Theflowersellingboy

Ahad, 4 Oktober 2015

Malaysia Yang Berjerebu: Alam Berjerebu, Ekonomi Berjerebu, Politik Berjerebu, dan Kita Rakyat Sisihkan Yang berjerebu Ini.




Jerebu. Alam jerebu, politik jerebu, ekonomi jerebu. Pendek kata semua berjerebu di Malaysia ini.

Jerebu alam mengelabukan pandangan persekitaran dan mengurangkan kejelasan jarak jauh pandangan. Mata menjadi gatal dan pedih berair.

Hidung menghidu bau asap, jadi gatal-gatal dan berair. Tekak gatal-gatal dan kering. Jika terlalu lama terdedah dengan jerebu, ruang pernafasan menjadi sempit membuatkan seseorang itu susah bernafas dan diserang semput terutama penghidap penyakit asthma.

Langit menjadi kelabu kerana jerebu menghalang sinaran matahari dari kelihatan dengan terang dan jelas, seolah-olah langit berada  dalam keadaan mendung mahu tunggu saat hujan. Tapi persekitaran terasa panas berbahang.

Maka dikeluarkan arahan dan nasihat agar jangan terlalu lama mendedahkan diri dari jerebu ini. Aktiviti luar dikurangkan atau seboleh-bolehnya dielakkan. Sekolah diistiharkan tutup.

Jerebu alam memberi kesan yang buruk bukan saja kepada kebersihan udara persekitaran yang menyebabkan kemerosotan mutu kesihatan dan pertambahan bilangan penyakit dan pesakit bahkan juga kepada produktiviti tenaga kerja, pengeluaran hasil tanaman dan ternakan, penghasilan tangkapan nelayan dan gerak kerja luar yang membabitkan kerja-kerja pembinaan dan aktiviti sukan padang/ruang terbuka termasuk pembelajaran.

Oleh itu finomina jerebu ini wajar diatasi segera. Semua pihak mestilah bertanggungjawab dan memberi kerjasama agar keadaan berjerebu ini tidak berterusan. 

Orang awam jangan melakukan pembakaran terbuka. Tuan punya syarikat perladangan seperti kelapa sawit dan sebagainya hendaklah memberhentikan amalan menggunakan kaedah pembakaran sebagai cara untuk mempercepatkan penyediaan kawasan tanaman dan pada kos yang rendah.

Pihak berkuasa pula hendaklah menguatkuasakan undang-undang dengan mengambil tindakan keatas mana-mana pihak yang melakukan kerja-kerja pembakaran terbuka.

Selain dari jerebu alam, ketika ini, kita juga berada dalam persekitaran jerebu politik.  Politik yang kelabu yang menyerang parti pemerintah dan parti pembangkang, yang kedua-duanya tidak jelas di mana arah yang hendak dituju. 

Dari segi parti yang memerintah, BN, kejerebuannya amat teruk sekali. Hubungan diantara mereka terutama antara UMNO dan parti komponen yang lain khususnya MCA adalah berjerebu sekali. 

Pandangan mereka sudah jadi kelabu, dan dengan itu selalu berlanggar di perjalanan yang menyebabkan masing-masing tuduh menuduh menyalahkan diantara satu dengan yang lain. Lagak mereka  seperti anjing dengan kucing, saling serang menyerang dan sentiasa bersangka buruk. 

Kalau pandangan jarak dekat pun sudah berjerebu, apatah lagi untuk mampu melihat jarak yang lebih jauh.

Kejerebuan hubungan ini bukan saja berlaku diantara parti, bahkan hubungan sesama ahli parti pun telah lama dan masih bereterusan melanda terutama UMNO. Boleh dikatakan keadaan jerebu UMNO sekarang ini adalah pada tahap kritikal dimana ada pihak dalam parti itu yang mahu menyingkirkan presiden UMNO yang juga pengerusi BN, dan Perdana Menteri.

Begitulah juga dengan MCA dan MIC yang semacam hilang arah. 

Oleh kerana parti BN menjadi pemerintah, kejerebuan yang menghinggapi parti-parti itu boleh, telah dan sedang memberi kesan buruk keatas kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Apa yang berlaku dan kita alami sekarang ini? Hendak dikatakan politik kedamaian tapi dalam masa yang sama menggalakkan permusuhan. Hendak dikatakan politik kemakmuran tapi dalam masa yang sama melakukan salah guna sumber dan pembaziran. Hendak dikatakan politik bermaruah, merdeka  dan kesejahteraan rakyat tapi dalam masa yang sama mengongkong dan menyekat kebebasan melalui berbagai cara dan undang-undang. 

Kelabu, sungguh kelabu. Ramai rakyat jadi keliru.

Parti-parti pembangkang yang dulunya kelihatan berkesan untuk dapat memainkan peranan menyeimbangkan tindak tanduk kerajaan demi negara dan rakyat, telah juga dilanda jerebu, sehingga masing-masing mempunyai arah tuju bukan untuk kepentingan rakyat dan negara, sebaliknya untuk kepentingan ego masing-masing -siapa lebih besar dan berpengaruh.  Rakyat jadi mangsa.

PR sudah hancur. DAP dan PAS sudah mengambil peranan sebagai kucing dan anjing, bahkan lebih teruk dari dua makhluk Allah itu. 

PKR, dalam usaha untuk memulihkan kesepakatan pembangkang dengan bersama-sama merestui penubuhan parti Amanah dan menubuhkan pakatan baru pembangkang yang diistiharkan sebagai Pakatan Harapan (PH), dan dalam masa yang sama masih mahu bekerjasama dengan PAS yang berulang kali menolak kerjasama dengan PH, sekarang ini diberitakan terbahagi kepada dua kumpulan.
 
Jadi harapan rakyat untuk sebuah kerajaan bagi menggantikan BN yang berjerebu itu, dan paling kurang sebagai sebuah pakatan pembangkang yang kuat bersatu padu demi mengimbangi BN, kelihatan tinggal harapan saja kerana angin membawa jerebu semakin kuat menguasai persekitaran pembangkang.

Jerebu yang melanda BN dan jerebu yang melanda pembangkang, risikonya negara dan rakyat yang tanggung. 

Ekonomi kita tidak mudah pulih dan tumbuh segar. Lihat saja masalah 1MDB -ianya tidak akan segera dapat diatasi. Lihat saja kedudukan nilai ringgit kita, dianya lebih ke arah menurun. Lihat sahaja bilangan pekerja yang diberhentikan kerja, semakin bertambah. Lihat saja anak-anak muda yang tidak dapat kerja sama ada pada tahap SPM, STP, Diploma, Ijazah dalam berbagai bidang. Bahkan ketika ini banyak lulusan doktor perubatan yang tertunggu-tunggu untuk mendapat kerja.

Dan lihat saja kepada kos sara hidup. Indeks harga barang keperluan seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal adalah terlalu tinggi diluar kemampuan sebahagian besar rakyat.

Mengapa jadi begini? Jawabnya jerebu. Jerebu alam, jerebu politik, jerebu ekonomi dan berbagai jerebu lagi. Dan jerebu yang paling merosakkan ialah jerebu politik terutamanya parti politik yang menjadi kerajaan.

Jadi, kita rakyatlah yang bertanggungjawab untuk menentukan jerebu ini tidak berterusan. Bagaimana caranya? Jangan lakukan pembakaran terbuka untuk kita dapat hidup selesa dalam persekitaran tanpa jerebu.

Dan paling utama , rakyat mesti menolak parti politik yang suka hidup dalam keadaan jerebu, khususnya BN kerana parti itu lebih cenderung kepada jerebu - menimbulkan permusuhan dikalangan rakyat, menyalahgunakan sumber negara dan menyediakan persekitaran bagi menakut-nakutkan rakyat.

Tapi apa yang boleh diharapkan kepada pembangkang yang lebih mementingkan ego -siapa besar dan siapa yang ada pengaruh? 

Menjadi kerajaan? Entahlah, pandangan saya masih diliputi jerebu.

Menjadi pembangkang yang kuat agar kerajaan tidak boleh sesuka hati membuli rakyat? Entahlah, situasi yang kelihatan setakat ini tidak meyakinkan saya ianya mudah kearah itu, jerebu juga jawabnya.
 
Tapi kita mesti sentiasa ada harapan. Jika kita bersama-sama menyisihkan jerebu-jerebu itu dari kalangan ahli politik, insya Allah kita akan dapat sebuah kerajaan yang sentiasa mementingkan persekitaran yang bersih, penggunaan sumber yang berkhemah dan kehidupan rakyat yang bersatu padu. 
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan