Theflowersellingboy

Rabu, 7 Oktober 2015

Jantung Saya OK:Alhamdulillah

                      


Pukul 11.30 pagi, masuk jumpa doktor, seorang doktor perempuan, nampak macam orang Arab, mungkin dari Mesir, dan mungkin juga sedang menjalani klinikal untuk jadi doktor pakar jantung.

Itu tidak penting. Yang penting, semuanya ok, kata doktor itu sambil menunjuk keputusan laporan pemeriksaan darah seminggu yang lepas. Saya bersyukur sekali.

Sebenarnya saya amat risau tapi bersedia untuk mendengar laporan yang kurang memberansangkan. Saya sedia menerima atau tidak terperanjat jika bacaan kandungan gula, kolesterol, garam dan urik asid yang tinggi kerana dalam setahun yang lepas saya tidak berpantang makan dan tidak juga melakukan senaman. Hanya patuh makan ubat.

Jangkaan saya meleset sekali. Meleset yang menggembirakan.

Namun begitu, pada hari ini saya berjanji akan melakukan kawalan dari segi makanan -akan berpantang dengan mengurangkan makanan yang berminyak, berlemak, manis dan kandungan garam yang tinggi. Saya percaya saya boleh lakukan, dengan izin Allah.

Saya juga berjanji akan memulakan senaman pagi, paling kurang tiga kali seminggu. Saya percaya, dan buktinya amat jelas bahawa melalui senaman ianya boleh membantu menyihatkan tubuh badan. Semoga Allah berikan kekuatan.

Saya harap janji akan saya tepati.

Perjumpaan dengan doktor itu tidak lebih dari lima minit. Saya percaya antara masa yang paling cepat berbanding dengan sebahagian besar yang lain. Saya harap tempoh masa yang pendek ini membawa maksud kesihatan jantung saya pada tahap yang baik atau normal. Saya masih mengharapkan begitu walaupun dokter telah mengesahkan ok.
Kepada saudara-saudara yang jantung masih sihat, jagalah jantung saudara dengan melakukan senaman secara konsisten sekurang-kurangnya 30 , minit (saya lakukan hampir satu jam) dan mengurangkan makanan tinggi lemak, berminyak, kurang mengambil gula dan garam dan tidak menghisap rokok. 

Serangan jantung boleh datang tiba-tiba, kita tidak mudah menjangkakannya. Saya dulu, tiba-tiba pandangan menjadi gelap, semasa menuruni tangga sebaik saja selesai menghadiri satu mesyuarat. Nasib baik disebelah ada kawan dan saya masih dapat berkata-kata , memberitahu kawan itu memegang dan tangan saya kerana pandangan menjadi gelap, mahu rebah.

Maka saya dibawah ke hospital pakar swasta. Pemeriksaan doktor mengesahkan bahawa ada kaitan dengan jantung. kemudian saya menjalani 'stress test' -gagal.

Sah ada blok pada saluran darah. Maka saya ke IJN untuk dapatkan rawatan.

Sebelum menjalani pembedahan terbuka, saya telah menjalani 3 kali angio plastic surgery. Tahan 5 tahun saja. Kali empat tidak boleh dilakukan cara itu kerana kata dokter saluran darah saya sudah mengeras disebabkan terlalu lama makan ubat. Maka pembedahan terbuka perlu dijalankan.

Nak tahu  macam mana perasaan saya apabila dokter beritahu bahawa jalan terbaik untuk merawat jantung saya adalah hanya satu saja melalui pembedahan terbuka.

Ok. Bila prosedur angio plasty gagal, saya masih terbaring diatas katil untuk tujuan menjalani prosedur itu, dokter beritahu:

Dokter: Kita tidak boleh buat angio lagi. Mesti open heart. Encik setuju?

Saya: (tidak menjawab, kerana terlalu terkejut dan takut).

Dokter: (melihatkan saya tidak segera menjawab, dia berpesan dan berlalu meninggalkan saya keseorangan). Encik bertenang. Fikirkan baik-baik. Senarai menunggu panjang. Saya beri peluang pada Encik. Jika Encik bersetuju saya akan menghubungi surgeon untuk buat 'arrangement'.

Saya: (termenung seorang, tiada siapa yang boleh diajak berfikir sama. Terbayang yang bukan-bukan. Semua anak-anak masih belajar. Isteri tidak bekerja. Siapa yang akan menyara hidup mereka jika saya mati. Tapi ajal ditangan Tuhan. Jika belum masanya, pembedahan ini tidak menyebabkan mati. Tapi...kalau ini penyebabnya? Ah ketepikan itu semua. Yakin kepada takdir dn berdoa saja agar selamat. Saya telah buat keputusan, bersetuju).

Dokter: 10 minit dokter muncul) Macam mana?

Saya: Setuju dokter

Dokter: (tersenyum dan menalipon dokter pakar untuk menentukan tarikh pembedahan).

Tidak sampai sebulan saya pun dimasuk ke wad untuk menjalani pembedahan. Sebelum pembedahan saya bertanya dokter itu apakah peratus risiko? Dokter jawab 96% risiko disebabkan sebahagian saluran darah saya telah mengeras. Saya tidak menyatakan apa-apa kerana isteri ada bersama, khuatir merisaukan dia pula.api dalam hati Allah saja yang tahu.

Rupa-rupanya dokter itu boleh membaca apa yang ada dalam hati saya.

Dokter: Encik jangan takut. Saya telah buat operation lebih 300 orang. Semua ok.

Alhamdulillah selamat.

Oleh itu, saudara yang masih sihat, jantung masih baik, jagalah jantung saudara. Apa yang saya ceritakan tentang perasaan saya ketika dokter cadangkan pembedahan itu, tidak dapat menggambarkan perasaan saya yang sebenar. Tidak menangis, tidak ada air mata tapi hati menangis.


#1MDBBILA MAHU SELESAI?1

Tiada ulasan:

Catat Ulasan