Theflowersellingboy

Sabtu, 10 September 2016

Masih Lagi Salam Mahathir -Anwar: Apa Maksud Sebenarnya.




Salam Mahathir - Anwar, usahlah salam itu menjadi igauan dan bicara diri!!!!!??????

Ada yang menyeru seperti itu mengharapkan salam itu tidak perlu dihebuh-hebuhkan, bahawa ianya satu salam biasa-biasa saja yang dilakukan oleh siapa saja. 

Ada pula yang bertanya mengapa jadi begitu, dengan rasa kehairanan, tidak percaya, dan ada yang berprasangka.Tidak mungkin salam itu dibiarkan begitu saja seperti angin berlalu, kata sebahagian yang lain.

Tidak mungkin salam itu cepat sejuknya. Kerana Salam itu adalah salam yang mempunyai nilai sejarah, tafsir sebahagian yang lain.

Apa pun, bagi saya, salam Mahathir - Anwar itu adalah bukan sembarangan salam. Ianya  bukan salam pada hari raya. Tidak juga salam semasa sama-sama dalam kerajaan atau salam kerana adat orang bersua muka. Tidak juga salam antara dua musuh untuk mencari jalan damai.

Jadi apa jenis salam Mahathir - Anwar ini? 

Dikalangan musuh Mahathir, secara khususnya orang UMNO, pengikut dan pemimpin yang setia kepada Presiden UMNO, DS Najib, salam Mahathir itu dikategorikan sebagai salam orang yang terdesak. Salam orang politik yang sudah terdesak.

Lalu atas kepercayaan dan sangkaan seperti itu, mereka memandang lekeh akan salam Mahathir itu dari segi mendapat sokongan dan pengaruh politik.  

Kata mereka parti Mahathir, yang mengambil nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang baru saja diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Syarikat (ROS) tidak akan mampu mengalahkan UMNO/BN, kerana tidak ada kekuatan sokongan, dan dengan sebab itu menjadikan Mahathir terdesak untuk bersama dengan Pakatan Harapan (PH), sedangkan PH kata mereka tidak menunjukkan kesungguhan untuk bekejasama dengan parti Mahathir. 

Namun ada pula yang mengambil kedudukan berwaspada, jangan pandang rengan. 

Dan ada yang dengan sengaja menjadi tidak waras dalam otak kepala. Lalu tanpa rasa malu dengan segera menggunakan perkataan-perkataan dan ayat-ayat lucah menjelmakan sikap mereka tehadap salam tersebut yang menyerlahkan lagi sifat benci dan hasad dihati mereka terhadap Anwar khususnya, sambil menyalahkan Mahathir yang dikatakan sanggup tunduk pada musuh ketatnya demi kepentingan politik diri.

Lihat, Mahathir datang ke mahkamah bersalam dengan Anwar, Anwar juga yang disalahkan. Apa ada kena mengena salam itu dengan kes liwat, satu dakwaan politik yang amat menjijikkan itu.

Saya ingin bertanya: Mengapa celupar dan menghinakan diri sendiri? Adakah itu satu dari ciri-ciri yang perlu ada dalam parti yang dianggotai?

Usahlah salam itu menjadi igauan sesiapa. Tidak perlu salam itu menjadi bicara diri . Kalau tidak mampu melihat sisi positif salam itu, lihatlah salam itu sebagai satu yang biasa-biasa saja.

Baiklah. 

Salam Mahathir - Anwar itu bolehlah saya bersetuju sebagai salam orang yang terdesak. Orang yang terdesak itu adalah Mahathir bukan Anwar. Salam itu bukan salam perdamaian diantara orang yang bermusuh, atau salam untuk memohon kemaafan atas kesalahan yang telah dilakukan. Tidak juga salam yang biasa-biasa sewaktu bersua muka.

Ertinya Anwar menyambut salam Mahathir itu merangkumi hal yang lebih besar dari liputan itu. Menjangkau jauh demi masa depan negara. Demi generasi dan anak cucu kita untuk kelangsungan masa depan yang lebih baik.

Sambutan tangan Anwar menggenggam tangan Mahathir bukan bertujuan untuk menerima permohonan maaf Mahathir atas kezaliman yang telah ditimpakan oleh Mahathir keatas Anwar dan keluarga Anwar.  Kerana Anwar telah berulang kali mengatakan bahawa dia sendiri telah memaafkan Mahathir.

Keluarga Anwar iatu Dr Wan Azizah, Nurul Izah dan Nurul Nuha, walaupun nampaknya tidak dapat bersikap sepenuhnya seperti Anwar, juga bersetuju dengan salam yang disambut oleh Anwar itu. Jadi tidak timbul keluarga Anwar mahukan Mahathir memohon maaf.

Lagipun Mahathir sendiri menyatakan salamnya bukan salam perdamaian.  Jadi tidak keterlaluan untuk kita menerima bahawa salam Mahathir adalah salam politik bagi orang yang terdesak. Salamnya adalah salam untuk faedah jangka pendek, untuk kepentingan diri dan mereka yang mempunyai kepentingan yang sama dengannya.

Namun begitu, ada satu yang sama yang mahu dicapai oleh Mahathir dan Anwar iaitu bagi menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipimpin dan dianggotai oleh pimpinan serta sebahagian pengikut yang sedang membawa negara kepada kehancuran.

Jika Najib dapat dijatuhkan, dan jika UMNO/BN dapat ditumbangkan, ianya sudah cukup untuk mahathir dan sekutu-sekutunya.

Bagi Anwar pula, matlamatnya mencakupi lebih dari itu iaitu satu reformasi bukan saja bagi menumbangkan pemimpin dan parti pemerintah yang membawa kehancuran kepada negara bahkan untuk menyusun dan memperbaikki dan melaksanakan satu sistem kenegaraan yang berteraskan tadbir urus yang tulus dan telus demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Sebab itulah Anwar sedia menyambut salam yang dihulurkan oleh Mahathir. Dan sudah tentu ianya satu strategi politik kerana salam Mahathir itu juga bermotifkan politik. Saya percaya Anwar juga berfikiran bahawa kerjasama diantara parti-parti pembangkang adalah satu pilihan terbaik bagi menumbangkan pemerintah yang ada. Sama juga dengan apa yang dipercayai oleh Mahathir kerana katanya jika mahu tumbangkan UMNO/BN pembangkang mesti bekerjasama.

Hanya kita mendoakan selepas pemerintah dapat ditumbang dan kerajaan baru dapat ditubuhkan, sebuah kerajaan yang lebih baik demi negra dan rakyat dapat ditubuhkan.

Tapi soalnya, jika usia Mahathir masih lagi ada, apakah kesalahan-kesalahan yang telah beliau lakukan itu perlu dibawa ke muka pengadilan?

Anwar pernah mengatakan bahawa Mahathir telah lanjut usianya, dan memejarakan Mahathir pada usia sedemikian bukan satu pilihan yang sesuai. Anwar juga pernah berkata, kurang lebih bahawa dia memaafkan kesalahan Mahathir terhadap dirinya tetapi kesalahan Mahathir terhadap rakyat dan negara adalah ditentukan oleh rakyat.

Jadi masa depan kerjasama politik yang bermula dengan salam Mahathir pada Anwar ini masih lagi boleh menjadi pertanyaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan