Theflowersellingboy

Rabu, 14 Mac 2018

KAJIAN INVOKE-- PAS Dapat ZERO KERUSI: PAS Kata Ianya Kajian Atas Meja , Bukan Kajian Dilapangan. Akhirnya Faktor X Yang Akan Memenangkan BN




Invoke, yang diketuai oleh Rafizi meramalkan PH akan menang dalam PRU 14. Keputusan yang diramalkan itu jelas memberitahu bahawa persaingan sebenar untuk mendapat kuasa bagi mengurustadbir negara ialah antara BN dan PH. PAS tidak relevan dengan diramal mendapat zero kerusi.

BN tidak bersetuju dengan ramalan invoke itu. BN yakin boleh menang , dan mampu meraih kuasa 2/3 majoriti parlimen.

PAS pun tidak percaya dengan ramalan itu yang dianggap ramalan 'atas meja' dan bukan kajian dilapangan.

Respons BN dan PAS yang sedemikian itu adalah sesuatu yang tidak menghairankan. Mana parti politik, termasuk PH yang mahu mengaku akan kalah. 

Sebelum bertarung, mana mungkin mengangkat tangan menyerah kalah.

Jadi, parti mana yang akan menang dalam PRU 14 nanti?

Bagi saya PAS akan kalah. Kalah dengan zero kerusi atau kalah dengan memenangi beberapa kerusi. 

Logik saya mudah sahaja. Ianya tidak perlu buat kajian dilapangan. 

Sebelum saya menggunakan logik untuk mengatakan PAS akan kalah, saya perlu akui bahawa PAS mempunyai pengaruh keatas pengundi Melayu, terutama Melayu pantai timur Semenanjung. Dan dalam masa yang sama terlalu kecil dikalangan pengundi Islam di Sabah dan Sarawak.

Logik saya menyakinkan saya bahawa dalam politik di Malaysia, undi bukan Melayu mesti juga diperolehi untuk  menang dan mengatasi pesaing politik yang lain. Dan PAS tidak ada yang itu.

Adalah satu khayalan yang amat mengerikan jika PAS mengharapkan sokongan pengundi bukan Melayu hasil dari kerjasama dengan parti-parti dibawah Gagasan Sejahtera. Parti-parti lain dalam Gagasan Sejahtera itu sebenarnya tidak memberi nilai tambah kepada PAS malah menumpang pengaruh PAS.

Undi Melayu juga merupakan sumber undi kepada BN, khususnya UMNO, dan PH (AMANAH, PPBM, PKR ). 

Undi orang Melayu berpecah kepada 3. Katakan ada 300 pengundi Melayu dan dibahagi sama rata, setiap parti akan dapat 100 pengundi. 

Tetapi UMNO dan 3 parti dalam komponen PH mempunyai sumber tambahan dari bukan Melayu. 

Jika ditunjukkan dalam persamaan matematik, kedudukannya adalah:

PAS : 1+0 =1.  
UMNO: 1+1 =2
PH: 1+1 = 2.

Oleh itu persaingan untuk menjadi kerajaan pada PRU 14 ini adalah antara BN dan PH. PAS tidak akan boleh membentuk kerajaan. Usahlah berkhayal. 

Terlalu tersasar dan tidak wajar apabila PAS menggunakan firman Allah bahawa , 'Jika Allah menghendaki', PAS akan menang, sedangkan hakikatnya PAS tidak mempunyai sumber pengundi yang cukup berbanding dengan parti lawan.

Jika itu menjadi senjata hebat PAS, mengapa perlu bertanding dalam pilihanraya. Atau bertandinglah beberapa sahaja bilangan kerusi , misalnya 50 kerana PAS akan tetap menang dan mampu menubuhkan kerajaan, jika Allah menghendaki!

Ertinya untuk PAS menang dan menjadi sebahagian dari kerajaan, parti itu mesti bersama dengan BN atau PH. 

Kelihatan apa yang dizahirkan (paling jelas yang ditunjukkan oleh presiden dan beberapa kepimpinan PAS), PAS ketika ini adalah cenderung kepada bekerjasama dengan UMNO. Maka dengan itu bekerjasamalah dengan BN/UMNO untuk membentuk kerajaan jika menang.

Usahlah berkhayal untuk menang bersendirian atau bersama dengan GAGASAN SEJAHTERA.

BN dan PH bersaing sengit. Saya yakin senario yang ada ketika ini yang memberi kesan kepada rakyat dan negara secara negatif , memberi kelebihan untuk PH menang,

Melainkan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu tidak ambil kisah tentang kezaliman dan keadilan, maruah dan moral, dosa dan pahala kerana semata-mata percaya dan taksub bahawa kerajaan pimpinan Melayu yang kononnya membela orang melayu mesti dipertahankan dengan apa cara dan kos sekali pun walaupun melakukan berbagai penyelewengan dan salah urus tadbir kekayaan negara.

Tetapi orang Melayu yang beragama Islam tidak mungkin akan menyelebihi kemungkaran. Mungkin ada, tapi rasanya bilangan itu tidak ramai. 

Namun begitu  satu lagi senjata yang ada pada BN ialah FAKTOR X. Apa itu faktor x? Adakah Wang, Jentera dan Tenaga Manusianya dan dan dan....Carilah sendiri faktor x itu. Faktor inilah sebenarnya yang menentukan BN akan menang.

Faktor x itu adalah satu realiti dan bukan satu ilusi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan