Theflowersellingboy

Selasa, 24 November 2015

Nasihat Yang Amat Meluat, Meloyakan Lagi Menyakitkan Hati.




Nasihat menteri dan pemimpin kerajaan yang menyakitkan hati? Adakah nasihat seperti itu?
 
Jawapannya, ADA, terlalu banyak.
 
Nasihat itu bukan saja menjadi meluat dan meloyakan serta menyakitkan hati rakyat bahkan nasihat seperti itu jelas menampakkan keperibadian seseorang menteri/pimpinan kerajaan yang tidak langsung peduli kepada apa yang sedang dihadapi oleh rakyat.
 
Menteri itu tahu tak apa yang sedang dihadapi oleh rakyat? Tapi tahu saja tidak mencukupi. Yang penting bantu selesaikan masalah mereka. Sebab, berkedudukan sebagai menteri/pemimpin kerajaan yang ada kuasa menjadi tanggungjawab mereka untuk menyelesaikan masalah yang di hadapi oleh rakyat. 
 
Jangan pula ada menteri/pemimpin kerajaan tidak tahu apa masalah yang dihadapi oleh rakyat sekarang ini. Kalau ada menteri yang macam itu, lebih baik menteri/pemimpin itu letak jawatan kerana ada orang lain yang boleh mengambilalih dan melaksanakan tugas dengan baik.
 
Tapi saya percaya semua menteri/pemimpin kerajaan tahu masalah yang sedang dihadapi oleh sebahagian besar rakyat sekarang ini iaitu kos sara hidup yang tinggi. Jika ada menteri yang tidak percaya bahawa kos sara hidup ketika ini amat menyeksa kepada sebahagian besar rakyat atas alasan kerajaan beri BR1M, menteri ini wajib dicabar.

Saya mencabar menteri seperti itu. Berikan menteri itu wang RM1000 sebulan, dan dengan wang itu gunakanlah untuk menyara diri dan keluarga (katakan 5 orang tanggungan). Boleh hidup?

Sudah tentu boleh hidup. Tapi amat menyeksakan.

Jadi mengapa  ada  beberapa orang menteri/pemimpin kerajaan yang memberi nasihat yang tidak bertanggungjawab lagi amat memalukan kepada rakyat yang ketika ini terbeban dengan kos sara hidup yang membebankan. Nasihat itu kononnya bagi membantu rakyat dalam mengatasi kos kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Antara nasihat yang amat meluat, meloyakan lagi menyakitkan hati rakyat ialah:
 
i) Harga ayam naik, makan selain dari ayam
ii) Harga sayur naik, tanam sayur atau makan sayur berharga murah seperti kangkong
iii) Tol naik, gunakan jalan tanpa tol.
iv) Sara hidup di bandar tinggi, balik kampong tanam jagong.
v) Berbelanja secara berkhemah dan berjimat agar ada wang lebihan untuk simpanan.
 
Rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi itu ada kata-kata untuk menteri/pemimpin kerajaan itu, iaitu,
 
"Anak saya yang setahun jagung pun boleh memberi nasihat seperti itu".
 
Menteri malu tak dengan kata-kata seperti itu? Kalau ada menteri yang tak terasa dan tidak merasa malu, maka layaklah menteri itu letak jawatan. Sebab menteri itu tidak ada sedikitpun sentuhan rasa kasih sayang dan mahu menolong orang yang perlu diberi pertolongan. Saya panggil menteri ini sebagai menteri bingal.
 
Berkedudukan sebagai menteri dengan kuasa eksekutif dalam menjalankan fungsi masing-masing, takkan mampu memberi nasihat seperti itu dalam menangani kesusahan rakyat. Nasihat yang diberi itu tidak perlu punya kuasa dan berkedudukan sebagai menteri. Budak kecil pun tahu berkata seperti nasihat menteri itu.

Apakah setakat itu yang menteri boleh berfikir? Dimanakah ilmu pengetahuan dan kepakaran sebagai menteri dalam melaksanakan tugas?

Memadai meminta rakyat menanam sayur untuk mengatasi kenaikan harga sayur atau tananam? Apakah menteri tidak ada nasihat yang lebih sesuai dengan kedudukan, kuasa dan ilmu pengetahuan yang dimilikki?

Tidak terfikirkah untuk menteri berfikir dan mencari jalan agar harga sayur tidak meningkat. Mungkin disebabkan sistem pemasaran sayur itu. Kenapa tidak  ditinjau dari segi pengeluaran sayur dan saingan di pasaran. Atau membuka lebih luas sayuran dari luar. Dan macam-macam lagi. Kena perah otak dan cari jalan sesuai dengan kedudukan dan kuasa sebagai menteri.
 
Selain dari itu tidak semua rakyat ada tanah. Tanam dalam pasu? Ya, boleh berbuat demikian. Tapi sedar tak menteri bahawa cadangan itu ada kesan lain yang juga melibatkan kenaikan kos barang dan perkhidmatan yang lain selain ianya tidak praktikal bagi setengah pihak.
 
Kos pasu akan naik. Kos baja akan naik. Kos benih akan naik. Kos bil air akan naik. Sebab apa? Sebab menteri hanya mampu berfikir seperti anak setahun jagung. 

Jangan pula nasihat mereka yang duduk bandar balik kampong tanam jagung. Sia-sia saja rakyat mengundi untuk membolehkan anda jadi menteri.
 
Juga jangan nasihat rakyat untuk berjimat dalam belanja. Rakyat telah lebih awal melakukannya bahkan sentiasa kehabisan wang sehingga ada yang terpaksa berhutang untuk menyara hidup.   

Rakyat berhutang kerana  untuk meneruskan kehidupan. Dan mereka terpaksa melakukannya sehingga menggadai masa depan anak-anak - ada yang terpaksa duberhentikan sekolah. Dan anda sebagai menteri jangan cakap banyak dan sombong bahawa BR1M anda boleh membantu mereka.

Jika anda tidak mampu memberi nasihat yang baik, suka rakyat memberi nasihat kepada menteri dan pemimpin kerajaan, iaitu,

i) berkhemah dalam menggunakan wang negara kerana wang itu tidak boleh disalah belanja, boros dan dibazirkan. Rakyat yang susah amat memerlukan.
ii) jangan kenakan rakyat dengan berbagai cukai seperti GST dan kenaikan berbagai harga seperti tol. Ia sesungguhnya menyeksakan.
iii) uruskan wang negara tanpa penyelewengan kerana penyelrwengan itu tidak menguntungkan negara sekali gus rakyat malah penyelewengan itu membuatkan kantung negara menjadi kering. Akibat kantung yang kering maka kerajaan membuat pinjaman sehingga diberitakan hutang kerajaan yang ditanggung rakyat meningkat lebih 700 billion ringgit. Untuk membayar hutang pula maka kerajaan bebankan rakyat dengan GST dan kenaikan harga tol, antara lainnya.

Sekian.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan