Theflowersellingboy

Selasa, 31 Mac 2020

CIK TIPAH TERTIPU, CIK KIAH PULA TAKUT KENA TIPU.




"Apa khabar Cik Tipah. Lama tak nampak?" Cik Kiah menanyakan khabar pada Si Tipah yang telah lama tidak bersua muka. Khabarnya Cik Tipah amat malu kerana dia dikatakan telah tertipu. Dua kali kena tipu. Tertipu dalam percintaan.

"Khabar baik. Wah wah wah Cik Kiah, nampak populer sekarang.  Tiba tiba nama muncul  jadi sebutan PM. Tahniah dapat bantuan .....bantuan aper tu..alah susah pulak nak sebut....tu lah bantuan aper tu ransang...aper tu prihatin....alah yang PM sebut dalam tv tu. ". Cik Tipah melenggokkan sedikit badannya sambil jari tangan kirinya dilepaskan dari dahinya yang cuba mengingatkan nama bantuan yang Cik Kiah bakal terima dari PM.

"Tapi, Cik Kiah , berhati-hati. Jangan harap sangat dengan janji orang politik". Sambung Cik Tipah.

Dua kali Cik Tipah kena tipu. Kali pertama dia ditipu oleh seorang kontraktor kelas F yang berjanji untuk berkahwin dengannya. Kontraktor ini adalah seorang pengerusi dalam badan politik dan Si Tipah pula aktif  dalam bahagian yang diketuai oleh kontraktor itu.

Kontraktor ini tidak putus putus mendapat projek kerajaan. Tapi kesemuanya diserahkan kepada Ah Loy kerana tidak mampu mengupah pekerja. Lagipun cara ini lebih mudah. Ambil sahaja 10 persen dari harga tawaran yang diperolehi dan tidak perlu susah susah untuk fikirkan perlaksanaan projek itu. 

Cara hidup kontraktor ini mewah sehingga menjadi tarikan Si Tipah untuk menerima cadangan untuk berkahwin dengannya. Tapi kemewahan kontraktor ini membuatkannya hanyut dalam kegilaan berhibur di kelab malam. Akhirnya dia tertangkap oleh pasukan penguatkuasa agama kerana berkhalwat. Dan terpaksa bernikah dengan pasangan khalwatnya. Melepaslah Si Tipah.

Tipah juga bernasib malang apabila dia juga dikecewakan oleh seorang  lagi ahli politik yang berjawatan dalam kerajaan. Kedudukannya lebih baik  dari kekasih Tipah yang pertama. Ini membuatkan Tipah berangan-angan untuk berlagak dihadapan kekasih pertama yang telah mengecewakannya dulu. Balas dendam. 

Tapi, sekali lagi Tipah tertipu. Kekasihnya yang kedua sebenarnya telah mempunyai isteri. Isteri pertama tidak mengizinkan suaminya berkahwin lagi satu. Kecewa lagi Si Tipah. Dua kali kena tipu.

Tipah tertipu lagi!!!!

"Bantuan kerana covid 19 lah Cik Tipah", Si Kiah beritahu bahawa bantuan itu adalah disebabkan kuman covid yang mengamuk ketika ini yang menyusahkan rakyat. Sebab itu kerajaan yang prihatin kenalah bantu rakyat.

Mereka menjarak diri, tidak bersalaman dan pipi tidak bergesel kiri kanan. Tidak juga berpelukan.  

Oh mungkin mereka memakai topeng , menutup hidung , mulut dan muka. Tidak sesuai untuk berpelukan. Menggesel pipi kiri kanan.

Tapi mengapa menjarak diri. Mengapa tidak bersalaman? Oh ya mungkin tidak pakai sabun penghapus kuman, sanitizer.

Sapaan mereka berlangsung ringkas sahaja. Tidak sampai lima minit mereka berpisah dengan saling lambai melambai tangan sehingga hilang dari pandangan mata.

Cik Kiah garu kepala. 

"Jangan harap sangat dengan janji orang politik" membuatkan Cik Kiah pening kepala. 

"Aku kena tipu ker?" 








Tiada ulasan:

Catat Ulasan