Theflowersellingboy

Khamis, 12 November 2015

Sarapan Pagi: Nostalgia Masa Muda.




Pagi ini badan ada sedikit rasa sakit-sakit kesan dari buat kerja mopping dan membersihkan ruangan dalam rumah, pada hal kerja itu dilakukan semalam. Ah usia enam puluhan yang mendekati tujuh puluhan ini, rupanya tidak boleh lasak sangat. Ingatkan masih dalam lingkungan dua puluhan, paling tua pada usia menghampiri tiga puluhan. Rupanya sudah melampaui setengah abad.
 
Bersarapan pagi bersama isteri. Makan nasi goreng berulamkan kacang panjang dan daun tenggek burung. Berselera sekali, dua-dua makan seperti masa usia muda, bernafsu sekali . 
 
Waktu muda itu kami makan apa saja yang halal tanpa berpantang, tidak mengambil kira masin dan manis, lemak dan minyak, semuanya kami sentap. Dan selepas makan tiada ubat yang perlu diambil. Seronok sungguh.

Pagi ini seperti pagi-pagi yang lain, setiap seorang sudah bersedia dengan bekalan ubat untuk ditelan selepas sarapan. Penyakit yang hendak dikawal, bukan yang hendak diubati adalah penyakit yang sebahagian besar dimiliki oleh rakyat Malaysia iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi dan jantung.

Isteri menelan ubat untuk mengawal kencing manis,  darah tinggi dan cair darah. Katanya bacaan gulanya pada hari ini agak tinggi, mencapai ke angka 8. Tekanan darah agak baik terkawal pada bacaan 120/70.

Saya pula mengambil ubat cair darah, mengawal kolesterol dan tekanan darah tinggi. Saya bernasib baik tidak ada kencing manis. Menurut pemeriksaan dokter terakhir, saya berada dalam keadaan terkawal. Semuanya ok kata dokter IJN semasa perjumpaan sebulan yang lepas.

Sewaktu mahu menelan ubat-ubat itu, saya ketawa kecil apabila melihat isteri yang duduk bertentangan. Ini menimbulkan pertanyaan darinya mengapa saya ketawa. Sebelum sempat saya menyatakan sesuatu, isteri menjawab sendiri pertanyaannya dengan mengatakan saya ketawa disebabkan melihat isteri terlalu lama memegang ubat.

Isteri memang tidak suka makan ubat. Ubat yang mahu ditelannya itu akan berada ditangannya , kadang-kadang lebih dari 10 minit. Saya selalu menggesa agar beliau segera makan ubat ditangannya, barulah ubat ubat itu dimasukkan ke dalam mulut. Tapi mesti masukkan air dalam mulut terlebih dahulu. Keadaan seperti itulah yang membuatkan saya selalu ketawakannya.
 
Tapi hari ini bukan sebab takut makan ubat yang membuatkan saya ketawa. Saya terkenangkan perjalanan masa yang begitu cepat. Masa yang telah berlalu lebih 30 tahun dahulu rasanya baru saja berlaku.
 
Saya tanya isteri sudah berapa lama kami berkahwin. Beliau buat kiraan cepat. Tahun 1975 sehingga sekarang , bermakna sudah 40 tahun katanya. Saya menganggok kepala tanda setuju. Ketepatan kiraan bukan satu yang penting. Lagipun kami tidak pernah mengadakan ulang tahun hari perkahwinan. Ertinya usia perkahwianan tidak penting bagi kami.
 
Yang penting tempoh yang dinyatakan oleh isteri itu sudah cukup untuk menerima hakikat bahawa ianya satu tempoh yang agak lama, yang membawa erti usia kami sudah jauh bertambah.
 
Hakikat itu diterima. Tapi perasaan lebih cenderung untuk mengatakan bahawa kami baru saja berkahwin. Ketika itu wajah muka masih licin, tegang dan tidak ada garis-garis didahi dan dibawah mata. Rambut masih hitam lebat. Kulit yang menyelaputi seluruh anggota badan masih licin dan tegang, membuatkan kelihatan lebih cerah.
 
Saya mencadangkan isteri mengambil supplemen awet muda yang mudah didapati dimana-mana. Cuma harganya menyakitkan hati, diluar dari kemampuan. 
 
Isteri tahu bahawa saya hanya bergurau saja kerana saya dan dia memang langsung tidak percaya ada ubat atau supplemen yang boleh mengembalikan usia jadi muda, walaupun ada banyak pihak yang terpedaya. 
 
Memang betul ada juga wajah mereka yang ambil supplemen itu kelihatan awet muda. Tapi tidak tahan lama, usia yang bertambah tetap juga melunturkan keawetan muda itu.
 
Terima saja bang, kata isteri sambil mengurut-urut tangannya. Kami ketawa sambil tangan saya meraba-raba kepala. Banyak bahagian yang licin dari yang berambut yang dapat dirasa.
 
"Dulu rambut abang lebat, tak macam ini", kata isteri.
 
"Sama lah kita. Nak bangun dari kerusipun terhegeh-hegeh", kata saya. Kami terus ketawa.
 
"Makanlah ubat", saya mengingatkan isteri yang masih menggenggam ubat ditangannya.   

 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan