Theflowersellingboy

Khamis, 2 April 2020

Secara Fizikal Saya Tidak Terkurung Tapi Fikiran Saya Yang Terkurung




Selamat Hari Ulang Tahun Kelahiran Isteri Saya Yang Ke........

Sudah lupa? Kerana faktor usia? 

Tidak, masih lagi tahu membuat kira kira. 

Apa pun semoga diberi kesihatan tubuh badan dan akal fikiran dan sentiasa dipertingkatkan iman dan hidup berbahagia sehingga akhir hayat kami suami isteri. 

Tiada sambutan. Tapi bergambar kenangan bersama.

Hanya kami bertiga berkurung dan terkurung di rumah. 

Nasib baik anak perempuan ada bersama setelah kembali dari Kota Kinabalu , Sabah. Melepaskan jawatan kerajaan untuk bekerja dalam syarikat swasta. Semoga pilihan sektor kerjanya membawa kejayaan yang lebih baik. Sudah tentu banyak cabaran.

Secara fizikal kami bertiga seperti rakyat Malaysia yang lain yang patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih banyak berihat di rumah, khusussnya berada dalam rumah. 

Fizikal saya masih bebas walaupun pergerakan terhad di sekitar dalam dan di luar rumah. Dua hari lepas berturut turut saya mesin rumput di belakang rumah yang sebelum covid 19, saya lakukan sehari sahaja. 

Covid 19 bukanlah sebenarnya membuatkan kerja saya memerlukan masa yang lebih dari sebelumnya. Cuaca ketika ini terlalu panas. Peluh keluar berjurai jurai sehingga melencon pakaian kerja saya. Saya tidak dapat bertahan lama dengan cuaca yang panas. 

Tapi cuaca yang panas ini , mengikut khabar yang diterima adalah musuh kepada covid 19. Covid tidak boleh bertahan pada suhu yang panas. Saya tidak pasti tahap  bacaan suhu yang boleh mematikan kuman covid 19 ini. 

Harap maklumat itu sahih dan benar. Mungkin inilah pertolongan dari Allah yang menghantar musibah bersama dengan penawarnya iaitu cuaca yang panas ? 

Bagaimana dengan meminum air suam? Ah buat masa sekarang lupakan sahaja.

Sebenarnya cuaca panas bukan alasan yang mutlak yang membuatkan saya lebih masa untuk menyiapakan kerja memesin rumput. Tapi kurang tenaga disebabkan faktor usia adalah sebab utama. Memanglah semangat begitu kental. Nak buat ini, itu , nak bersih dalam rumah, nak mop nak buat bagai bagai kerja sedangkan tenaga di usia hampir mendekati penghujung ini hanya berbaki sedikit cuma. 

Mampu bergerak dan mengurus diri sendiri pun, adalah nikmat yang perlu disyukuri. Terima kasih Allah.

Semangat kental mesti ada tenaga. Itu hakikat yang perlu diterima.

Dengan demikian kawasan rumah di sebelah kiri masih belum dimesen lagi. Akan dilakukan esok, mungkin.

Covid memerangkap saya secara fizikal yang menghadkan pergerakan. 

Fikiran saya pun terperangkap juga. Saya tidak pasti saya berada dalam  'captive mind'.

Selama 32 tahun lebih saya berkhidmat dalam sektor awam. Sudah tentu world view atau sikap dan pandangan saya tidak sama dengan mereka yang bekerja dalam sektor swasta. 

Saya selesa dan merasa selamat bekerja dalam sektor awam walaupun upahnya tidak setinggi berbanding  sektor swasta pada tahap dan kedudukan yang lebih kurang sama. Saya tidak suka ambil risiko. 

Saya jenis 'risk avers'. Bukan seorang pelabur yang sedia mengambil risiko yang sentiasa berpegang kepada 'high risk high return' . Dalam pepatah Melayu , 'Kalau tidak dipecah ruyung manakan dapat sagunya'.

Sewaktu anak memaklumkan kepada saya akan niat untuk berhenti kerja sebagai penjawat awam, sebagai doktor kerajaan, respons segera saya ialah kena fikir panjang panjang. Tidak semuanya indah di luar sana, nasihat saya. 

Saya mendapat sokongan isteri. Dia pun bekas penjawat awam berkongsi world view yang sama.

Tapi anak menyatakan itulah niat yang ada dalam hatinya , sebelum bekerja lagi. 

Dia menjalani houseman hanya bagi mendapat pendaftaran Majlis Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Council) sebagai doktor yang berlesen/berdaftar. 

Saya dan isteri akur kerana itu yang dihajati. Dan mendoakan anak saya itu berjaya dalam persekitaran kerja yang baru penuh mencabar.

Namun Covid 19 telah menangguh beliau untuk melaporkan diri di klinik swasta di Seremban 2.

Bersama saya dan isteri dia bergambar sama pada musim covid 19 yang masih berada dalam fikiran semua. Fikiran saya terperangkap dengan covid  19.

BERGAMBAR TIGA BERANAK PADA HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN ISTERI 2 APRIL 2020 KHAMIS


  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan