Theflowersellingboy

Selasa, 10 Jun 2014

Aduh Sakitnya Duri Ini.......Ini Semua Facebook Punya fasal




Satu dari jari tangan kanan saya berdarah, dicucuk oleh duri. Saya menyalahkan duri itu.

Waktu mencabut rumput/pokok berduri yang kian membiak di kawasan rumah, saya terkena cucukan duri dari tumbuhan itu. Saya mengaduh sakit dan marah kepada pokok itu.

"Mengapalah kau berduri. Menyusahkan orang".

 Saya menyalahkan tumbuhan itu kerana durinya, jari saya berdarah.

Jika ada anak kecil yang mendengar kata-kata marah saya itu, besar kemungkinan anak kecil itu akan ketawa dan berkata, 

"Memanglah tumbuhan itu berduri. Berhati-hatilah. Pakailah sarung tangan".

Anak kecil itu pun tahu bahawa duri yang ada pada tumbuhan itu adalah atas kehendak Allah. Jadi, mengapa salahkan tumbuhan yang berduri itu? Kenapa tuding jari? Kenapa tengok ke luar?

Sebenarnya saya tidak bermaksud untuk bicara fasal tumbuhan yang berduri yang melukakan jari itu. Itu adalah rekaan saja sebagai 'appetizer', penaik selera bagi cerita seterusnya.

Saya mahu cerita atau bicara fasal facebook. Sebelum itu saya perlu jelaskan maksud penggunaan perkataan kita. Kita bermaksud merangkumi diri saya, semua orang Melayu/Islam dan semua orang Melayu yang berkuasa sama ada kuasa politik atau apa saja kuasa yang dimiliki termasuk agensi-agensi dibawah kawalan.

Saya menonton satu video melalui paparan facebook saya. Video yang memperlihatkan seseorang yang sangat marah dengan facebook. Katanya, facebook memberi kesan yang buruk kepada masyarakat khususnya kepada masyarakat Melayu/Islam. Dan katanya lagi facebook itu adalah agenda Yahudi bagi melemahkan umat Islam!

Saya bersetuju seratus peratus akan kata-kata orang itu (mungkin ramai orang memanggilnya ustaz, tapi saya mengelak dari menggunakan panggilan ustaz kerana title ustaz nampaknya begitu murah digunakan, di Malaysia ini) tentang kesan buruk dan penyakit sosial serta moral rendah dikalangan orang Melayu yang menggunakan facebook atau yang suka berfacebook.

Saya juga tidak bersetuju 100 peratus cara fikir orang itu.

Jari saya luka, saya marahkan tumbuhan yang dicipta Allah yang memilik duri. Saya tidak pula menyalahkan diri supaya berhati-hati semasa mencabut tumbuhan itu, dan tidak pula menggunakan sarung tangan sebagai pelindung.

Anak-anak kecilpun tahu, duri itu boleh melukakan jika tidak tahu cara mengurusnya.

Orang itu marah kerana perkara-perkara yang bukan-bukan didedahkan kepada orang tidak perlu tahu melalui paparan difacebook. Misalnya hal-hal peribadi tentang hubungan suami isteri; memaparkan gambar-gambar diri yang memalukan. Dan banyak lagi paparan yang hina lagi menjijikkan.

Dan yang paling malang ialah pengguna-pengguna facebook itu melakukan dengan bangga dan rela hati untuk diketahui semua pihak. 

Dijauhi Allah perangai seperti ini. 

Tapi persoalannya mengapajadi begitu? Adakah disebabkan facebook?

Perlu ingat dan sedar bahawa facebook itu adalah alat atau media sebaran sama seperti tv dan yang lainnya. Alat yang dikendalikan oleh manusia untuk sesuatu tujuan dan keperluan. Jika kita menggunakan bagi maksud yang baik, baiklah kesannya. Sebaliknya,jika buruk yang hendak kita paparkan, buruklah kesannya.

Dengan penggunaan facebook, kita boleh menyampaikan berita tentang keadaan kita, misalnya dari segi kesihatan, kepada anak-anak dan saudara-mara yang berjauhan pada masa sebenar. 

Berita dan cerita disampaikan secara langsung. 

Boleh berdakwah dan menyampaikan ilmu yang berguna untuk dimenfaatkan oleh ramai orang (pengguna facebook).

Jadi mengapa salahkan facebook?

Yang bersalah adalah pengguna facebook yang muka tidak tahu malu. Pengguna yang tidak berakal budi, yang tidak ada ilmu dan pengetahuan yang baik tentang maruah, moral dan dosa pahala.

Dan mengapa pula kita selalu dengan pantas menuding jari ke pihak luar apabila berlakunya keruntuhan akhlak dan moral dikalangan kita. Apabila kita lemah, kita miskin, kita kalah, kita tidak mampu menghadapi saingan, kita cari pihak lain sebagai pihak yang bersalah yang menyebabkan kita berkeadaan sedemikian.

Adilkah kita?  Betulkah cara yang kita lakukan itu?

Bagi saya cara itu tidak betul bahkan boleh melemahkan kita buat selama-lamanya. Sebab selama-lamanya kita akan mencari pihak lain bagi meletakkan kesalahan atau kekurangan yang ada pada kita. 

Jawapan kita mudah saja. Maruah kita rendah kerana agenda Yahudi melalui facebook.

Kita tidak mahu berfikir bebas dari persangkaan menyalahkan orang lain. Kerana cara itu sangat mudah. Kerana cara itu ada sokongan emosi. Orang Melayu memang mudah ditakluki oleh emosi.

Kita tidak mahu berfikir seperti yang selalu digesa oleh Allah: Tidakkah kamu mahu berfikir?

Memang benar, Yahudi dinyatakan sebagai puak yang menjadi ancaman kepada orang Islam selagi kita tidak mengikutnya.

Tapi tidak wajar dengan mudah kita menyatakan bahawa keruntuhan moral bangsa kita disebabkan facebook yang katanya menjadi agenda Yahudi.

Apa bukti kita? Tidakkah kita emosional?

Jika pun kenyataan itu ada bukti dan benar, dan setakat sekarang belum dibuktikan, bukan cara itu untuk membina bangsa dan agama kita. 

Bukankah jalan yang terbaik bagi mengatasi kelemahan, rendah moral dan berbagai penyakit sosial yang menimpa masyarakat Mealayu/Islam diatasi dengan melihat pada diri kita, diri orang Melayu.

Apa yang lebih pada kita?

Ilmu dalam berbagai bidang?

Amalan dalam berbagai bidang?

Perlakuan dalam  sebuah kehidupan?

Sesungguhnya sehingga kini, berbanding dengan bangsa lain, tiada benda, hal, bidang, bahagian dan apa saja keadaan atau yang bersifat positif yang kita miliki dan kuasai melebihi bangsa lain.

Amalan dan perangai kita pun banyak yang buruk dari yang baik. Pengguna facebook adalah contoh yang jelas. 

Yang pasti ialah kita suka mencari orang lain untuk memikul beban kelemahan kita.

Apabila dikatakan banyak Melayu yang murtad, kita menyerang orang keristian yang memberikan bantuan kepada simurtad itu. 

Mengapa perlu marah kepada orang kristian. Memanglah tujuan mana-mana agama untuk menyebarkan agama masing-masing. Keristian dan Islam dan penganut agama lain usahlah menafikan.

Kenapa kita tidak bertanya kepada agensi yang mengutip zakat berjuta-juta ringgit. 

Mengapa tidak beri bantuan kepada orang Melayu yang memerlukan. Cukup kah hanya berbagga dengan kutipan berbilion tanpa dimenfaatkan untuk mengembangkan syiar Islam dan menyekat orang Islam dari mengharapkan bantuan dari gereja.

Itu adalah sedikit contoh sikap kita.

Facebook yang tidak boleh membela diri itu kita tembak . Kita yakin facebook yang tidak bernyawa itu mati dari tembakan kita? 

Tidak kah kamu berfikir?
  
Mengapa kita sentiasa dan suka menjadi pengguna. 

Mengapa kita tidak melawan agenda Yahudi itu dengan cara kita jadi pencipta satu alat media sosial yang baru yang dibawah penguasaan dan kawalan kita.

Kita tentukan bahawa media ciptaan kita itu tidak boleh menerima unsur-unsur yang tidak baik seperti gambar lucah atau dedahan sesuatu perkara yang tidak sesuai dari segi moral, adab budaya kita, dan terlarang disisi Islam.

Mengapa kita suka menyerang pihak lain, dan dalam masa yang sama kita menjadi pengguna yang taat pada alat media facebook yang dikatakan ciptaan pihak lain (Yahudi).

Oleh itu kita mesti mencipta alat seperti itu sebagai alternatif kepada facebook, alat yang dikatakan ciptaan Yahudi. 

Selagi kita tidak dapat menghasilkan alternatif bagi kegunaan umat Islam/Melayu, selama itulah kita terpaksa bergantung kepada alat ciptaan selain dari orang Melayu/Islam. Dan selama itulah kita terdedah kepada berbagai applikasi yang ada dalam alat itu menurut apa yang dikehendaki oleh penciptanya, orang bukan Islam.

Dan kita akan terus menuduh orang itu jahat.

Jika kita masih meneruskan sikap yang sama yang suka menyalahkan pihak lain sedangkan alat ciptaan pihak lain itu seperti facebook jika digunakan dengan tertib ianya lebih memberi menfaat berbanding dengan masalah, kita sebenarnya memanjangkan masalah yang membebankan kita.

Sudah tentu itu bukan sikap yang kita mahu.

Akhirnya saya ingin mengingatkan bahawa sebahagian besar ciptaan dalam apa saja bentuk dan kegunaan, sehingga kini bukan ciptaan dari umat Islam. Dan terlalu jauh bagi kita orang Melayu untuk mengaku ciptaan kita.

Sebab?

Kita suka menyalahkan orang lain.
 

Kita suka melakukan salah guna. Salahguna alat. Salahguna kuasa.

Kemudian kita kata pihak lain ada agenda jahat terhadap kita.

Cukuplah. Esok saya akan menyambung kerja mencabut tumbuhan yang berduri itu. Saya akan pakai sarung tangan dan berhati-hati semasa mencabut tumbuhan berduri itu. Tapi saya masih lagi menggunakan sarung tangan dan gunting ciptaan bukan Melayu.
 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan