Theflowersellingboy

Isnin, 26 Oktober 2015

BAJET 2016: Jerebu dan Kelabu




Seminggu saya menyepi, tidak berblogging, makan angin bersama keluarga.
 
Makan angin? Mungkin ada yang mahu bertanya. Dimana?
 
Saya percaya ada yang tidak percaya sekiranya saya beritahu bahawa saya bersama keluarga makan angin di dalam negara saja. Sebab keadaan yang berjerebu di sebahagian besar negara kita yang sudah berbulan lamanya tidak mungkin merangsangkan saya untuk makan angin. 
 
"Makan asap dan menghidu bau asap, ada lah", mungkin ayat ini di beri tahu kepada saya.
 
Benar, kami makan angin di dalam negara. Itu niat kami. Kami mahu menjauhkan diri dari keadaan berjerebu di Melaka, lantas menuju ke pantai timur , ke negeri Pahang, tinggal di hotel Swiss Garden.
 
Di Pahangpun berjerebu juga. Lebih malang, dalam perjalanan kami untuk ke Kemaman, Terengganu, kami terpaksa makan boksit (bauxite) atau jerebu merah. Lari dari mulut harimau masuk ke dalam mulut singa dan naga. Hendak makan angin, kena pula makan jerebu asap dan jerebu boksit.
 
Inilah Malaysia negara hijau!
 
Kita boleh salahkan negara Indonesia kerana tidak mengawal pembakaran terbuka sehingga asap dari pembakaran hutan/ladang tanaman itu merentasi selat Melaka dan Laut Cina selatan memasuki Malaysia. Tapi bagaimana dengan jerebu merah (boksit) yang terdapat di Pahang itu? Kenapa tiada tindakan dari pihak berkuasa?
 
Malaysia, biasalah, gajah depan mata tak nampak. Apatah lagi gajah itu gajah belaan atau milikan kayangan. Ada orang berani usik? Silap-silap kena dakwa bawah Akta Hasutan. Hahahahahaha kalau ada yang berani usik atau cuit-cuit saya tabik dua belah tangan.
 
Sekarang langit kita sentiasa kelabu waktu siang hari. Kita merindui cahaya matahari dan langit biru.
 
Macam mana pun , kami teruskan makan angin walaupun yang kami hirup adalah udara yang amat tercemar sekali.
 
Balik saja dari makan angin, saya diserang batuk. Saya sendiri pengidap penyakit asma. Cantik sekali kombinasi penyakit saya ini...batuk dan asma, menyiksakan untuk bernafas.
 
Jadi berhenti seketika blogging. 
 
Sekarang sedikit reda setelah ambil ubat batuk dan asma.
 
Walaupun dalam keadaan yang tidak sihat, saya ikuti ucapan bajet 2016 oleh Menteri Kewangan pada hari Jumaat 23 Oktober 2016.
 
Saya ikuti ucapan itu hanya untuk ambil tahu saja. Tidak seperti dulu, ucapan bajet ini saya anggap sebagai mainan statistik saja. Ianya bukan satu perancangan kewangan bagi penggunaan sumber secara cekap demi kepentingan rakyat. 
 
Bajet adalah alat politik bagi mendapatkan sokongan. Ia hanya 'retorik berjadual tahunan' untuk mendapat kelulusan bagi penggunaan sumber negara. 
 
Habis saja proses bajet iaitu dari pembentangan sehingga diluluskan, ia terus dilupakan. Kementerian dan jabatan akan berbelanja. Dan mereka berbelanja, tidak semestinya mengikut apa yang dibajetkan. 

Untuk menunjukkan bajet itu defisitnya bertambah kecil iaitu berbanding tahun sebelumnya, hanya memerlukan paparan statistik hasil berbanding dengan perbelanjaan. Tunjukkan perbelanjaan bertambah kecil berbanding dengan perbelanjaan tahun sebelumnya. Mudah saja untuk mengurangkan defisit! 
 
Bajet 2016 melakukannya!

Keadaan sebenarnya amat berbeza. Ini kita boleh lihat dari permohonan bajet tambahan pada setiap tahun. Ertinya bajet yang dibentangkan pada awalnya sudah tidak ada makna lagi.

Selain dari itu, menteri kewangan tidak juga memberitahu kepada rakyat tentang apa yang telah berlaku kepada bajet tahun 2015 yang telah diluluskan. Apa pencapaiannya setakat pertengahan tahun, misalnya?Langsung tidak disentuh.

Sebab itu saya katakan bajet ini adalah retorik tahunan saja bagi mendapat kelulusan penggunaan wang negara. Tidak langsung ada rasa tanggungjawab keatas wang yang dulunya telah diperuntukkan. Apa yang telah terjadi kepada wang yang telah diluluskan dahulu, perlu diberitahu, untuk rakyat menilai keberkesanan dan faedah dari wang yang telah diperuntukkan itu.

Dimana letaknya akauntabiliti kerajaan keatas wang yang telah diluluskan?
 
Hal seperti ini berlaku tahun demi tahun. Jadi jika ada pihak yang mengatakan bajet ini Bajet Najib, disediakan oleh Najib dan untuk Najib, saya tidak ada keberatan untuk bersetuju, bahkan menambah bajet ini adalah bajet politik Barisan Nasional. Ianya bukan Bajet bertujuan merancang penggunaan sumber negara dengan cekap dan berkesan demi faedah negara dan rakyat.
 
Batuk saya masih belum sembuh kerana jerebu bajet dan jerebu persekitaran. 




      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan