan-soalan berikut:

i) Apakah tujuan pilihanraya?

ii) Bukankah tujuan pilihanraya ialah untuk memberi  kepada rakyat yang layak mengundi, seluas-luasnya peluang memilih calun yang terbaik menurut penilaian mereka untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan negara. Lebih ramai yang bertanding, lebih banyaklah pilihan yang boleh dibuat. 

iii) Mengapa menyusahkan calun yang mahu bertanding, dan mengapa tidak memudahkan sedangkan calun telah memenuhi syarat menjadi calun pilihanraya. Pas masuk ke tempat penyerahan borang pilihanraya bukanlah satu dari syarat tersebut. 

iv) Mengapa pada mulanya calun tidak dibenar masuk kerana tiada pas. Dan kemudian dibenar masuk walaupun tiada Pas.

v) Mengapa di pusat  penamaan calun yang lain , calun dibenarkan masuk untuk menyerahkan borang pencalunan.  

vi) Adakah undang-undang dan peraturan pilihanraya yang berbeza diantara pusat-pusat penamaan calun.

KES PARLIMEN BATU

vii) Mengapa pegawai pengurus pilihanraya mengenepikan keputusan mahkamah yang melayakkan calun yang sama yang telah diputuskan dengan hukum RM2,000.00, lantas membuat keputusan calun tersebut hilang kelayakan bertanding sedangkan calun itu adalah orang yang sama yang telah dihukum mahkamah pada jumlah denda yang sama tapi layak bertanding.

viii) Adakah keputusan menolak calun berdasarkan kuasa budibicara sehingga boleh melampaui keputusan mahkamah.

9. Sesungguhnya PRU 14 bermula dengan langkah tempang dan cacat. Ianya tidak adil kepada pengundi, rakyat dan negara kerana kita tidak diberi peluang seluas-luasnya untuk membuat pilihan disebabkan ada calun yang hilang kelayakan bukan kerana tidak memenuhi syarat menjadi calun pilihanraya tetapi Pegawai Pengurus membuat keputusan diluar dari peraturan dan undang-undang yang sedia ada.

10. Ianya pelik bagi setengah orang, lalu marah dan merasai teranianya kerana disempitkan peluang untuk buat pilihan. Calun-calun yang bertanding itu adalah calun-calun yang ditentukan oleh pengurus pilihanraya. Lantas ianya menambahkan kebencian dan ketidakpercayaan rakyat kepada pihak berkuasa dalam menguruskan pilihanraya.

11. Pelik tapi benar.

12. Bagi saya pula ianya AMAT MEMALUKAN kerana saya ada pengalaman  sebagai Pengurus Pilihanraya. Saya  sentiasa dengan yakin dan tegas mengatakan tiada yang CACAT dalam menguruskan pilihanraya khususnya dalam proses penamaan calun. Rupanya PRU 14 ini kelihatan apa yang saya yakin itu telah dibuktikan sebaliknya.


 AMAT MALU SEKALI!









Tiada ulasan:

Catat Ulasan