Theflowersellingboy

Sabtu, 21 Jun 2014

Ola Bola Piala Dunia dan Tilawah Antarabangsa Al-Quran.





Bola bola bola...ola bola. Tak habis-habis. Mula pukul 11 malam sampai 7 pagi esoknya...terpapar siaran langsung bola disaluran 821 Astro. Berbaring diatas katil , mata terbuka mengarah tumpuan ke skrin tv. Kadang-kadang melelapkan mata apabila ditayangkan iklan, dan membuka semula apabila perlawanan mengambil tempat. Ada juga ketikanya terus tertidur. Tv tengok kita pula.

Kesan menonton bola ini, mengantuk dibuatnya. Banyak hal lain yang tertanguh dan tidak dilakukan. Fokus hanya bola......, harapkan pasukan yang disokong menang; teka pasukan mana menang ...berapa gol, siapa yang jaring dan macam-macam lagi.

Nasib baik waktu siaran tidak bertindih dengan masa tilawah al-quran. Kalau tidak, tilawah itupun ditinggalkan. Dahsyat betul pengaruh bola ola bola ini.

Walaupun mengantuk tapi tiap-tiap malam mahu juga tonton. Tak serik-serik.

Tapi bagus juga berjaga tiap-tiap malam. Ini satu latihan bagi menghadapi bulan Ramadhan yang akan menjelang seminggu lagi.

Tiap-tiap malam bolehlah berjaga hingga ke waktu makan sahur dan Subuh. Sepanjang malam selepas terawih boleh baca al-quran, boleh melakukan berbagai solat sunat dan amalan-amalan baik yang lain. Banyak dapat pahala.

Boleh ke seperti menonton bola sepak?

Sudah tentu boleh.

Itulah semangat yang kita mahu.

Tonton bola sepak apa yang kita dapat?

Ya, seronok dan berpuas hati jika pasukan yang kita minat menang. Sudah tentu kita mengantuk dan selalu menguap. Produktiviti kerja mungkin menurun. Daya tumpuan keatas  sesuatu misalnya dalam mengikuti pelajaran dalam kelas menjadi terganggu. Kalau kita sebagai tenaga pengajar, persiapan mengajar tidak dapat disediakan dengan baik, penyampaian pun tidak lancar , tersekat-sekat dan tidak jelas. Dalam mesyuarat , banyak yang mendiamkan diri dari mahu memberi idea dan pandangan yang baik dalam mencadangkan sesuatu penyelesaian.
 
Dapat pahala?

Tidak tahu pula. Allah saja yang maha mengetahui.

Sebaliknya berjaga malam untuk tujuan beramal dalam bulan Ramadhan telah dijanjikan Allah pahala yang berlipat ganda. Itu janji Allah kita kena percaya dan yakin.

Oleh itu latihan berjaga malam menonton tayangan siaran langsung bola ini, wajar kita terus dan amalkan sepanjang bulan Ramadhan. Dan kita sambung dalam bulan-bulan yang lain sebagai satu cara hidup kita.

Boleh tak?

Jawabnya sudah tentu boleh kerana ada hal baik yang kita hendak kejar dan perolehi. Kita hendak kejar kehidupan yang diredhai Allah; kita hendak menyambut janji Allah tentang pahala; sudah tentu kita yakin Allah akan membalas dengan kehidupan dalam syurga. Bukankah kehidupan di syurga yang kita idam-idamkan? Ya, sudah tentu begitu.

Jadi , tengok bola tidak mengapa, asalkan jangan lupa kewajipan kita mentaati perintah Allah. Kalau kita mampu tengok bola dari malam sehingga pagi, dan kesannya kita letih dan mengantuk,  mengapa pula tidak sanggup berjaga malam dan melakukan amalan sepanjang dalam bulan Ramadahan ini? Dapat pahala berganda pula.

Sekali lagi saya tanya pada diri sendiri: Boleh tak saya berjaga malam dalam bulan Ramadhan ini sama seperti berjaga menonton bola?

Saya mesti menjawab boleh. Kerana tiada siapa yang melarang.

Tapi mampukah saya berbuat demikian?

Mampukah anda berbuat demikian?





Tiada ulasan:

Catat Ulasan