Theflowersellingboy

Ahad, 8 Jun 2014

GURU BERPOLITIK MENGUNTUNGKAN UMNO?




Setiausaha Agong UMNO mencadang supaya guru dibenarkan berpolitik. Ertinya aktif dalam parti politik (UMNO) seperti yang telah berlaku pada suatu ketika dulu. 
 
Cadangan beliau begitu serious sekali dan dilakukan dalam sebuah majlis yang dihadiri guru-guru. Nada beliau adalah nada merayu.
 
Sebagai Setiausaha Agong UMNO, beliau sedia tahu tentang kedudukan sokongan orang Melayu terhadap parti itu ketika ini. 
 
Adakah UMNO dalam keadaan terdesak untuk mendapat sokongan dari orang Melayu? Dalam bentuk pertanyaan lain, adakah  sokongan orang Melayu kepada UMNO telah merosot seperti yang dipamerkan dalam PRU 13 dan beberapa pilihanraya kecil selepasnya?
 
Kita tafsirkan dulu cadangan setiausaha agong UMNO itu.
 
Pertama, cadangan dan rayuan beliau itu ianya memberitahu kita atau kita boleh menafsirkannya bahawa UMNO menghadapi masalah dalam mendapatkan kepercayaan dan sokongan dari orang Melayu walaupun UMNO mempunyai bilangan 3.5 juta ahli orang Melayu dan mempunyai bilangan kerusi di DUN dan Parlimen yang lebih banyak dari parti-parti lain.
 
Maknanya bilangan sokongan dari orang Melayu pada PRU 13 dan pilihanraya-pilihanraya kecil selepasnya tidak menggalakkan, malah menurun walaupun calun BN yang memenangi pilihanraya tersebut seperti di Teluk Intan.

Kedua, cadangan itu dengan jelas bermaksud bahawa UMNO boleh mengharapkan sokongan dari guru-guru Melayu. Maka usaha untuk menarik dan membenarkan guru-guru untuk aktif dalam politik (maksudnya UMNO) perlu dilakukan segera.
 
UMNO memerlukan sokongan pengundi Melayu yang meningkat. UMNO, khususnya Setiauasaha agongnya yakin bahawa guru-guru adalah kelompok yang boleh diharapkan.

Ketiga,  setiausaha agung UMNO itu mengatakan salah satu sebab merosotnya sokongan kepada UMNO datangnya dari guru-guru. Ertinya beliau 'menyalahkan' guru kerana tidak menyokong UMNO. Guru tidak menyokong UMNO kerana tidak dibenarkan aktif berpolitik (bergiat dalam UMNO).
 
Keempat, cara berfikir Setiauasaha agung ini masih tidak berubah dan dikongkong oleh pemikiran lama bahawa pengundi Melayu itu adalah seperti ikan dalam lubuk yang laparkan umpan di mata kail. 
 
Oleh itu UMNO mesti mencari LUBUK dimana banyaknya Melayu. 
 
Itulah cara penyelesaian Setiausaha agung UMNO itu bagi memenangi dan mendapat sokongan orang Melayu yang lebih ramai.
 
Penyelesaian itu memberi fokus hanya ke luar saja. Ertinya yang tidak kena ialah sokongan orang Melayu dan bukan disebabkan kegagalan pimpinan UMNO dalam memberi perkhidmatan dan menjaga kepentingan orang Melayu. 
 
UMNO tidak bertanya mengapa orang Melayu termasuk yang dulunya dianggap sebagai ikan laparkan umpan tidak lagi menyokong UMNO. UMNO tidak melihat ke dalam.
 
Kalaupun UMNO melihat ke dalam, apa yang UMNO jelas nampak ialah berbagai kemudahan yang disediakan kerajaan seperti pinjaman mudah, projek dan kontrak kerajaan. 
 
Itupun tidak semua ahli UMNO diberi peluang, apatah lagi orang Melayu yang bukan ahli dan mereka yang terpaksa menyokong parti lawan disebabkan terlalu benci dan meluat akan gelagat dan kelakuan pimpinan UMNO yang berkuasa, yang menyapu semua kemudahan, projek dan kontrak untuk diri, keluarga dan mereka yang hidup dalam lingkaran kepimpinan itu.   
 
Banyak contoh boleh diberikan. Kes lembu NFC paling mudah difahami kerana ia membabitkan pinjaman mudah seperti pinjaman Tabung Pendidikan.
 
Bezanya, yang mendapat pinjaman kes lembu itu ialah dari kepimpinan UMNO. Yang mendapat pinjaman Tabung Pendidikan itu adalah anak-anak orang yang tidak berkemampuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran diperingkat lebih tinggi.
 
Bezanya juga, yang gagal dalam mengurus dan menggunakan pinjaman kes lembu itu tidak dikejar ke lubang cacing menuntut agar pinjaman lebih 350 juta itu dibayar balik. 
 
Tidak seperti kegagalan membayar balik pinjaman tabung pendidikan, dikejar sampai ke lubang cacing. Belum dapat kerja, dengan segera notis menuntut bayaran balik diterima. Peduli apa dengan anak muda yang menganggur itu, pinjaman mesti bayar segera. 
 
Gagal bayar, nama disenarai hitamkan dan disebar kepada institusi kewangan supaya ambil tahu anak muda itu tidak layak diberi bantuan kewangan. Gagal bayar, diheret ke mahkamah untuk 'mencari keadilan'.
 
Bolotan berbagai peluang kemudahan, projek dan kontrak itu dilakukan dengan cara batil dan monopoli. Hanya diri pimpinan dan mereka dalam lingkungan saja yang menikmatinya.
 
Jadi sudah tentu orang UMNO yang lain marah dan benci. Mereka benci lalu tidak mengundi UMNO.
 
Jadi sudah tentu orang Melayu dari parti bukan UMNO naik berang dan marah. Mereka tidak perlu diyakinkan untuk menolak UMNO.
 
Sudah tentu juga orang Melayu yang tiada parti marah. Mereka juga ada anak yang mendapat pinjaman tabung pendidikan yang dikejar oleh pihak tabung untuk segera bayar hutang. Mereka beralih mengundi selain UMNO.
 
Tapi tidak dinafikan ada yang masih mengundi UMNO walaupun berlaku seperti yang dinyatakan diatas. Sebab mereka orang susah, kurang cerdik dan terbatas capaian maklumat. Mereka inilah dijadikan ikan oleh UMNO dalam setiap pilihanraya. Berbagai janji, pemberian dan projek melulu diluluskan.
 
Sebenarnya UMNO ada dua LUBUK Melayu yang menjadi harapan kepada UMNO. Lubuk pertama ialah di kawasan-kawasan kampong dan pedalaman. Lubuk kedua ialah dikalangan guru-guru Melayu.
 
UMNO tidak boleh bergantung harap pada orang Melayu dibandar dan dipinggir-pinggir bandar terutama dikalangan anak-anak muda dan mereka yang berpendidikan tinggi dan mempunyai capaian maklumat yang berbagai; mereka yang tahu apa sebenarnya tanggungjawab sebuah kerajaan.
 
Bagi UMNO, orang-orang Melayu di kampong-kampong adalah ikan atau orang yang berkelakuan seperti ikan yang mudah  tertarik dengan umpan dimata kail (pancing), lalu 'dingapnya' (cuba ditelan) umpan dimata kail itu, yang akhirnya ikan itu disentap dan disantap sebagai hidangan paling enak.   
 
Dalam pemikiran UMNO atau kepimpinan UMNO seperti Setiausaha agong parti itu, lubuk yang paling banyak Melayu jenis ikan itu ialah dikampong-kampong dan kawasan pedalaman yang banyak ketinggalan dalam berbagai keperluan hidup.
 
Orang Melayu dalam lubuk ini sebahagian besarnya adalah orang Melayu yang kurang berpendidikan, yang hanya bergantung dan disuapkan dengan maklumat dan penerangan dari media kawalan kerajaan (BN), yang miskin yang sentiasa mengharapkan pertolongan dan tahu mengenang budi dan membalas jasa atas bantuan yang diterima walaupun hanya sehelai kain batik atau wang BR1M RM 500 sekali bagi tempoh antara satu pilihanraya.

UMNO tahu dan sedar bahawa orang Melayu dalam lubuk ini tidak ambil kisah atau mengambil ringan saja tentang perlunya sebuah kerajaan yang menjalankan tadbir urus negara yang baik, bertanggungjawab dan amanah. Orang Melayu dalam lubuk ini tidak memandang rasuah dan salah guna kuasa sebagai perkara yang hina dan perlu ditentang; mereka tidak melihat boros belanja wang negara dan pembaziran wang tersebut sebagai antara penyebab utama mereka berkeadaan miskin dan hidup serba kekurangan sehingga kini.

Orang Melayu lubuk ini laparkan projek pembangunan. Mereka mahu air dalam paip, letrik, jalan dan jambatan. Mereka terhutang budi apabila diberikan bantuan wang tunai walaupun sedikit cuma, walaupun sehelai kain batik, walaupun sekampit beras 10 kg, walaupun sekilo gula.
 
Yang penting bagi orang Melayu dalam lubuk ini ialah pertolongan dan bantuan yang memudahkan kehidupan mereka walaupun keenakan itu dirasa dalam waktu yang singkat,  walaupun sekali sekala dan bermusim, walaupun kecil dan sedikit, antaranya pemberian BR1M, projek parit dan longkang, jalan dan jambatan sekolah dan balai raya. 
 
Orang Melayu dalam lubuk ini tidak menganggap segala bantuan, pertolongan dan projek pembangunan yang dilaksanakan itu adalah merupakan tanggungjawab sebuah kerajaan terhadap rakyat dan negara. Paling malang sekali, ada juga yang menganggap wang dan bantuan yang diterima itu datangnya dari poket pihak yang memberi atau yang melaksanakan projek tersebut, dan bukan wang hasil negara yang mereka ada hak keatasnya.
 
Maka berhutang dan terhutang budilah mereka selama-lamanya, selagi hayat dikandung badan. Kata mereka, "Ada ubi ada batas, orang berbudi kita membalas", lalu terus mereka memberi undi dari dulu, kini dan selama-lamanya kepada pihak yang dikatakan berbuat budi itu.
 
Lubuk kedua pula ialah guru-guru. Sekarang UMNO fokus kepada guru-guru pula.
 
Sehingga kini, UMNO percaya, seperti yang dijelmakan dari pemikiran setiausaha agung UMNO itu, ialah bahawa satu lagi LUBUK Melayu yang menjadi tempat mengail yang lumayan bagi UMNO ialah dikalangan guru-guru. Kerana sebahagian besar guru-guru itu adalah orang Melayu.
 
Berbeza dengan orang-orang kampong, guru-guru ini berkehidupan sederhana, dan ada setengahnya mewah, berpendidikan baik dan amat berpengaruh dikalangan masyarakat. 
 
Guru berpengaruh dalam masyarakat. Umno dapat dua keuntungan dari guru. 
 
Pertama mengundi UMNO.  (Itulah yang terus dipercayai UMNO berdasarkan cerita silam).
 
Kedua menjadi agen UMNO untuk mengajak pengundi Melayu lain mengundi UMNO.
 
Itu cerita pada zaman dahulu. Sekarang sudah ada lain ceritanya walaupun ada guru-guru yang mengambil peranan tradisi itu iaitu mengundi dan ajak orang Melayu mengundi UMNO.
 
Pada suatu masa dulu memang guru-guru adalah kelompok yang memenangkan UMNO. Mereka boleh diharap. 
 
Apa kata guru, itulah kata masyarakat Melayu. Guru kata dan ajak undi UMNO, orang Melayu akan heboh-heboh dan ajak undi UMNO. Guru kata parti PAS itu tidak betul, sebahagian besar orang Melayu memanjangkan kata-kata itu. Guru Melayu kata DAP anti Melayu dan Islam, orang Melayu sangat marah dan benci DAP dari dulu, kini dan mengharapkan selama-lamanya.
 
Sikap dan pendirian guru itu dipengaruhi oleh semangat mahu berjuang demi kepentingan orang Melayu , agama Islam dan tanah air. Sama juga dengan semangat ahli-ahli UMNO dan orang Melayu lain pada suatu ketika dulu.
 
Tapi ianya hilang lesap. Bila bermulanya hilang lesap tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun tahun-tahun 80 an dimana kerancakan pembangunan fisikal mengambil tempat yang hebat, sehinggalah sekarang ini, semangat juang dulu nyata telah terhakis dan dilupakan saja. 
 
Terciptalah jutawan Melayu. Hanya beberapa orang saja. Itupun sudah reput.
 
Kepimpinan Melayu UMNO memberi fokus mengejar dan mendapat kuasa serta mengekal kuasa demi kekayaan diri, kemewahan hidup yang mudah diperolehi secara yang tidak teratur dan batil. 
 
Lahirlah juga kumpulan kecil elit Melayu yang hidup dalam lingkaran pemimpin UMNO, menjaga kepentingan diri dan kepentingan kepimpinan itu.
 
Maka sebahagian besar orang Melayu yang diluar lingkongan diatas menjadi terpinggir, hidup dalam kesusahan, rendah pendidikan, rendah tahap kesihatan, dan terbatas capaian maklumat. Mereka ini miskin.
 
Ada pihak menganggarkan, bilangan Melayu dalam kelompok ini adalah 40% dari jumlah semua orang Melayu.
 
Keadaan semacam itu amat menyedihkan. Setelah negara merdeka lebih 56 tahun, majoriti kehidupan orang Melayu adalah seperti itu.

Maka orang Melayu sudah meluat dengan perangai UMNO dan kepimpinan. Lalu mereka beralih kepada parti lain, bukan UMNO/BN. Ini jelas dalam PRU 13 dan pilihanraya kecil selepasnya.
 
Lalu setiausaha agung UMNO mengemukakan cadangaan agar guru-guru dibenarkan aktif berpolitik seperti suatu masa dulu.

Dia lupa atau tidak sedar kerana kemabukan dik kemewahan hidup. Guru-guru bukanlah ikan yang laparkan umpan. 
 
i) Mereka bijak berfikir. 
ii) Mereka tahu mana yang hak dan mana yang batil. 
iii) Mereka tahu apa yang berlaku dalam negara termasuk dalam hal penggunaan wang dan aset negara. 
iv) Mereka tahu banyak yang tidak betul dan teratur dalam urus tadbir negara. 
v) Mereka tahu kerajaan yang ada ini boros. 
vi) Mereka tahu beban hutang negara sudah tenat. 
vii) Mereka tahu perlakuan rasuah dikalangan pimpinan begitu meluas dan besar sekali tanpa tindakan.
viii) Mereka tahu dan ada maklumat tentang salah guna kuasa dan campur tangan serta pengaruh dan tekanan yang dikenakan ke atas berbagai institusi penguatkuasa dan keadilan.
 
Banyak yang mereka tahu kerana capaian maklumat mereka tidak terbatas.
 
Jika UMNO mengharapkan semua guru-guru akan menyokong UMNO jika diberi kebenaran aktif berpolitik, maka UMNO sebenarnya cari nahas menggali kubur sendiri. Sebahagian besar guru tidak akan menyokong BN/UMNO kerana perangai UMNO/BN masih lagi perangai UMNO.
 
Apa dia perangai UMNO itu?
 
 Fikir-fikirkan sendiri.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan