Theflowersellingboy

Selasa, 13 September 2016

MELAYU YANG JADONG.




'Jadong' satu perkataan yang baru bagi saya. Ianya gabungan tiga perkataan yang menjelaskan sesuatu sifat, dan sudah tentu sifat itu merujuk kepada sifat manusia, khususnya manusia Melayu. 

Jahat, Bodoh dan Sombong itulah Jadong. Orang Melayu, tidak pula ada statistik yang menyokongnya, sebahagian besarnya adalah Jadong. Sekurang-kurang itulah persepsi saya, dan mereka yang menciptakan perkataan itu.

Apa yang telah dan sedang berlaku menjadi asas kepada persepsi saya itu. 

Bahawa orang Melayu suka yang jahat-jahat walaupun kejahatan itu merupakan perkara yang mereka benci dan kutuk, sekurang-kurangnya mereka tunjukkan melalui pertuturan mahupun tulisan. Apa yang tersembunyi dalam hati, saya tidak tahu. Allah saja yang tahu.

Bahawa orang Melayu itu bodoh dan suka kekal bodoh dan dibodohkan. Yang penting bagi orang Melayu ialah menjadi penerima dan pengguna kerana menerima dan mengguna tidak perlu banyak menggunakan otak dan berusaha serta bekerja kuat. Menjadi orang miskin bukan sesuatu yang menggusarkan orang Melayu asalkan ada pihak yang bersedia memberi.

Bahawa orang Melayu adalah Sombong. Sombong dengan sifat keMelayuannya yang halus budi bahasa dan yang taat setia tidak berbelah bagi sehingga percaya mereka adalah tuan walaupun hidup dalam kemiskinan. 

Itulah Jadong. Melayu yang Jadong -yang Jahat, Bodoh dan Sombong.

Saya percaya, majoriti Melayu adalah Jadong. Sebab tanpa majoriti yang Jadong, sifat itu akan terkubur.

Ini bererti ada segolongan kecil Melayu yang tidak termasuk dalam kumpulan Jadong. Tapi mereka adalah lebih Jadong dari majoriti Melayu yang jadong. Kerana orang yang lebih jahat, lebih bodoh dan lebih sombong saja yang dapat menguasai mereka dalam sifat yang sama. Kata orang, pencuri saja yang boleh tangkap pencuri.

Dengan lebih Jadong, Melayu kumpulan yang kecil ini dapat mengekalkan kedudukan mereka bertahta, menguasai majoriti Melayu yang jadong. Mereka ini memegang tampok kuasa. Mereka ini menguasai sumber kekayaan negara. Mereka ini berjaya menguasai emosi majoriti Melayu yang jadong. 

Kelihatan mereka ini adalah pemurah, penyayang dan pengasih keatas majoriti Melayu yang jadong. 
 
Mereka mahu mengekalkan majoriti Melayu sebagai jadong kerana yang jadong sajalah yang akan kekal menjadi penerima dan pengguna, yang malas berfikir, yang tidak mahu beusaha dan bekerja kuat dan yang sentiasa mengharapkan suapan. Yang jadong sajalah yang mudah dimainkan emosinya.

Sebut saja Ketuanan Melayu, laung saja kata-kata itu maka secara beremosi dan spontan Melayu yang majoriti akan menyambutnya dengan teriakan dan laungan Hidup Melayu yang bukan saja membawa maksud Melayu bahkan terseret sekali Agama dan Negara. 

Dengan demikian jangan 'usik' agama mereka dan jangan cuba menjadi tuan di negara mereka. Melatah dan mengamoklah mereka.

Walaupun agama menjadi teriakan kebanggaan mereka, ianya tidak bermakna mereka adalah beriman sepenuhnya kepada apa yang diajar dalam agama mereka. Mereka masih lagi mahu jadi jadong -Jahat, Bodoh dan Sombong.

Tidak juga mereka sayangkan negara kerana apapun yang dilakukan oleh kumpulan Melayu yang kecil yang berkuasa yang boleh merosakkan negara tidak menjadi hal kepada mereka asalkan mereka kekal menerima suapan.

Bangsa, Agama dan Negara a dalah resepi yang ampuh sebagai alat bagi mempengaruhi fikiran dan emosi mereka untuk sentiasa bersama mempertahan dan mengekalkan  sifat JADONG Melayu itu. 

Jadong itu adalah resepi yang perlu dipertahankan dengan apa cara sekalipun Demi Melayu, Demi Islam dan Demi Negara. Dan matlamat sebenarnyaDemi Mengekalkan Elit Melayu Yang Berkuasa.

Kalau tidak percaya renunglah perkara-perkara berikut dalam hal yang berkaitan dengan satu contoh saja iaitu 1MDB. Lihat bagaimana sikap dan pendirian Melayu majoriti sama ada yang kaya atau miskin dan yang berpendidikan atau sebaliknya.

1. Apabila timbul kegusaran tentang 1MDB yang boleh membei kesan kepada kewangan negara.

Apakah pendirian Melayu.

2, Apabila telah jelas dan diakui sendiri oleh yang punya akaun bahawa ada wang masuk ke dalam akaun peribadi.

Apakah hujah orang melayu.
 
3. Apabila telah didedahkan pihak penyiasat USA tentang kecurangan individu tertentu yang menyalahi undang-undang di negara tersebut berkiatan pengubahan wang haram yang bersumberkan wang 1MDB.

Adakah orang Melayu ambil peduli. Tidakkah Melayu merasa malu kerana nama baik pimpinan telah dengan dinyatakan dengan jelas. Dan mengapa tidak merasa malu apabila negara asing pula mahu menjaga kepentingan 1MDB dengan bertindak menyaman individu-individu yang telah mencuri wang 1MDB sedangkan tidak ada tindakan dari negara kita untuk mendapatkan semula wang yang telah dicuri.

4. Apabila ada menteri dan bekas menteri telah secara jelas mengatakan bahawa terdapat kaitan yang jelas masalah 1MDB dengan kepimpinan.

Apakah yang dilakukan oleh orang Melayu.

Saya ada hanya satu jawapan iaitu bahawa orang Melayu masih lagi mahu kekal menjadi JADONG. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan