Theflowersellingboy

Khamis, 19 April 2018

PARTI MANA YANG PATUT DIUNDI DALAM PRU 14




Maaf, dua hari saya tidak dapat bicara dalam blog ini, seperti yang dijanjikan. Ada masalah tenikal sedikit. Laptop saya tidak boleh dibuka. Sebab saya tidak menguasai ilmu tentang komputer. Apabila pergi ke kedai komputer, tak sampai seminit, masalah dapat diatasi. 

Malunya saya. Itulah kurang ilmu, boleh menyusahkan diri. Nasib baik tidak diminta bayaran.

Baik lupakan saja kisah itu.

Dua hari yang lepas saya berjanji untuk bicara parti manakah yang patut kita sokong dan undi pada PRU 14 yang akan datang ini untuk menerajui negara Malaysia selepas PRU 14.

Bicara saya yang lepas telah menyatakan bahawa undilah mana-mana parti atau gabungan parti yang anda fikir yang mempunyai potensi membentuk kerajaan untuk mentadbir urus negara demi kesejahteraan rakyat terbanyak dan kemakmuran negara.

Mana-mana parti politik yang bertanding, hanya boleh menang dan mampu menubuhkan kerajaan jika mendapat sokongan dikalangan pengundi yang berbilang bangsa. 

Sebab itu UMNO, MCA, MIC dan lain-lain yang bergabung,  termasuk dari parti parti Sabah dan Sarawak dibawah nama  PERIKATAN,  sebelum bertukar nama kepada BARISAN NASIONAL (BN) sentiasa   menang dan berjaya menjadi kerajaan semenjak merdeka sehingga PRU 13. BN adalah parti atau gabungan parti yang mendapat sokongan dari berbilang bangsa.

Parti pembangkang yang berjuang bersendirian tidak pernah dan tidak akan menang. Bahkan tidak akan menggugat BN barang sedikitpun.

Tetapi apabila adanya kerjasama walupun longgar diantara parti pembangkang, kedudukan BN mula terjejas seperti pada PRU 12 dan 13.

Kerjasama pembangkang dibawah nama Pakatan Rakyat dalam PRU 13, telah membuatkan BN kurang suara majoriti popular walaupun menang kerusi yang lebih dari PH. 

Tetapi berpecahnya PR memberikan semula kekuatan kepada BN. 

Namun penubuhan Pakatan Harapan (PH) iaitu gabungan dari parti DAP, AMANAH, PKR dan kemudian kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam PH menjadikan PH sebagai parti pilihan yang mampu bersaing dan menang untuk membentuk kerajaan.

Ertinya BN dan PH adalah gabungan parti yang mendapat sokongan dari rakyat Malaysia dari berbilang bangsa dan agama. Sudah tentu salah satu parti itu boleh menjadi pilihan rakyat kerana mampu menang dan boleh menubuhkan kerajaan.

PAS tidak mampu menubuhkan kerajaan kerana pengundinya sebahagian besar adalah dari orang Melayu, terlalu sedikit dari bukan Melayu. Jadi jika diundi PAS, PAS tidak akan dapat membentuk kerajaan.

Ingat, tujuan mengundi ialah bagi menubuhkan kerajaan. Jadi jika parti yang tidak mampu menubuhkan kerajaan walaupun mewarwarkan memperjuangkan untuk kebaikan rakyat, ianya tidak memberi apa-apa makna. Undi anda menjadi sia-sia sahaja, jika anda berharap untuk menubuhkan kerajaan.

Pilihan anda dalam PRU 14 ini adalah sama ada pilih BN atau PH.

Untuk membuat pilihan antara BN dan PH, selain yang telah saya bicarakan dalam paparan yang lepas, anda mesti ingat antara lain :

PRU ini bukan cerita fasal anda itu Melayu. Bukan juga anda itu Cina atau India atau apa sahaja asal usul keturunan anda. 

Undi anda pada PRU 14 adalah undi sebagai rakyat Malaysia.

Anda mesti ingat anda adalah rakyat Malaysia yang mahu hidup sejahtera dalam negara yang dikurniakan Allah dengan pelbagai sumber kekayaan.  

Sumber-sumber kekayaan ini hanya boleh menjadi menfaat kepada anda jika ianya dapat diuruskan secara terbaik.  

Anda mesti mengenepikan kecenderungan mengundi anda berasaskan parti politik, bangsa dan agama. Ianya boleh mengelirukan anda kerana kemungkinan besar anda lebih menggunakan emosi dari melakukan pertimbangan yang rasional. 

Pertimbangan anda ialah sebagai rakyat Malaysia yang mahu hidup sejahtera tanpa berpecahbelah sesama rakyat yang terdiri dari berbagai bangsa dan agama.

Ingat, jangan percaya  atau terpengaruh dengan retorik politik yang melampau. Misalnya jika parti tertentu itu menang  maka sesuatu kaum atau agama serta bahasa kaum itu akan terhapus dan sebagainya, 

Ianya tidak akan berlaku kerana Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kedudukan dan hak rakyat Malaysia.

Gabungan parti yang terdiri dari berbagai kaum itu sama ada BN atau PH adalah bukti jelas bahawa setiap parti itu telah dan terus akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Bermakna anda  jangan terpengaruh dengan retorik yang mahu memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Ingat pilihanraya adalah satu ruang demokrasi yang memberi peluang pengundi membuat pilihan diantara parti politik yang bertanding. Sudah tentu pengundi mahukan parti politik yang dapat memberi kehidupan yang sejahtera.

Oleh itu, kita mesti melakukan review atau kaji semula atau lihat semula apa yang telah dan sedang kita alami dan menilai apakah ianya memberi faedah kepada kita atau sebaliknya. 

Kita juga perlu nilai adakah pesaing kepada parti politik yang menjadi kerajaan yang sedia ada boleh memberi faedah kepada kita. 

Secara amnya parti politik yang terlalu lama ditampok kuasa akan mudah mabuk kuasa sehingga melakukan salah guna kuasa. 

Sebaliknya parti politik yang belum berkuasa dan bersaing untuk dapat kuasa, dan apabila berkuasa akan melakukan lebih baik kerana menyedari bahawa kemenagan parti itu adalah atas kelemahan pesaingnya semasa menjadi kerajaan. 

Ingat, bahawa pengundi boleh menukar kerajaan paling lama setiap tempoh 5. Bermakna jika mana mana parti tidak melakukan yang terbaik semasa menjadi kerajaan, pengundi berkuasa untuk menggantikannya.

Ertinya jangan takut buat perubahan jika perubahan itu memberi faedah kepada rakyat terbanyak.

Terpulang kepada anda untuk memberi undi. Jika BN telah menunjukkan rekod urustadbir yang memberi faedah kepada rakyat tanpa penyelewengan undilah BN. 

Jika sebaliknya, berubahlah kepada PH. Beri peluang kepada PH untuk mengurus tadbir kekayaan negara. 

PRU 15 nanti , anda boleh menilai PH berdasarkan apa yang telah dilakukan  sama ada memberi faedah kepada rakyat atau sebaliknya.

Ertinya parti politik tidak boleh mengambil rengan undi dan kuasa politik pengundi kerana setiap 5 tahun atau tempoh yang kurang dari itu mereka akan sekali lagi berdepan dengan rakyat. Rakyat boleh menurun atau menaikkan mereka sebagai kerajaan. Jangan main main dengan rakyat.

Ertinya juga rakyat tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

Jadikan parti politik sebagai pekerja yang berkhidmat kepada rakyat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. 

Rakyat tidak pernah terhutang dan berhutang budi kepada parti politik. Parti politiklah yang memakan budi rakyat dan sewajarnya membalas budi kepada rakyat dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Akhirnya antara BN dan PH yang mana satu pilihan anda. 

Saya cadangkan anda berubah kepada PH kerana terlalu banyak kerosakan yang telah dan sedang dilakukan oleh BN sehingga membebankan kehidupan rakyat. Itupun jika anda mahu menerima realiti dan berfikir secara rasional tanpa dipengaruhi emosi yang melampau.

ANDA BUAT KEPUTUSAN.






  



Tiada ulasan:

Catat Ulasan