Theflowersellingboy

Jumaat, 20 April 2018

MEMAHAMI LOGIK PAS BERTANDING LEBIH 160 KERUSI PARLIMEN




Saya cuba memahami logik PAS masuk bertanding dalam pilihanraya. Bagi saya, logik bertanding pilihanraya ialah untuk menang. Dan sebagai parti yang PAS sendiri dakwa antara yang berpengaruh sudah tentu PAS bertanding bagi menubuhkan kerajaan. 

Namun saya tidak nampak PAS akan berjaya menubuhkan kerajaan. Logik saya ialah dengan secara bersendirian PAS hanya mampu mendapat sokongan dari orang Melayu yang dikongsi bersama dengan UMNO dan parti-parti dibawah PH seperti  AMANAH atau PKR atau BERSATU atau DAP.  

PAS tidak mampu mendapat undi dari bukan Melayu sedangkan UMNO dan parti dibawah PH mampu mendapat undi dari bukan Melayu.

Jadi macam mana PAS boleh menang dan mempunyai bilangan kerusi  yang cukup untuk menubuhkan Kerajaan?

Ertinya logik PAS bertanding bukan untuk menubuh kerajaan secara bersendirian. 

PAS bertanding untuk membantu UMNO/BN jika UMNO/BN tidak mempunyai bilangan kerusi yang cukup untuk tubuh kerajaan. Kerja mencukupkan ini PAS panggil sebagai King Maker , sebagai kuasa penentu menentukan kerajaan. 

Tapi PAS hanya mahu bersama dengan UMNO/BN sahaja kerana parti-parti dalam PH dianggap pengkhianat dan anti Islam terutama DAP yang menentang RUU 355 dan Hudud.

MCA , MIC dan Gerakan juga anti hudud. UMNO pun mengatakan Hudud tidak sesuai di Malaysia. Sebab itu UMNO tidak bersungguh-sungguh mengambilalih RUU 355 dan seterusnya membentangkan RUU 355 untuk kelulusan Parlimen.

Dengan demikian, PAS sebenarnya mahu bersama dengan UMNO dalam sebuah kerajaan yang PAS panggil sebagai UG.

Itu logik pertama PAS bertanding. Bukan kerana Hudud atau RUU 355.

Logik kedua ialah PAS bertanding  bagi memecahkan undi Melayu  bagi mengurangkan pengundi Melayu mengundi parti-parti PH. Tujuannya untuk membolehkan UMNO menang. Sebab PAS tidak mampu menang dan mendapat undi Melayu lebih dari UMNO atau parti dari PH.

Bilangan kerusi melebihi 160 memerlukan wang yang besar . Ada pihak menganggarkan sebanyak 34 juta ringgit, satu jumlah yang besar yang sebahagian besar berpendapat menjadi beban kewangan yang tidak mampu ditanggung oleh PAS. Sebab PAS bukan parti yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Tapi PAS menyatakan sebaliknya. Parti itu ada kekuatan dan kemampuan kewangan kerana mempunyai bilangan ahli mencecah 1 juta. Seorang ahli menyumbang 5 ringgit saja sudah mencukupi bagi membiayai kos bertanding lebih 160 kerusi.

Keyakinan PAS  tentang kemampuan kewangan ini, rasanya sulit juga untuk dihujah sebaliknya. Pertama kesanggupan ahli yang menyumbang. Kedua PAS juga menerima derma dari individu bukan ahli PAS seperti yang diakui oleh salah seorang kepimpinan PAS dalam jumlah yang agak besar iaitu 2.5 juta ringgit. Mungkin ada lagi sumber kewangan yang lain yang menguatkan lagi kedudukan kewangan PAS.

Jadi lupakan persoalan kemampuan kewangan PAS.

Yang patut disoal ialah mengapa PAS bertanding banyak kerusi sedangkan logik mengatakan PAS tidak akan menang dan mampu menubuhkan kerajaan. Ini matematik yang mudah.

PAS juga mengakui bahawa parti itu hanya mampu menjadi king maker sahaja. Ertinya PAS akan kalah banyak kerusi yang ditandingi. Bermakna PAS sanggup keluar wang yang PAS sendiri tahu wang itu tidak akan menghasilkan keputusan yang menguntungkan parti itu. PAS membazir wang sahaja.

Kenapa PAS membazir wang? 

Mungkin anda ada jawapan. 



  









Tiada ulasan:

Catat Ulasan