Theflowersellingboy

Khamis, 16 Ogos 2012

Belanjawan Duit Raya

Belanjawan Duit Raya hanya merujuk kepada duit yang dimasukkan ke dalam envelop kecil yang berbagai warna untuk dihulurkan dihari raya kepada anak-anak dan mereka yang masih belum bekerja dan kepada kedua ibubapa dan saudara mara yang berusia yang kurang upaya dan yang mempunyai pendapatan kecil atau tiada pendapatan. Belanjawan inilah yang sedang saya sediakan/uruskan sempena menyambut hari raya tidak berapa lama lagi.

Untuk menyediakan belanjawan duit raya itu saya mengambilkira dua status yang penting. Pertama status sosial dan kedua status ekonomi.

Dari segi sosial saya mempunyai berbagai kedudukan. Saya  adalah seorang bapa kepada 4 orang anak; saya juga seorang anak kerana saya masih mempunyai emak; anak saudara kerana saya mempunyai bapa dan emak saudara dari pihak emak dan abah; abang  ngah kepada adik beradik yang berjumlah 12 orang lantas secara otomatik bapa saudara kepada anak-anak mereka; datuk kepada dua orang cucu dan datuk juga kepada cucu dari anak-anak saudara yang telah berumah tangga yang mempunyai anak; mempunyai sepupu yang juga mempunyai anak-anak  dan cucu; dan mempunyai sebilangan sahabat kenalan.

Dari segi status ekonomi pula, saya adalah seorang pesara penjawat awam.

Kedua-dua faktor ini mempengaruhi saya dalam menyediakan belanjawan duit raya selepas mengambil kira juga perbelanjaan bagi keperluan yang lain. Nilai wang yang akan saya masukkan ke dalam envelop kecil nanti adalah setelah mengambil kira kedudukan saya itu. Ertinya saya telah membuat jangkaan bilangan yang akan datang beraya dirumah saya atau rumah yang saya akan kunjung untuk berhari raya.

Tahun ini tugas menyediakan peruntukan duit raya itu agak ringan sedikit kerana 3 dari anak telah bekerja. Mereka telah terkeluar dari senarai penerima duit raya. Tapi tempat mereka diambil oleh dua orang cucu. 

Jadi berdasarkan maklumat diatas berapakah agaknya nilai wang yang saya akan masukkan dalam envelop kecil nanti? Perlu diingat bahawa anak-anak sekarang tidak main sen malah seringgit dua atau lima ringgit pun menjadi 'rungutan' tidak puas hati. Ada yang berbisik "kedekutnya datuk/pakngah kita tu". Jadi saya juga perlu mengambil kira harapan anak-anak itu. Pendapatan dari wang bersarapun perlu diambil kira. 

Biasanya kalau anak-anak beraya bersama dirumah ianya amat membantu sekali kerana mereka juga akan menghulurkan duit raya sebagai sebahagian dari bilangan duit raya yang akan dihulurkan kepada anak-anak. Ertinya anak-anak saya itu juga adalah tuan rumah dan hanya satu saja envelop yang sepatutnya dihulurkan. Namun apa yang berlaku masing-masing anak-anak saya itu juga mahu menghulurkan bahagian  masing-masing. Maka seronoklah anak-anak yang menerima envelop lebih dari satu.

Seorang anak saya yang baru bekerja menalipon untuk mendapatkan nasihat berapakah nilai wang yang wajar dimasukkan kedalam envelop kecil itu. Saya hanya meminta dia membuat anggaran kiraan bilangan saudara mara yang datang beraya berdasarkan raya-raya yang lepas. "Banyaknya", antara kata-katanya dalam talipon. Saya hanya ketawa kecil saja.

Begitulah keadaannya setiap tibanya hari raya. Duit raya dalam envelop kecil sudah menjadi satu keperluan. Kalau tidak kita akan 'menghancancurkan' harapan anak-anak yang datang beraya di rumah kita. 

Bagaimana mereka yang tidak berkemampuan?

Oleh itu ada tidak baiknya kita mewarwarkan kepada anak-anak bahawa kunjungan beraya mereka akan menghasilkan huluran envelop kecil berisi dengan wang. Walaupun memang tidak ada niat ibubapa bermaksud begitu bagi kunjungan rayanya tapi anak-anak tetap juga anak-anak, yang sentiasa mengharapkan sesuatu. Apatah lagi dalam keaadaan sekarang ini anak-anak telah lebih awal didedahkan akan kepentingan wang dalam kehidupan, satu kehidupan yang selesa dan mewah. 

Jika tuan rumah tidak menghulurkan envelop itu atau didalam envelop itu terdapat nilai wang yang kecil menurut ukuran keperluan anak-anak sekarang maka jangan pula rasa malu apabila anak-anak itu secara jujur mengeluarkan misalnya kata-kata "tak hulurpun" . Atau jika dihulur envelop dan dengan segera mengoyakkan envelop itu untuk mengetahui berapa nilai wang yang ada didalamnya maka berkatalah dia "singgit je, kedekut".

Sudah tentu muka kita berubah, apatah lagi air muka tuan rumah yang terpaksa buat-buat senyum, tersingai malu.

Berbalik kepada duit raya saya tadi, tidak semua anak-anak yang datang berkunjung akan mendapat huluran. Bukan kerana diskriminasi tapi maklum sajalah bahawa tidak ada mana-mana anggaran belanjawan yang disediakan akan dapat meramalkan keperluan sebenar, termasuk belanjawan negara yang selalu dipinda dan ditambah. Tapi anggaran bagi seorang pesara tidak mudah ditambah begitu saja kerana sumbernya terlalu terhad, tidak seperti anggaran negara.    

Dalam hubungan duit raya ini juga, kunjungan dirumah terbuka pemimpin-pemimpin negara seperti PM, tidak akan mengecewakan anak-anak untuk mendapat duit raya. Kunjungi rumah-rumah mereka. Mereka ada peruntukan yang disediakan oleh negara. 

Tahun ini mungkin nilai dalam envelop kecil pemimipin-pemimpin kita itu akan bertambah atau lebih dari tahun lepas sebab mereka juga tidak lama lagi akan beraya, iaitu bertanding dalam pilihanraya. Pilihanraya bermakna mereka beraya untuk dipilih. Nilaian hulurannya bagaimana? Lebih atau biasa-biasa saja. Allah saja yang maha mengetahui.

Apa pun Selamat Hari Raya maaf zahir batin dari saya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan