Theflowersellingboy

Rabu, 8 Ogos 2012

Antara Cicak Yang mengotorkan dan Cucu Yang di Kasihi.

Sesungguhnya cicak memberi masalah kepada saya. Rumah saya terlalu banyak cicak. Ada bersaiz kecil dan ada yang bersaiz besar. Ada yang berwarna coklat yang terang , ada yang coklat yang gelap dan  ada yang berwarna hitam. Ianya amat menggelikan dan kadang-kadang yang bersaiz besar itu boleh menakutkan terutama kepada isteri dan anak-anak perempuan saya. Mereka menjerit apabila ternampak atau terserempak dengan cicak yang bersaiz besar itu . Ada yang tangan terketar-ketar ketakutan, diikuti dengan suara tinggi memarahi cicak itu. Kemudian ketawa.

Ya, cicak memberi masalah kepada saya. 

Selain ianya boleh menimbulkan rasa takut dan menggelikan, cicak membuang najisnya merata-rata tempat didalam dan luar rumah. Cicak berak dalam bilik tidur, bilik air, bilik rehat, dapur, bilik makan dan semua ruang dalam dan luar rumah. Tahinya yang hitam bertumpuk putih itu menyakitkan mata memandang dan menusuk bahu busuk ke hidung. Hii jijik sekali.

Pernah juga saya berikhtiar mencari ubat untuk membunuh cicak-cicak itu. Tapi ubat itu tidak berkesan. Cicak masih lagi menguasai persekitaran rumah, luar dan dalam. Oleh itu jalan yang terbaik ialah dengan cara membersihkan tempat atau ruang yang telah dikotori dengan najis berakannya. Saya lakukan setiap hari. Itupun tidak sampai beberapa minit, cicak akan memberut lagi. Buat kotor. Yang paling menjijikkan jika najisnya dari jenis yang cair. Maka marahlah saya dengan cicak-cicak itu, sama ada saya nampak wajah cicak itu atau tidak nampak. Sumpahan marah tetap keluar dari mulut. Maklumlah setelah penat membersihkannya , cicak itu datang buat kotor lagi.

Tapi kadang-kadang saya terfikir juga bahawa ada baiknya cicak-cicak itu buat kotor kerana ianya memberi satu rutin tetap kepada saya untuk membersihkan rumah dan persekitaran. Anggota badan saya bolehlah menjalan latihan senaman. Kalau tidak mungkin lebih banyak berehat dari bekerja. Ertinya dalam hal yang kita tidak suka rupanya ada juga yang baik.

Mengapa cicak terlalu banyak?

Saya tidak ada membuat kajian atau membaca sebarang cerita sama ada saintifik atau fiksyen mengenai cicak ini. Oleh itu saya tidak dapat mengetahui secara baik dan tepat tentang hal cicak termasuklah pembiakan dan kawaswan pembiakannya. 

Namun dari pemerhatian saya, kelihatan cicak ini suka pada persekitaran yang mempunyai pokok-pokok dan tumbuhan yang lain; suka berlindung disebalik frem gambar yang digantung didinding; suka menyorok dibelakang langsir; dan suka persekitaran yang sunyi.  Cicak juga akan melakukan pembuangan najisnya pada tempat yang sama. Sekiranya najis ditempat itu tidak dibersihkan maka cicak-cicak itu akan menjadikan tempat itu seperti jambannya. Disitulah saja yang diburannya. Sakit hati saya dengan sicicak ini.

Dulu semasa kecil, saya lastik cicak itu dengan getah mainan. Ada juga yang terkena dan putus ekor, lalu saya pukul dengan kayu pembaris untuk menamatkan nyawanya. Dulu tidak rasa geli geleman. Tapi sekarang, tengok cicakpun saya rasa satu macam, rasa geli geleman. Bukanlah takut tapi...entahlah , saya tidak tahu apakah perkataan yang sesuai untuk ditulis tentang perasaan saya terhadap cicak itu. Oleh itu sikap yang saya ambil ketika ini ialah membersihkan saja najis-najis cicak itu sambil mulut berleter marahkan cicak. Kadang-kadang saya rasa cicak itu semacam faham akan perasaan marah saya itu kerana bila saya marah terdapat sambutan dari pihaknya dengan mengeluarkan bunyi dari tempat persembunyian. Entahlah , Allah saya yang maha mengetahui.

Rumah saya sekarang telah dikosongkan melebihi setahun, tiada penghuni. Tapi sekali dua dihujung minggu saya balik ke rumah untuk membersihkan kawasan luar dan dalam termasuklah tahi cicak yang berlambak itu. Rasa sedih ada juga kerana rumah yang dibena bagi tempat bertdeduh dihari tua, dan yang agak selesa juga telah ditinggalkan. Cuma rasa sedih itu terubat kerana rumah itu ditinggalkan kerana menjaga cucu yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Memang benar bahawa cucu itu boleh di serahkan kepada orang lain atau rumah jagaan anak-anak untuk menjaganya semasa kedua ibubapa bekerja.. Tapi pengalaman memberitahu bahawa jagaan yang berbentuk berbayar ini tidak sama dengan penjagaan dari datuk nenek yang penuh dengan kasih sayang.

Jadi, saya dan isteri telah memilih untuk meninggalkan rumah saya itu buat sementara untuk menjaga cucu.  Soal rumah menjadi kotor dengan tahi-tahi cicak, bunga-bunga yang sebahagian besarnya telah layu dan mati dan rumput sekeliling rumah telah semakin tumbuh meliar, tidaklah begitu penting berbanding dengan kasih sayang yang perlu dicurahkan kepada cucu.

Buat sementara? Sampai bila?

Saya sendiri tidak tahu had tempoh sementara itu. Semakin hari rasa kasih sayang akan cucu semakin menebal. Tidak sampai rasanya hati untuk menyerah jagaan kepada pihak lain.

Kekotoran yang dibuat oleh sicicak itu rupanya tidak cukup untuk mencabar kami berdua untuk balik semula tinggal dirumah. Isteri , seorang yang sungguh sukakan pokok bunga dan melakukan kerja-kerja gardening juga nampaknya telah tewas dengan tarikan kasih sayang untuk cucunya.

Kami perlukan kekuatan untuk balik ke rumah. Dan sedang mencari apakah kekutan itu. Mudah-mudahan kami akan bertemu dengan kekuatan itu.  


 

 
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan