Theflowersellingboy

Ahad, 26 Ogos 2012

Beraya Untuk Kutip Wang, Maaf Zahir Batin, Menghentam Orang

Hari Raya sudah lapan hari. Umat Melayu Islam terus merayakannya. Secara amnya sambutan hari raya berterusan sehingga hujung bulan Syawal. Itu yang telah tertanam dalam pemikiran orang Melayu. Puasa sebulan raya pun sebulan. Maka kunjung mengunjung hari raya masih diteruskan . Acara-acara yang berkaitan dengan hari raya juga berjalan sama, misalnya majlis rumah terbuka dan pejabat terbuka.

Kunjung mengunjung hari raya berbeza dengan kunjung mengunjung hari biasa. Kalau berkeluarga dan mempunyai anak-anak, kesemuanya dibawa bersama. Meriah sekali suasana kunjungan itu. Anak-anak pula telah membuat kiraan jumlah duit raya yang bakal diterima. Tetapi dalam keadaan biasa selepas dua tiga raya, harapan untuk dapat duit raya adalah terlalu sedikit sekali. Kalaupun dihulur , jumlahnya tidaklah sebesar yang diharapkan.

Semasa saya beraya di rumah seorang sahabat, kelihatan beberapa anak-anak (tidak kurang dari 5 orang) yang saya jangka berusia diantara 12 hingga 15 tahun, telah meminta saya untuk membuka pintu pagar rumah sahabat itu yang tertutup untuk masuk beraya. Kebetulan saya duduk diluar dan sahabat saya ketika itu sibuk didalam rumah melakukan sesuatu kerja. Saya telah meminta seorang dari cucu sahabat saya itu agar memaklumkan kepada datuknya bahawa ada anak-anak yang mahu beraya dan mencadangkan pintu pagar dibuka. Tapi pintu pagar berkuasa elektrik itu tidak juga terbuka. Anak-anak diluar itu menggesa saya membuka pintu pagar itu. Saya beritahu bahawa saya juga tetamu dan bukan tuan rumah. Anak-anak itu masih tidak berpuas hati dan meminta pintu itu dibuka. Setelah lama juga menunggu dan pintu pagar tidak dibuka mereka meneruskan perjalanan ke rumah sebelah. Rentak kakinya seperti orang marah. Saya tidak pasti sama ada mereka dapat beraya dirumah sebelah.

Pada awalnya saya memuji sikap anak-anak itu yang mahu beraya. Tetapi setelah melihat dari segi pakaian, kata-kata dan gesaannya yang agak keras untuk membuka pintu pagar itu, saya merasakan satu budaya negatif telah lahir dalam tujuan kunjung mengunjung raya ini. Bagus kita datang beraya. Berkenalan ,sapa menyapa dan bermaafan disamping menikmati hidangan apa yang ada. Maknanya kunjungan kita itu biasanya bersama dengan ibubapa dan keluarga. Kalau tanpa ibubapa pun tidak mengapa. Tapi tingkah laku adab sopan mestilah ada pada kita. Jangan menggesa pintu pagar dibuka. Pakaian pun biarlah yang molek mata memandang dan bukan berpakaian seperti orang nak main bola.

Nampak gaya anak-anak itu semacam ada satu tujuan untuk beraya iaitu untuk mengutip wang raya. Ini memanglah boleh difahami kerana kalau dapat banyak duit raya seronok juga. Tapi tidak wajar mendapatkan duit raya itu cara seperti itu, menggesa tuan rumah membuka pintu pagar. Bukan sangat nak beraya tapi hendakkan duit raya. Semacam ada ugutan ditahap yang paling rendah. Tapi kalau itulah pengajaran yang diperolehi dari sebulan berpuasa, amat dukacita sekali. Puasa tidak meninggalkan kesan yang baik tapi melahirkan bakal insan yang suka mengugut.

Saya tidak pula bertanya kepada sahabat saya itu sama ada cucunya telah memberitahu bahawa ada anak-anak yang mahu beraya. Saya percaya jika diberitahu pintu pagar itu dibuka. Namun saya faham jika sahabat saya itu tidak membuka pintu pagar setelah diberitahu oleh cucu. Saya sendiri tidak sedap memandang kelaku dan perangai anak-anak itu.

Itu cerita anak-anak. Cerita orang dewasa semasa kunjung mengunjung raya boleh dikatakan sama saja dikalangan mereka. Apa dia? Cerita fasal poliik dan pilihanraya.

Cerita fasal politik dan pilihanraya ini tidak pernah lupa tentang menceritakan kelemahan dan keburukan pihak yang tidak disukai. Macam-macam cerita. Dari mana maklumat itu diperolehi tidak pula diketahui. Tapi ceritanya lancar sekali. Mengata orang.

Jadi selepas melakukan banyak amalan baik sewaktu berpuasa telah bertukar menjadi medan bicara yang tidak baik semasa menrayakan idilfitri. Anak-anak dengan kelakuan yang kurang sopan yang ingat hanya duit saja. Yang tua lagi teruk , tak habis-habis dengan cerita-cerita yang menjijikkan. Agaknya selepas terpendam pada bulan puasa, semuanya dimuntahkan dalam bulan Syawal, bulan raya. Mengapa?

Mungkin pahala telah banyak dibuat dalam bulan Ramadhan. Jadi bulan Syawal boleh hentam saja. Lagipun dosa-dosa lepas telah terhapus dalam bulan Syawal ini apabila memohon maaf zahir dan batin. Ramadhan akan datang banyakkan amalan baik. Raya nanti minta maaf zahir batin. Lepas itu hentam lagi. 

Sesungguhnya silap sungguh pengertian mereka tentang ibadah berpuasa dan cara menyambut hari raya.

Tapi mereka lupa bahawa Ramdhan tahun depan nyawa ada ke lagi? Kalau rasa ada lagi jangan amalkan perbuatan yang tidak senonoh itu, baik anak-anak apatah lagi yang tua bangka.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan