Sudah seminggu saya tidak berkesempatan untuk membuat paparan di blog ini. Banyak hal dan aral yang melintang. Sudah tentu bukan kerana saya berpuasa. Cuma satu hal yang pasti ialah kerana mengutamakan keseronokan mata untuk mengikuti sukan olimpik di London menerusi siaran langsong.
Setakat ini prestasi ahli sukan kita nampaknya belum sampai ketahap yang boleh bersaing untuk menang dengan ahli sukan negara lain. Kita masih pada tahap sukan ASEAN saja. Belum juga sampai ketahap sukan Asia.
Walaupun kita mempunyai kekuatan dalam beberapa sukan tertentu seperti badminton, memanah, lumba basikal dan berenang tetapi hasil persaingan tidak juga mampu untuk kita meraih sebarang emas. Hanya satu perak apabila Datuk Lee Chong Wei disekat oleh pemain handal dari China, Lin Dan yang buat kali kedua berjaya mengucilkan Chong Wei untuk membawa emas ke Malaysia. Kecewa sekali Chong Wei. Kecewa sungguh rakyat Malaysia.
Apakah ini merupakan nasib malang ?
Chong Wei bermain dengan penuh kesungguhan dan keazaman untuk menang. Menang untuk dirinya. Menang untuk keluarganya. Menang untuk negara.
Tapi dia kalah juga walaupun tanda untuk menang telah ditunjukkan pada set pertama. Saya rasa rakyat Malaysia telah berangan-angan untuk meraikan kemenangan Chong Wei ini. Dan sebelum set kedua berjalan, mungkin ada diantara kita beranggapan bahawa set kedua adalah sebagai formaliti saja. Kemenagan adalah di pihak Chong Wei.Malaysia akan mendapat kilauan emas pada olimpik London ini.
Jika itulah perasaan kita atau kesimpulan kita maka itulah sebenarnya kesilapan kita. Dan jika itulah juga yang dirasakan oleh Chong Wei maka ianya amat malang sekali.
Tapi saya percaya Chong Wei bukan seorang pemain yang memandang rendah lawannya apatah lagi berdepan dengan pemain China seperti Lin Dan yang mempunyai ketahanan fizikal dan mental, yang sentiasa bersifat 'berlawan' habis-habisan walaupun telah ketinggalan mata yang jauh. Lawan tetap lawan. Selagi permainan belum tamat, pemain China dan Korea tetap berjuang dengan harapan untuk menang.
Kita perlu contohi semangat juang dan daya tahan mental dan fizikal mereka ini.
Adakah kita tidak ada ketahanan dan semangat juang seperti pemain China?
Ini adalah satu persoalan yang tidak mudah dijawab. Tapi bagi saya, Chong Wei seorang pemain yang mempunyai semangat juang yang kuat. Dalam masa yang sama mungkin rasanya beliau telah terlalu yakin untuk mengalahkan Lin Dan setelah beliau berjaya dalam set yang pertama. Perasaan terlalu yakin dan selamat ini mungkin telah menyelinap dalam perkiraannya untuk menjadi juara dan sekali gus merangkul pingat emas. Kesan zon berasa selamat itu tidak disedari telah menguasai keyakinannya itu sehingga beliau melakukan banyak kesilapan dalam set kedua. Dan Lin Dan seorang permain yang handal serta berpengalaman telah dapat membaca permainan Chong Wei lantas mengambil kesempatan sepenuhnya untuk menguasai permainan. Jelas sekali pada set kedua setelah ketinggalan mata yang jauh, Chong Wei seolah-olah membenarkan Lin Dan untuk memenangi set kedua ini kerana Lin Dan telah dengan mudah memungut mata demi mata. Chong Wei nampaknya menaruhkan keyakinan akan boleh menang pada set ketiga.
Kalau itulah perkiraan Chong Wei maka ianya satu kesilapan. Sama ada telah tertinggal mata dengan jurang yang jauh, selagi permainan belum tamat sepatutnya kita mesti yakin untuk menyudahkan permainan itu untuk menang. Lawan tidak mudah diberikan mata. Jangan menggantungkan harapan kepada sesuatu yang belum bermula sedangkan kita masih ada kesempatan untuk berjaya dalam set yang masih dalam permainan yang belum lagi ada pemenang.
Dalam memanah pun kita kalah. Sebahagian dari acara renang kita tewas. Masih ada yang berbaki. Belum lagi tahu keputusannya. Acara berbasikalpun kita tewas. Hanya untuk bersaing bagi kedudukan ke 8. Menembak pun kecundang.
Sememangnya kita menaruh harapan yang tinggi dalam acara badminton. Tapi bukan saja Chong Wei tewas, bergu kita pun turut tewas pada persaingan merebut gangsa. Kita tewas setelah mendahului pihak lawan dalam jarak mata yang besar juga. Saya rasa jarang berlaku kepada pasukan negara lain.
Prestasi persaingan kita di olimpik London ini sudah tentu akan dibuat penilaian oleh berbagai pihak terutamanya oleh persatuan-persatuan sukan yang terlibat dan kementerian yang bertanggungjawab. Ini adalah perkara biasa dan wajar dilakukan. Tetapi kita masih lagi belum mempunyai jawapan dalam bentuk merangkul pingat dalam setiap pertandingan yang kita turut serta setelah berbagai tindakan serta langkah diambil memperbaikki kegagalan dalam persaingan-persaingan lepas.
Mungkinkah penilaian prestasi kita itu tidak tepat sehingga tindakan dan langkah mengatasi kelemahan yang lepas itu masih lagi tidak berjaya melahirkan ahli sukan yang boleh bersaing dengan mana-mana ahli sukan negara lain untuk dikalung pingat: gangsa, perak mahu pun emas? Bagaimana pula dengan bentuk pengurusan kesukanan itu?
Memang berbagai persoalan boleh ditanya.
Apa pun kita wajar meraikan kejayaan Chong Wei membawa balik pingat perak, pingat pertama yang diperolehi dalam sukan olompik London. Harapan dan doa kita agar ada ahli sukan kita dengan penuh kesungguhan dapat menambahkan lagi pungutan pingat pada hari-hari yang masih berbaki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan