Theflowersellingboy

Isnin, 19 Mei 2014

Tusukan Bisa Didada: Rasanya Bukan Serangan Jantung.




Hari ini , sewaktu hendak membuka pintu utama rumah, dan sebelum melangkah keluar rumah untuk bersarapan pagi diluar, tiba-tiba dada terasa sakit. Satu tusukan yang bisa, mencucuk pada bahagian dada sebelah kiri. Dengan cepat meminta isteri mengambilalih membuka pintu, dan tangan kanan segera mengurut-urut tempat yang dirasa tersusuk itu.

Dalam hati mengatakan ianya bukan serangan jantung, mungkin tusukan angin yang ada dalam badan. Tapi hati tetap risau juga kalau-kalau itu adalah serangan jantung. Tapi saya tidak berpeluh.

Harap-harap begitulah.

Ini bukan kali pertama serangan seperti itu yang saya alami. Pernah sebelum hari ini, berkali-kali serangan tusukan didada sebelah kiri yang saya alami. Tapi serangan itu dianggap biasa saja kerana tidaklah berapa sakit. 
 
Saya menganggapkan serangan itu ialah serangan angin dalam badan kerana biasanya jika saya makan buah-buah yang berangin seperti nangka dan cempedak atau sayuran-sayuran seperti kangkong dan bayam, saya akan mengalami serangan angin didada sebelah kiri. Ianya sakit juga, tapi tidak membuatkan saya memegang bahagian dada yang diserang itu.
 
Pada kali ini, ianya amat bisa dan sakit sekali, dan kepala merasa berbayang-bayang macam hendak tumbang, anggota kaki agak lemah sedikit. Tapi saya masih boleh berjalan.

Saya pernah bertanya doktor jantung (IJN) tentang perkara tusukan ini (rasa bisa didada). Doktor mengatakan, ianya bukan serangan jantung. Rasa bisa yang saya alami itu, mungkin kesan dari pemotongan beberapa saluran darah (arteri) semasa menjalani pembedahan pintasan jantung dulu.
 
Mengingatkan kata-kata doktor itu, saya berasa lega sedikit. Tapi saya mengharapkan ianya tidak akan berlaku lagi. 

Saya percaya, serangan seperti itu adalah disebabkan saya tidak menjaga kesihatan saya dengan baik. Maksud saya , saya tidak melakukan senaman pagi . Saya juga melanggar banyak pantang dari segi makanan. Roti canai, nasi lemak dan masakan berminyak yang lain, sudah menjadi makanan harian dan bukan lagi makanan sekali-sekali saja. Telur goreng, sudah beberapa kali menjadi makanan saya yang dulunya saya tidak sentuh.
 
Sudah 3 bulan saja tidak melakukan senaman pagi. Tahap kolesterol dan gula mungkin telah naik dari had yang sepatutnya. Malangnya saya tidak ada alat untuk melakukan bacaan kolesterol dan gula itu. Temujanji ,dengan doktor pula masih jauh lagi iaitu pada bulan Oktober.

Saya hanya bergantung kepada ubatan-ubatan saja tanpa melakukan senaman pagi untuk mengharapkan kesihatan badan yang baik. Saya sedar, ini bukan satu cara yang baik. Tapi semakin usia meningkat, kekuatan hati untuk melakukan senaman semakin menurun. Banyak malas dari rajin. Macam-macam alasan disandarkan bagi menyokong sifat malas itu. Alasan paling utama ialah sakit-sakit badan, rasa penat dan letih.
 
Tapi kalau terus jadi malas, saya percaya kesihatan saya akan menurun. Kalau terus tidak berpantang makan, ia bertambah serious lagi. Serangan yang bisa ini, dan mungkin lebih teruk lagi mungkin akan berlaku. 
 
Saya tidak mahu mengalaminya lagi.
 
Esok saya mesti buat senaman pagi. Saya juga mesti berpantang makan. Mesti ada kekuatan dalam hati. Saya percaya dan mengharapkan pada bulan oktober nanti, bacaan tahap kolesterol  saya akan menyukakan hati. 
 
Dan saya menjangkakan doktor akan berkata, "Tahap kolesterol you , ok. Teruskan senaman you dan jaga diet". 
 
Sayapun mengangguk senyum, mengucapkan terima kasih dan keluar. Saya dirawat dalam tempoh yang pendek tidak sampai 10 minit. Pesakit lain dipanggil masuk.
 
Begitulah hebatnya jika kita lakukan senaman pagi dan berpantang makan.
 
Esok saya akan mulakan. 
 
 
 
 
 

 
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan