Theflowersellingboy

Selasa, 6 September 2016

Merealisasikan Harapan Negara dan Rakyat: Apa Pilihan Anda




Ada tiga personaliti yang mengisi sebahagian besar fikiran rakyat ketika ini.  Mereka menjadi personaliti harapan rakyat. Saya hanya menggunakan ganti nama personaliti-personaliti itu dengan huruf M, A dan N. 

Saya boleh teka bahawa anda semua sudah mula mahu ketawa. 
Saya amat memahaminya.

Tidak mengapa. Saya hanya mahu bertanya: Diantara M, A dan N yang mana satu anda pilih? Hanya pilih satu sahaja. Tidak boleh pilih kombinasi dua atau tiga kerana pengalaman menunjukkan bahawa kombinasi sedemikian adalah tidak serasi. 

Walaupun M, A dan N itu jika digabungkan akan melahirkan manusia iaitu MAN, makhluk ciptaan Allah yang terbaik, tapi dalam hal yang diketengahkan ini, ianya tidak jadi begitu. Banyak membawa kerosakan dari kebaikan.

Sifat buruk M yang tidak boleh ditinggalkan ialah tiada yang lebih utama dari M. Dialah yang pertama. Dialah yang teratas. Dialah yang mendahului.Oleh itu apa pun kombinasi yang hendak dicadang atau diusahakan, sebutan M mesti mendahului A mahu pun N. Susunan dari kiri ke kanan mesti bermula dengan M. Susunan dari atas ke bawah juga mesti juga bermula dengan M.

Bahkan jika diterjemahkan ke tulisan jawi, M sebagai Mim, A sebagai Alif dan N sebagai Nun, peraturan susunan huruf jawi yang bermula dari kanan ke kiri juga mesti dipakai untuk Mim.

A dan N juga tidak serasi. N terlalu suka berkhayal dan syok sendiri sehingga dalam banyak keadaan sama ada secara sedar atau tidak, N tidak ambil kisah tentang harga dan maruah diri. Katalah apa yang mahu dikata, cercalah selama mana yang dimahukan, N yang digoda dengan perasaan syok sendiri akan terus berbangga dalam setiap penampilannya. Banyak pujian dan ampuan yang diterima, lagi panjanglah khayalan si N itu.

Yang demikian pilihan kombinasi dua atau tiga tidak akan dapat merealisasikan Harapan Rakyat.

Hanya pilih satu sahaja, jika mahukan harapan rakyat menjadi kenyataan.  

Nampaknya M bukan pilihan yang baik kerana penting diri sendiri. Oleh itu dengan apa cara sekalipun sama ada sah atau tidak sah, dan sebagainya, asalkan diri sendiri nendapat untung dan faedah melebihi yang lain, M sedia melakukannya.

N jika dipilih, menjadi hancurlah harapan rakyat kerana seperti Mat Jenin, N tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu kesan buruk kepada rakyat dan negara kerana terlalu berkhayal dan syok sendiri. N juga seperti Pak Kaduk, menang sorak kampong tergadai.

M boleh diketepikan. Lupakan saja N. Anda hanya ada satu pilihan iaitu A.

Pilihlah A?

Nanti dulu. Jangan terburu-buru kerana harapan rakyat dan negara terlalu besar. Fikir panjang-panjang.

Bagi saya A wajar dipilih. Dan saya yakin A mampu membawa kebaikan kepada negara dan rakyat. Namun begitu, fikiran saya agak terganggu apabila M  mendekati A, seolah-olah M mahu jadikan satu kombinasai diantara A dan M, bagi merealisasikan Harapan Rakyat dan Negara.

Seperti yang dinyatakan diatas, sama seperti anda, saya juga hanya boleh memilih satu saja, bukan kombinasi. Maka A adalah pilihan saya.

Sebaliknya jika A bersedia untuk berkombinasi dengan M, saya merasakan ianya tidak akan menguntungkan negara dan rakyat. Ianya satu kombinasi, dan jika terpaksa rakyat memilihnya, adalah satu pilihan yang cacat.

Kerana M tetap M dengan sifat-sifat diri yang sentiasa mahu menjadi yang pertama, utama dan mendahului yang lain, dengan apa cara sekalipun.  

Cuma saya merasa agak lega apabila memikirkan bahawa M seperti kita juga ada tarikh penamatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan