Theflowersellingboy

Isnin, 5 Oktober 2015

Adakah Berita Baik Yang Akan Diberitahu Oleh Doktor IJN Pada Esok Hari?




Saya telah menjalani pembedahan CABAG (pembedahan terbuka pintasan jantung) pada tahun 2006. Ertinya sudah 9 tahun.  Alhamdulillah jantung saya sihat.
 
Perjumpaan dengan doktor bagi rawatan susulan diadakan setiap tiga bulan bagi 5 tahun pertama, dan dikurangkan kepada dua kali selepas itu, dan akhirnya pada tahun ke 7 dan berikutnya dikurangkan kepada sekali setahun. Pengurangan itu adalah disebabkan jantung saya sihat, lagipun bilangan pesakit telah semakin bertambah. 
 
Pada tahun pertama sehingga tahun ke 7 saya amat patuh dengan nasihat yang diberi oleh doktor, dari segi makan ubat, mengelak atau mengurangkan makanan berlemak dan berminyak, mengurangkan kandungan garam dan gula, dan melakukan senaman.

Tapi selepas itu saya telah melanggar pantang larang.
 
Minggu lepas saya sudah beri darah pada IJN. Esok hendak tahu apa yang darah itu beritahu tentang kesihatan jantung saya. 
 
Doktorlah yang akan beritahu -bacaan kolesterol berapa, berapa kolesterol baik dan berapa kolesterol jahat; kandungan gula setinggi mana; bagaimana dengan tekanan darah tinggi dan macam-macam lagi.
 
Yang penting, saya hendak tahu jantung saya ok, semua ok, terkawal.
 
Tapi adakah berita baik yang akan disampaikan? Kalau berita baik, senanglah hati.
 
Sebaliknya, jika berita kurang baik? Susahlah hati.
 
Berita baik atau tidak baik, tidak sepatutnya saya fikirkan sekarang ini atau esok hari kerana ianya langsung tidak akan merubah bacaan darah saya oleh doktor. Terima sajalah apa yang akan diberitahu oleh doktor.
 
Keputusan bacaan dari darah itu adalah hasil dari cara hidup yang saya telah jalani sebelum menyerahkan darah untuk pemeriksaan doktor.
 
Ertinya bacaan pemeriksaan darah itu adalah hasil dari: Pertama, adakah saya mematuhi dari segi memakan ubat yang telah ditentukan. Kedua, apa jenis makanan yang saya ambil dari segi kandungan makanan itu misalnya yang tinggi lemak dan berminyak, kandungan garam, gula dan banyak sedikitnya makanan itu yang saya makan. Ketiga, adakah saya melakukan senaman.
 
Dari segi makan ubat, saya patuh sekali. Tidak pernah tertinggal. Selesai.
 
Tentang makanan pula, semenjak setahun yang lepas saya tidak memberikan perhatian yang berat. Boleh kata semua saya makan sama ada yang tinggi lemak, masin dan yang manis. Saya berpantang juga tetapi tidak seperti diawal melakukan pembedahan jantung sehinggalah pada tahun yang kelima.
 
Dan semenjak setahun yang lepas juga saya telah berhenti melakukan senaman.
 
Jadi saya tidak nampak doktor akan memberitahu sesuatu yang menggembirakan tentang jantung saya pada esok hari. Saya kena terima. Salah sendiri. Namun masih mengharapkan yang terbaik, insya Allah.







 
 
 
 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan