Theflowersellingboy

Ahad, 22 Jun 2014

Berpuasa dan Beraya: Dulu dan Kini




Seminggu lagi umat Islam di Malaysia akan berpuasa. Sekarang tarikh mula berpuasa tidak sekecoh seperti dulu - sepuluh dua puluh tahun dulu. Masa dulu kita main teka teki -mungkin esok, mungkin lusa. Bagi orang-orang di kampong ketika itu, mereka lebih bersiap sedia untuk menghadapi puasa pada esok harinya. Maka pada hari sebelumnya mereka menyembelih lembu bagi menyambut hari puasa esok harinya. Ditempat saya hari itu dipanggil 'hari membantai' -ertinya hari menyembelih lembu bagi persediaan puasa pada esok harinya.

Dalam banyak kali, puasa tidak jadi pada esok harinya kerana penyimpan mohor raja-raja mengistiharkan anak bulan tidak kelihatan dimana-mana lokasi tinjauan yang telah ditetapkan. Maka lusa barulah mula berpuasa. Ada juga mereka yang marah-marah kerana tidak jadi berpuasa. Lembu telah tumbang dan kenduri mula berpuasa telah dibuat, tapi puasa tidak jadi.

Ada juga yang berpuasa tanpa menghiraukan peristiharan penyimpan mohor raja-raja. Mereka ini berpuasa atas keyakinan sendiri bahawa anak bulan telah ada, tapi yang melihat tidak nampak. Ada pula menyatakan bahawa menurut kiraan , puasa jatuh pada hari tersebut bukan seperti hari yang diistiharkan.

Perbezaan ini berlaku juga diantara negeri. Ada negeri mengistiharkan puasa lebih awal dari negeri lain. Singapura juga berpuasa pada tarikh yang tidak sama menurut tarikh yang diistiharkan oleh penyimpan mohor.

Ada setengah pihak yang suka keadaan seperti ini. Jika di negerinya berpuasa awal, dia akan pergi ke negeri yang mula berpuasa pada hari lusa. Begitu juga dia akan beraya dinegeri yang awal memulakan puasa.

Dulu memang kecoh. Merumitkan bagi orang yang bekerja untuk merancang dan mengambil cuti.

Tapi, menjalani puasa waktu dulu lebih menyeronokkan.

Pertama,  bukan kerana seronok untuk melakukan amalan berpuasa, tapi seronok dapat makan daging. Daging jarang sekali menjadi bahan makanan pada hari-hari biasa. Sebahagian besar orang kampong hanya mampu makan daging sekali atau dua kali setahun - iaitu pada mula menyambut puasa dan pada akhir bulan puasa , waktu menyambut hari raya.

Pada hari-hari berkenaan, mereka adakan kenduri. Bermula selepas Maghrib, mereka akan pergi rumah ke rumah untuk menjamu selera dalam majlis kenduri itu -kenduri doa selamat.Sudah tentu tumpuan mereka ialah pada masakan yang berdaging.  Disentapnya daging itu, sepuas-puasnya. Jamuan kenduri rumah ke rumah itu berakhir sehingga larut malam. Setiap rumah perlu dihadiri. Kalau tidak tuan rumah akan berkecil hati.

Bagaimana dengan solat Isya'?

Biasanya tidak diberi perhatian. Banyak yang tinggalkan saja. Yang penting pergi kenduri rumah ke rumah.

Kedua, perkongsian makanan antara jiran. Apa yang jiran makan, kita juga akan dapat makan. Dan apa yang kita makan, jiran juga dapat makan.

Makan waktu berbuka sungguh menyeronokkan kerana makanan yang kita tidak ada, dapat juga kita makan. Makanan tiada yang bersisa, habis semuannya dimakan.

Ketiga, pukulan beduk sebagai tanda berbuka. Dulu tiada azan di radio untuk menentukan waktu berbuka puasa. Tidak ada siaran tentang waktu berbuka dan bersahur. Tidak juga ramai yang mempunyai jam ditangan. Jadi sebahagian besar mereka bergantung kepada pukulan beduk. Maka apabila hari mula gelap, mereka memasang telinga untuk mendengar paluan beduk. Dan bunyi pukulan beduk ini boleh didengar dengan jelas kerana suasana di kampong tidaklah jauh dari bunyi bising dan hiruk pikuk.

Keempat, ada jiran atau orang-orang yang mengejutkan kita untuk bangun bersahur. Terdengarlah seruan, " sahur, sahur, waktu sahur, bangun!"

Kelima, membuat sendiri kuih muih raya. Kuih muih itu dibuat bersama dengan ahli keluarga, dan kadang-kadang melibatkan jiran. Kuih sensagun dan sepit belanda adalah diantara kuih yang mesti dibuat. Begitu juga dodol.

Tentang dodol ini, ada yang menganggapkan sebagai raja kuih. Tanpa dodol , raya tidak ada maknanya. Maka dodol mesti dikacau. Dan dodol memerlukan tenaga yang kuat dan bilangan pengacau yang ramai. Maka jiran-jiran mesti diajak sama. Dan jiran-jiran itu juga akan diberi habuan dodol.

Keenam, membersih dan menyeri sekitaran kawasan dan dalam rumah. Alas batu bagi tiang-tiang rumah mesti dibersihkan, kemudian disapu kapur putih untuk kelihatan lebih cantik. Pada beberapa malam menghampiri raya, dalaman rumah dihiasi dengan langsir-langsir dan dinding-dinding rumah dilekat/dipaku dengan daun dan bunga kertas.

Ketujuh, dapat pakaian baru -baju , seluar dan kasut baru untuk ditayang pada hari raya. Paling seronok sekali kerana pakaian-pakaian baru itu hanya dibelikan wakltu menyambut hari raya saja. Bagi anak-anak yang bersekolah, warna seluar dan baju adalah sama dengan warna uniform sekolah iaitu seluar biru dan baju putih. Kasut adalah kasut getah berwrna putih. Jimat duit belanja.

Dan akhirnya, pada hujung berpuasa, sebelum esoknya raya, maka sekali lagi diadakan membantai -menyembelih lembu untuk menyambut hari raya. Berduyun-duyun mereka berkumpul menyaksikan penyembelihan lembu itu, dan membawa pulang sekati dua daging untuk dimasak.

Begitulah suasana berpuasa pada suatu ketika dulu. Berpuasa dan beraya adalah satu keistimewaan, berbeza dengan hari/bulan yang lain.   

Sekarang terlalu banyak bezanya. Sekarang, bila-bila masa saja kita boleh makan daging. Bila-bila masa saja kita boleh membeli pakaian baru. Tidak perlu penat buat kuih muih sendiri - boleh dibeli dipasaran terbuka, melalu pesanan internet.

Sekarang tiada beri memberi kuih antara jiran. Tiada kejut mengejut untuk bangun bersyahur. Malah mendapat herdikan jika ada yang cuba mengejut jiran untuk bangun bersyahur.

Sekarang, kita tidak kecuh lagi dalam menentukan bila mula berpuasa dan bila mula raya.

Dan sekarang kita berbuka dengan hidangan yang tidak cukup meja -terlalu banyak dari berbagai jenis dan rupa serta warna. Banyak makanan yang terbuang dari yang dimakan. Dan kita ulang setiap hari berbuka puasa. Hari ini buang makanan, esok kita akan beli lagi dengan jumlah yang ditentukan oleh nafsu mata dan selera di pasar/bazar ramadhan yang bersepah tumbuh disana sini.






 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan