Theflowersellingboy

Jumaat, 16 Mei 2014

Kita dan Orang Itu




Kita mendedahkan keburukan orang sebab kita hendak menegakkan kebaikan. Orang mendedahkan kejahatan kita sebab orang itu mahu menegakkan kebaikan. 

Orang yang kita dedahkan kejahatan itu pula berkata, kita buat fitnah. Dan kita kata orang itu buat fitnah kerana mengatakan kita buat jahat.

Maka kita dan orang itu akan juga berkata bahawa buat fitnah itu salah, dosa besar. Makan suap itupun salah. Mungkir janji juga salah. Salah guna kuasa itu pun salah. Ertinya segala kejahatan yang dilarang oleh Allah itu adalah salah. 

Orang itu dan kita mempunyai pendapat yang sama. Sama-sama bersetuju dan membenci segala perbuatan yang jahat, perbuatan yang dikutuk dan dihukum oleh agama kita sebagai perbuatan yang salah.

Kita dan orang itu juga sentiasa mewar-warkan ciri-ciri kebaikan misalnya berbaik sangka, bersedekah, tolong menolong terutama kepada orang susah dan memerlukan dan berbagai lagi. Dan kita dan orang itu bukanlah juga orang yang melakukan kebaikan seperti yang kita war-warkan. Sudah tentu, kita dan orang itu tidak melakukan semua kejahatan. 

Yang pasti kita dan orang itu sentiasa mahu diketahui sebagai orang  yang berada dipihak yang benar walaupun kita dan orang itu sendiri gagal dalam ujian yang diadili oleh hati kecil masing-masing  (conscience) .

Jika sikap dan sifat itu kita dan orang itu teruskan sepanjang hayat, sehingga ke usia tua, maka pada tempoh-tempoh menghampiri hujung-hujung kehidupan, kita sendiri dan orang itu sendiri akan menceritakan siapa diri masing-masing yang sebenarnya. Cuma cara penceritaan kita dan orang itu ada berbagai termasuk secara sedar, tersasul mahupun nyanyuk. Itupun jika kita dan orang itu sempat bercerita mendahului ajal yang tetap akan tiba.

Begitulah kesah kita dan orang itu yang mendiami bumi yang sementara ini. Wallahu alam, Allah saja yang maha mengetahui.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan