Hari ini, Selasa 21 Ogos 2011 bersamaan 3 Syawal 1433- sudah tiga hari kita menyambut hari raya idilfitri.
Hari ini juga adalah hari ulangtahun kelahiran anak saya Hazlin Azzamiza. Papa dan mama mengucapkan semoga dipertingkatkan iman , diberi petunjuk dan bimbingan oleh Allah SWT agar menjadai anak yang soleha; dimurahkan rezki dan dikiurniakan rezeki yang halal dan barakah; dikurniakan zuriat yang sempurna yang akan menjadi anak-anak yang soleh dan soleha; dan dikurniakan Allah sebuah rumah tangga yang aman bahagia saling bantu membantu, saling hormat menghormat dan saling berkasih sayang.
Bercakap fasal sambutan hari raya, bagi saya yang terkesan dan menyeronokkan sekali ialah persediaan untuk menyambut kedatangan hari raya itu, dan juga kunjung mengunjung pada hari raya.
Persediaan apakah yang dikatakan terkesan dan menyeronokkan itu?
Membuat kuih muih? Mencantikkan rumah dan persekitaran?
Ya, kedua-duanya amat terkesan dan menyeronokkan. Tapi ianya hanya satu nostalgia, satu kenangan masa lalu di zaman kanak-kanak, diwaktu masih bersekolah. Kenangan yang tidak mudah hilang dari ingatan. Tidak lagi sekarang , terlalu banyak yang berubah.
Macam-macam kuih muih disediakan. Dibuat sendiri. Sudah tentu penerajunya emak, saya hanya tukang tumpang semangkuk. Bukan mengacau tapi membantu sama. Bukanlah tekun sangat. Dijerit oleh emak barulah datang dengan malas longlai membantu emak buat kuih. Tapi paling digeruni ialah sergahan dari abah. Yang ini cuba dielakkan.
Kerja yang selalu mendapat panggilan dari emak ialah waktu membuat kuih baulu. Dulu tidak ada mesin pembancuh bahan-bahan baulu. Semuanya menggunakan kudrat tangan. Maka emak akan memanggil anak-anaknya untuk tolong 'memukul' bahan-bahan kuih itu yang dimasukkan dalam satu bekas (pasu) sehingga bahan-bahan itu 'naik'. Kerja itu tidaklah susah tapi memakan masa yang panjang dan amat memenatkan tangan. Tambah-tambah lagi emak sentiasa berpesan agar jangan berhenti dari memukul nanti bahan itu tidak 'naik' dan kuihnya tidak sedap. Inilah yang membuatkan kami adik beradikcuba mengelak melakukannya. Atau kami selalu jadi 'pengelat'. Bila emak tiada dimata kami berhenti berehat. Bila emak nampak, lalu dari jauh dia menjerit meminta supaya jangan berhenti memukul.
Bahan bakar untuk membuat kuih itu di ambil dari sabut dan tempurung kelapa. Maka banyaklah asap, dan mata menjadi terlalu pedih dengan asap yang terlalu banyak.
Yang paling seronok ialah bila buat kuih sepit belanda, yang sekarang ini ada yang orang panggil kuit sepit atu kuih kapit saja. Membuat kuih ini juga terpaksa berlawan dengan asap. Tapi yang seronoknya jika kuih itu jadi hangus. Jadi bolehlah kami makan. Emak bukan main marah kerana kami tidak melakukannya dengan baik dengan menjaga api supaya kuih tidak hangus. Kami pula seronok kerana bila hangus dapatlah dimakan.
Satu lagi kuih yang amat menyeksakan diri untuk membuatnya ialah kuih sengsagun. Dari awal pagi sampailah senja baru siap boleh diangkat. Kalau tidak silap bahan-bahan terdiri dari kelapa, tepung dan gula. Digoreng dengan api yang kecil. Sentiasa dikacau dan dijaga apinya. Kalau tidak akan hangus. Inilah kerja yang kami semua cuba elakkan. Tapi bila kena sergahan dari abah semuanya lintang pukang pergi menolong.
Kuih yang paling menyeksakan pada tahap kelas pertam ialh membuat dodol. Saya pernah mencadangkan supaya kuih ini tidak perlu dibuat sebab menyusahkan. menerukkan badan. Tapi apa kata abah sebagai menjawab cadangan saya itu.
"Aku , kalau tak buat dodol, tak rayalah", begitulah semangat yang diberikan oleh kuih dodol yang amat meyeksakan itu kepada abah saya. Kuih lain tidak buat , tidak jadi hal . Dodol , kalau tak buat tak berayalah. Maksud tak beraya ni berat maknanya. Pertama ia merupakan satu amaran kepada anak-anak jangan tak mahu menolong membuat dodol ini. Kedua, kalau tak mahu tolong maka persediaan raya lain misalnya baju, seluar dan kasut tidak akan dibeli. Ketiga, mengatasi kuih lain- ertinya tentukan dodol itu dibuat, barulah kuih lain dibuat sama.
Itu cerita buat kuih. Bagaimana pula kuih itu disimpan? Ada setengah kuih itu disimpan atau lebih tepat dikatakan disorok dari pengetahuan anak-anak terutamanya kuih sepit belanda. Kalu tak disorok maka tak sempat tiba raya tin simpanan kuih itu akan menjadi kosong. Habis semua dikerjakan oleh kami semua.
Tentang mencantikkan rumah dan persekitaran adalah kerja-kerja yang saya gemari sekali. Malah semua kami suka melakukannya, tidak seperti membuat kuih. Saya suka mengapurkan batu-batu yang menjadi alas tiang rumah. Kerjanya mudah sekali. Selain dari itu kawasan laman rumah juga turut dibersihkan dengan membuang rumput liar pada pokok-pokok bunga.
Sekarang ini semuanya sudah berubah. Kuih muih tidak perlu dibuat sendiri. Beli saja. Apa saja kuih yang berkenan dihati termasuk dodol dan kuih sepit belanda terlalu banyak di pasaran. Yang perlu ada wang saja. Tidak perlu menghadapi asap yang memedihkan mata dan berpanas berjam-jam lama untuk menyediakan sesuatu kuih. Tidak perlu berpenat lelah mengacau dodol yang kadang-kadang terpaksa membatalkan puasa kerana keletihan mengacau dan dahaga kehausan dik kepanasan.
Kawasan rumah boleh saja diupah untuk dibersihkan. Yang penting ada wang yang mencukupi. Tidak perlu penat lelah.
Tapi saya masih lagi membersihkan sendiri kawasan luar dan dalam rumah. Kalau diupah rasanya macam tidak seperti persediaan untuk menyambut hari raya. Ertinya tidak ada makna sambutan raya kerana tidak mengeluarkan tenaga sendiri dalam persiapan hari raya. Sama seperti abah yang mengatakan kalau tak buat dodol , raya tidak memberi makna kepada abah. Sekarang baru saya faham bahawa mengeluarkan tenaga sendiri lebih memberi makna kepada sesuatu yang mempunyai hiraki nilai yang tinggi seperti menyambut hari raya.
Walaupun badan penat tetapi terasa puas apabila melihat kawasan dalam dan luar rumah kemas, teratur, cantik dan bersih. Ianya memberi makna kepada sambutan hari raya. Apatah lagi kita meraikan bersama dengan saudara mara dan sahabat handai yang datang ke rumah kita untuk berhari raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan