Theflowersellingboy

Rabu, 28 Mei 2014

Mulut Jangan Celupar

 
 
 
Baru-baru ini timbul ketegangan apabila perkataan 'celaka' digunakan keatas UMNO oleh seorang ahli Dewan Undangan DAP di Pulau Pinang, semasa berucap di Dewan berkenaan. Ia menimbulkan kemarahan ahli UMNO dan penyokong parti tersebut.
 
Akibat dari itu ia menimbulkan kemarahan UMNO dan penyokongnya sehingga ada yang bertindak memasuki Dewan sebagai bantahan.
 
Kemarahan itu merebak ke Kuala Lumpur. Berlaku bantahan dan ugutan untuk membakar ibupejabat DAP.
 
Di Kuantan juga berlaku bantahan.
 
Mengapa perkataan celaka itu menjadi kemarahan sangat kepada UMNO?
 
Saya mahu menjawab dengan mengingat semula zaman kecil saya dulu dan memberi pandangan saya tentang penggunaan perkataan dan perkataan yang seciri dengannya.
 
 Apabila orang Melaka berjumpa:
 
"Oiii lahabau  . Maner kau pegi. Lamer tak nampak?"
 
"Woii celaker (celaka). Musibat. Aku idup lagi ler. Kau yang tak nampak muker. Aku ingat dah kojol".
 
"Lahanat kau. Aper kabau".
 
Merekapun bersalam-salaman dan berpelukan begitu erat sekali, sambil menepuk belakang masing-masing. Dan ketawa besar apabila badan mereka berpisah.
 
Mereka melangkah masuk sebuah kedai kopi.
 
"Dua nasik lemak. Dua teh tarik", seorang dari mereka buat pesanan sarapan pagi. Kedua-dua wajah mereka ceria.

Waktu itu, saya tidak terasa apa-apa dengan bahasa 'ucap selamat' yang dihamburkan oleh mereka. Sudah menjadi perkara biasa.  Telinga dan perasaan semua orang, sama ada yang menyebut, yang ditujukan dan yang mendengar, boleh terima. Tiada siapa pun marah malah ikut meraikan sama.
 
Itu adalah bahasa basahan mereka apabila berjumpa. Apatah lagi jika lama tidak bertemu muka.
 
Tapi, jangan silap faham. Ucapan seperti itu hanya kepada kawan-kawan dan sahabat yang telah mengenal hati budi masing-masing. Mereka adalah sahabat atau kenalan yang pernah bertengkar, bergaduh, berbaik semula, bergaul mesra, bergaduh, bertengkar dan berbaik semula.

Pertalian dan hubungan mereka boleh kita katakan sebagai, benci tapi sayang, meluat tapi suka, sayang tapi benci dan mesra tapi kecuh, yang akhirnya boleh menerima pujian dan cercaan/makian tanpa rasa besar diri atau sakit hati.
 
Sebenarnya ucapan dengan menggunakan perkataan-perkataan diatas hanya boleh berlaku dan diterima baik setelah melalui proses jalinan perkenalan atau persahabatan yang panjang. 
 
Mereka pernah menyakiti dan disakiti sewaktu hilang sabar, dan mereka saling bantu membantu sewaktu susah dan memerlukan.
 
Ertinya perkataan-perkataan itu, tidak boleh diucapkan dan ditujukan untuk semua orang. Perkataan-perkataan tersebut masih kekal sebagai perkataan yang tidak baik dan tidak wajar digunakan dalam perhubungan sesama manusia.
 
Sekarang ini ucapan menggunakan perkataan itu kurang kedengaran. Dan kebanyakan tempat hilang sama sekali. Kalau ada pun hanya dikalangan orang yang sudah tua, sezaman dengan saya yang masih mahu mengekalkan kemesraan persahabatan melalui cara itu.
 
Berbalik kepada perkataan 'celaka UMNO' di DUN Pulau Pinang. Pendapat saya adalah:
 
i) Ianya tidak wajar dituturkan oleh seorang ahli Dewan sama ada kepada mana-mana individu, masyarakat, parti atau bangsa. Sesungguhnya tindakan ahli tersebut merendahkan peribadai dan harga diri sebagai ahli yang dipilih oleh rakyat dan merosakkan nama partinya iaitu DAP.

ii) Ahli UMNO dan penyokong yang terlibat merempuh masuk DUN bertindak salah dalam respons mereka terhadap panggilan 'celaka UMNO'. Sepatutnya ahli Dewan BN khususnya UMNO meminta panggilan seperti itu ditarik balik, dan yang menuturkannya itu memohon maaf.
 
Tapi pujian mesti diberikan kepada Ketua Pembangkang BN (UMNO) yang segera meminta maaf diatas perbuatan yang salah itu.
 
iii) Kepimpinan UMNO/BN termasuk perdana menteri/ menteri mesti mengingatkan pihak yang merempuh masuk Dewan itu bahawa itu bukan satu tindakan yang betul sebagai tindak balas kepada penggunaan perkataan celaka kepada UMNO. Amaran bahawa tindakan keras akan diambil.
 
iv) Kepimpinan DAP sewajarnya menggesa dan mendesak agar ahli dewannya yang mengeluarkan perkataan itu meminta maaf dan menarik balik apa yang dikatakannya.

v) Perkataan itu hanya ditujukan kepada parti UMNO dan bukan kepada orang Melayu. Melayu adalah bangsa, UMNO adalah parti. Bangsa Melayu juga terdapat dalam parti PKR, PSM dan DAP. Semua ahli PAS adalah Melayu dan Islam.
 
Oleh itu jangan kelirukan rakyat kerana ada juga sebahagian orang Melayu tidak dapat membezakan antara UMNO dan Melayu dengan beranggapan bahawa UMNO itu Melayu. Tidak semua ahli UMNO itu Melayu dan Islam (ahli-ahli dari Sabah).

vi) Pihak penguatkuasa undang-undang mesti mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak/parti/individu yang melanggar undang-undang.

vii) Menggunakan perkataan celaka dan yang sejenis dengannya , dan tindak balas yang menyalahi undang-undang tidak boleh dibiar dan dipertahankan demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.
 
Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama perkataan yang tidak sesuai itu digunakan bagi memberi emej yang buruk dan tidak baik terhadap sesuatu parti. Misalnya PAS pernah dipanggil sebagai Parti Ajaran Sesat oleh ahli UMNO.  
 
Saya kira panggilan seperti itu adalah lebih teruk dari panggilan celaka itu kerana ianya melibatkan akidah.
 
Namun PAS tidak bertindak seperti yang ditunjukkan oleh ahli UMNO dan penyokongnya. Satu pujian kepada kematangan berfikir dan bertindak ahli dan kepimpinan PAS.

Hanya orang Melaka pada suata masa dulu yang boleh menerima panggilan celaka dan yang sejenis dengannya sebagai cara melahirkan perasaan gembira, suka, ceria, mesra dan keikraban serta keikhlasan dalam pergaulan. Malah masyarakat ketika itu meraikannya bersama.
 
Tapi ianya tidak sesuai lagi.  Jangan tiru orang Melaka itu.

DAP dan UMNO semakin jauh untuk menjadi seperti orang melaka itu.
 
Dengan demikian sekiranya kita tidak mahu orang berlaku celupar terhadap kita maka eloklah kita juga tidak melakukan sama. Oleh itu berhentilah menjadi mulut celupar.
 
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan