Theflowersellingboy

Ahad, 29 November 2015

Tabik Hormat Saya Pada Seorang Pekerja Di Woksyop Kereta.




"Banyak penat o. Siang malam kerja".

Itu adalah kata-kata yang keluar dari seorang pekerja di sebuah woksyop membaikki tayar dan jual bateri kereta.

Hampir dua bulan kereta tua itu saya tidak gunakan kerana asyik dengan kereta yang lebih muda usianya. Bukan kerana tua usianya maka kereta itu tidak digunakan tapi ada sebab yang lain. Sebab utama ialah kereta tua saya itu kuat makan minyak. Manakan tidak, kuasa kuda kereta itu 2,300. Sekali tekan pedal minyak, segayung minyak ditelannya.

Dengan demikian dalam keadaan harga minyak yang tinggi adalah lebih menjimatkan memakai kereta kecil berkuasa kuda yang rendah, 1500 terutama bagi perjalanan yang jauh. 

Maka kereta tua itu tersadai di garaj tanpa enjinnya dihidupkan. 

Oleh sebab itu, bateri kereta itu menjadi lemah dan tidak mampu menghidupkan enjinnya. Lalu saya beli alat yang boleh membantu untuk menghidupkan injin kereta itu yang selalu dipanggil sebagai jumper. Harga jumper RM70.00.

Tapi sayang sekali, jumper tidak berjaya menghidupkan enjin kereta itu. Sah bateri kereta lemah, tidak boleh pakai, kena beli yang baru.

Di woksyop yang menjual bateri itulah saya berbual dengan pekerja Cina yang usianya dalam lengkongan awal tiga puluhan.

Apabila saya diberitahu harga satu bateri itu RM 340.00, saya sedikit mengeluh dan menyatakan fasal apa sangat mahal. Jawapan mudah begitu cepat keluar dari mulut  pekerja Cina itu. 

"Abang, sekarang semua mahal. Itu sebab saya kena kerja siang malam".

"Ini woksyop , buka siang malam kah?", Tanya saya.

Pekerja itu  menggelengkan kepala. Dia beritahu bahawa pada waktu siang iaitu dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang dia bekerja di woksyop, dan selepas itu dia bersama-sama kawan menjual dipasar malam.

"Penat o. Sekarang susu anak 60 ringgit satu bulan. Pampers 300 ringgit. Mahu bayar sewa rumah. Minyak motor. Makan mahu jugak. Tak cukup o kalau kerja woksyop saja".

Saya sedikit malu kerana mengeluh tentang harga bateri yang mahal sedangkan pekerja ini disamping menghadapi sara hidup yang tinggi sanggup bekerja dengan lebih kuat untuk mendapat tambahan pendapatan.

Namun dalam masa yang sama, dia juga merungut fasal apa harga barang semua naik. Fasal apa kena GST. Fasal apa tol naik .

"Ini kerajaan tidak baik o, bikin orang susah saja".

Saya tersenyum bila mendengar rungutan pekerja itu. Saya tersenyum bukan kerana saya menyokong kenaikan kos sara hidup tapi bagi saya, sekarang ini terlalu jelas bahawa rakyat dibawah, yang miskin dan susah telah menyatakan rasa tidak puas hati yang amat sangat kepada pimpinan kerajaan sekarang ini. 

Malah suara-suara tidak puas hati sudah menjadi biasa dikalangan mereka yang berpendapatan pertengahan setiap kali saya menghadiri majlis-majlis perjumpaan seperti majlis kenduri kendara dan ulumni sekolah.

Dan yang paling banyak menyatakan kemarahan adalah dari kalangan anak-anak muda. Mereka ini nampaknya sudah bertekad untuk menggantikan kerajaan yang ada pada PRU 14 nanti.

Saya tidak pasti sama ada kerajaan yang ada sekarang ini mempunyai cukup masa untuk memperbaikki kelemahan yang ada bagi menarik semula sokongan terutama sekali dari anak-anak muda. 

Tapi saya lebih cenderung untuk menyatakan bahawa kerosakan yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan, tidak mudah diperbaikki dan boleh diperbaikki. Sebab, kepimpinan kerajaan yang ada sekarang ini  tidak berani mengambil sikap bertanggungjawab keatas kerosakan yang telah dan sedang dilakukan hanya kerana mahu terus kekal berkuasa.

Sesungguhnya, ianya amat malang sekali.

Oleh itu, sehingga kita mendapat kerajaan baru, dan kita mesti bersama-sama bekerja ke arah itu, saya perlu bersedia untuk menghadapi realiti kos sara hidup yang sentiasa meningkat. Seperti pekerja woksyop itu, saya mesti mencari peluang bagi mendapatkan pendapatan tambahan. Tidak boleh bergantung kepada pencen saja.

BR1M? Saya diberitahu oleh pihak yang menerima BR!M, bantuan itu tidak menolong sangat. 

Jadi yang dapat menolong, ialah kita semua mesti jadi seperti pekerja Cina tadi yang bekerja kuat siang malam hanya bagi membolehkannya menyara hidup diri dan keluarganya dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi. Banyak berusaha dan bersabar.

Pekerja woksyop itu juga  tidak menerima BR1M walaupun saya rasa beliau dari kalangan yang layak. Kata beliau bahawa beliau tidak mahu BR1M. Beliau mahu agar kos sara hidup tidak naik.

Oh ya, beliau sempat bertanya saya tentang derma 2.6 billion. 

"Itu wang, kalau semuanya satu ringgit, satu Malaysia kita boleh kasi tutup", kata pekerja itu setelah saya beritahu padanya bahawa saya tidak mahu bercakap fasal itu kerana hati banyak sakit.


   


Tiada ulasan:

Catat Ulasan