Theflowersellingboy

Selasa, 10 November 2015

Mengapa Mendesak PM Letak Jawatan? Ianya tidak perlu sekarang ini.




Mengapa mendesak Najib letak jawatan?

Sebab Najib menyebabkan kehidupan sebahagian besar rakyat tebeban dan membebankan. 
 
Ini bermakna ada juga sebahagian rakyat yang tidak mahu Najib letak jawatan.
 
Siapakah yang sebenarnya mahu Najib letak jawatan dan mengapa?
 
Bekas PM Tun Mahathir dan pengikut-pengikutnya yang sama kepentingan dengan bekas PM itu yang sebenarnya bersungguh-sungguh mahu letak jawatan.
 
Bagaimana dengan pihak pembangkang?
 
Perkembangan terbaru menunjukkan pembangkang terbahagi kepada dua. Pakatan Harapan Rakyat mahu Najib meletakkan jawatan dan PAS tidak bersetuju Najib meletak jawatan sebaliknya mahu menjadi penasihat kepada kerajaan Najib.
 
Jadi Pakatan Harapan dan Mahathir mempunyai tujuan yang sama iaitu mahu Najib letak jawatan?
 
Benar ianya sama tapi tak semuanya sama. 
 
Mahathir mahu Najib letak jawatan agar UMNO dan BN tidak menjadi lemah dikalangan rakyat yang memungkinkan UMNO itu kalah dalam PRU 14. Jika UMNO kalah dalam PRU 14 dan digantikan oleh lawan maka Mahathir dan mereka yang sama berkepentingan dengannya percaya mereka akan diheret untuk didakwa atas salah laku semasa mentadbir negara. 
 
Mereka mahu UMNO terus jadi kerajaan tetapi tidak yakin dengan kepimpinan Najib untuk boleh berbuat demikian. Ertinya UMNO perlu dikekalkan dengan menyingkirkan Najib.
 
Sebaliknya Pakatan Harapan mahu bukan saja Najib letak jawatan bahkan mengambilalih kerajaan melalui cara yang sah yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan. 
 
Adakah usaha menyingkirkan Najib ini akan berjaya dalam masa terdekat sebelum PRY 14?
 
Keberangkalian untuk berjaya terlalu kecil. Sebab: 
 
(i) Najib berkuasa penuh mengawal segala-galanya -sumber kewangan yang boleh melembut, mengawal dan memagar sesiapa saja yang melawan arus dalam kepimpinan/ahli parti dan anggota pentadbiran; 
 
(ii) Najib berkuasa mempengaruhi, menyekat dan mengawal agensi-agensi/institusi kerajaan melalui media, undang-undang serta cara pentadbiran; 
 
(iii) Pembangkang yang tidak bersatu iaitu diantara PAS dan Pakatan Harapan;
 
(iv) Mahathir dan pembangkang mempunyai matlamat yang berbeza dalam usaha untuk menyingkirkan Najib. 
 
(v) Terdapat juga dikalangan pembangkang percaya bahawa Najib dan UMNO/BN lebih mudah disingkirkan melalui PRU 14. Pada mereka tidak hanya memadai menyingkir Najib tapi UMNO/BN masih kekal berkuasa yang akan terus mengamalkan budaya pemerintahan yang sama. 
 
Jadi apa pilihan terbaik dalam menghadapi keadaan hidup yang terbeban dan membebankan ini kesan dari Najib dan UMNO/BN yang masih terus berkuasa?
 
Sebenarnya selagi Najib dan UMNO/BN kekal berkuasa, rakyat akan terus terbeban dan menyusahkan. Tapi menyingkirkan Najib sebelum PRU 14 tidak mungkin akan berjaya dan jika pun berjaya dan Najib digantikan pemimpin dari kalangan pimpinan UMNO/BN yang ada ianya tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi ketika ini. 
 
Oleh itu rakyat perlu menghadapi realiti dan menanggung beban-beban kepahitan hidup kerana rakyat yang telah memilih mereka. Jadikan kepahitan hidup dibawah UMNO/BN ini sebagai perangsang untuk menukar kerajaan pada PRU 14. 

Ertinya terimalah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kesan dari GST, kenaikan tol dan kos pengangkutan yang lain, dan biarkan 1MDB dan derma 2.6 billion itu terus membusuk. 
 
PRU 14 tukarkan kerajaan yang ada. Itu adalah pilihan terbaik. Tidak perlu banyak kali berdemonstrasi. Simpan dalam hati, dan terjemahkan kehendak kita pada PRU 14 bagi mendapatkan sebuah kerajaan yang tidak seperti UMNO/BN yang menyusahkan rakyat.
 
Jadi tidak perlu desak Najib letak jawatan sekarang ini.


 




 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan