Theflowersellingboy

Ahad, 15 April 2018

Sebelum Memberi Undi Ingatlah Pengundi Tidak Pernah Terhutang Budi Kepada Mana-mana PARTI. Pengundi Berkorban dengan Menyerahkan KUASA Kepada Parti Politik Yang Berjaya Menubuhkan Kerajaan. Dan Menjadi Kewajipan Kepada Kerajaan Untuk Memberi Perkhidmatan Terbaik Kepada Rakyat Demi Kesejahteraan Rakyat dan Kemakmuran Negara.




Saya tidaklah suka sangat bicara tentang politik. Tetapi saya tidak boleh lari dari realiti bahawa ketika ini cerita politik memonopoli ruang bicara dalam apa sahaja media sama ada media arus perdana atau media baru atau alternatif seperti fb dan twitter. 

Lantas , saya tersangkut dan terkait sama, turut mahu menambah cerita dalam bicara politik tanah air dalam perjalanan kita menuju PRU 14 pada 9 Mei 2018.

Sebelum terus berbicara, saya memberi jaminan bahawa bicara saya tidak ada maki hamun, dan menggunakan kata-kata dan ayat-ayat yang amat jelik dan memalukan sehingga ke tahap menjatuhkan harga diri, kesantunan masyarakat dan kesucian agama khususnya agama Islam, yang anda boleh ketemu dalam media sosial itu, bukan sedikit tetapi jumlahnya terlalu banyak. 

Malang sekali, bicara politik kita amat menjijikkan.

Baik. Sebelum mengundi kita mesti jelas apa itu pilihanraya dan pengundi. 

PRU adalah satu proses demokrasi  dimana PENGUNDI melalui peti undi memberi atau menyerahkan KUASA kepada mana-mana parti politik atau gabungan parti politik yang menang dalam persaingan untuk membentuk kerajaan bagi mengurustadbir aset dan kekayaan negara demi kesejahteran rakyat dan kemakmuran negara.

Saya gunakan pengundi dan bukan rakyat kerana tidak semua rakyat layak mengundi. Hanya rakyat yang diterima daftar untuk menjadi pengundi oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPRM) dan namanya terdapat dalam daftar pengundi yang ditentukan oleh SPRM sahaja yang layak mengundi. 

Ertinya jika seseorang yang telah diterima sebagai layak jadi pengundi tetapi tidak termasuk dalam daftar pengundi yang dipersetujui oleh SPRM, anda tidak layak mengundi. 

Oleh itu sesiapa sahaja yang termasuk dalam daftar mengundi SPRM sebagai layak mengundi dalam PRU 14 ini wajar keluar mengundi. Jangan sia-siakan undi anda kerana anda adalah rakyat yang telah diberi keistimewaan untuk menentukan parti yang akan mengurustadbir negara demi kesejahteraan anda dan kemakmuran negara.

Lagi sekali saya ingatkan jangan sia-siakan undi anda sama ada secara tidak keluar mengundi atau merosakkan undi. Anda juga mensia-sia undi anda jika anda salah pilih parti untuk diberi kuasa menubuhkan kerajaan.

Oleh itu berhati-hati dan nilaikan dengan menggunakan fikiran yang waras tanpa banyak dikuasai emosi dalam memberikan undi anda itu.

Sekarang, semak sama ada nama anda ada dalam daftar pengundi yang telah ditetapkan oleh SPRM itu dan tempat mengundi anda, jika anda belum melakukannya.  Jangan lakukan pada minit-minit terakhir.

Anda boleh sahaja memilih mana-mana parti politik atau gabungan parti politik yang anda yakin boleh membentuk kerajaan dan yang mempunyai kemampuan untuk memberi kesejahteraan hidup kepada anda dan memakmurkan negara.

KUASA yang anda berikan itu adalah satu PELABURAN. Anda mengambil risiko atau meraih pulangan (faedah) dalam tempoh tertentu iaitu sehingga boleh menjangkau  5 tahun, menyerah untung nasib anda sama ada hidup sejahtera atau sebaliknya. 

Risiko atau pulangan itu memberi kesan bukan sahaja dalam jangka pendek bahkan dalam jangka panjang. Oleh itu anda perlu menilai sebaik mungkin pihak mana yang perlu anda beri undi demi kebaikan anda dan rakyat terbanyak.

Anda mesti sentiasa ingat bahawa  anda memberi dan menyerahkan kuasa anda. Anda sebenarnya yang berkorban dan bukan parti yang anda undi dan menang. Anda tidak pernah terhutang budi atau tiada mana parti yang berbudi pada anda. Andalah yang berbudi kepada parti yang anda undi. 

Parti yang menang dan berjaya membentuk kerajaan wajib memberikan perkhidmatan kepada anda dengan sebaik-baiknya tanpa menyalahguna kuasa dan kedudukan kerana mereka diberikan  AMANAH untuk menguruskan aset dan kekayaan negara. 

Ingat juga bahawa semua parti yang bersaing untuk mendapatkan kuasa anda itu akan menyatakan masing-masing pihak adalah yang terbaik dengan menawarkan berbagai-bagai tawaran termasuklah menjadikan kaum atau bangsa dan agama sebagai antara yang mereka perjuangkan. 

Jangan sekali-kali terperangkap dengan retorik yang melampau yang kesannya memecahbelahkan rakyat dalam sebuah negara yang berbilang kaum , budaya dan kepercayaan (agama). 

Undi anda untuk kesejahteraan rakyat, bukan memecahbelahkan rakyat. Undi anda adalah demi kemakmuran negara dan bukan menuju kepada negara yang gagal dan muflis.

Akhir sekali gunakan akal fikiran yang waras tanpa emosi melampau menguasai pertimbangan dalam memberikan undi anda.

Esok, bicara saya adalah tentang parti mana yang boleh difikirkan untuk menjadi pilihan bagi menubuhkan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Sudah tentu dari sudut pandangan saya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan