Theflowersellingboy

Selasa, 27 September 2016

SIAPA YANG LAYAK JADI PM




Dua minggu saya tidak menjengok blog ini. Maka tiada apa-apa yang dibicarakan.

Hari ini tergerak hati untuk membicarakan sesuatu. Sesuatu yang juga menjadi perhatian sebahagian rakyat iaitu tentang siapakah yang layak jadi PM.

Sudah tentu soalan itu berbangkit hasil dari perkembangan semasa politik di negara kita.

Apabila soalan siapakah yang layak jadi PM diketengahkan maka tidak keterlaluan ianya boleh ditafsirkan bahawa ada dikalangan rakyat yang merasakan PM yang ada sekarang ini perlu turun, berundur atau letak jawatan. Ada sebab-sebab yang kuat mereka mahu PM sekarang berundur. 

Antara alasan dalam desakan 'undur' mereka itu ialah tentang salah urus tadbir yang merugikan negara dan rakyat, merosak dan mencemarkan nama baik negara dan soal integriti.

Mereka boleh mendesak tetapi sekiranya  BN khususnya UMNO iaitu parti yang membentuk kerajaan persekutuan ketika ini masih lagi memberi sokongan kepada PM yang ada ketika ini, desakan itu tidak akan mampu menukar PM yang sedia ada itu.

Riak-riak yang ada ketika ini memberi isyarat bahawa sokongan itu masih diperolehi oleh PM, dan beliau sendiri tidak rela untuk melepaskan jawatan walaupun didakwa melakukan kerosakan kepada negara.

Dengan demikian membicarakan siapakah yang layak menggantikan PM dalam konteks yang ada ketika ini, saya fikir ianya tidaklah sia-sia walaupun ianya memenatkan.

Ianya tidak sia-sia kerana ia memperlihatkan betapa pedulinya rakyat tentang pengisian jawatan tertinggi negara. Rakyat mahukan hanya yang 'terbaik' saja yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri. 

Secara umumnya maksud yang terbaik itu ialah seseorang yang mampu dan berkebolehan serta secara konsisten melaksanakan tadbir urus negara demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Orang itu adalah layak menjadi PM.

Bermakna, PM yang ada ketika ini tidak termasuk dalam kategori 'yang terbaik'. Lalu perlu diganti.

Namun ketika ini rakyat tiada pilihan melainkan menerima apa yang ada sehingga PRU yang akan datang.

Bagaimana pula jika PM yang ada mahu melepaskan jawatan sebelum PRU. Siapakah yang layak menjadi PM yang baru?

Bagi saya tiada seorang pun yang 'terbaik'. Maknanya tiada seorang pun yang mampu memberi khidmat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Zero.

Saya mengatakan zero ialah kerana pilihan yang ada pada kita untuk berPM yang baru hanya dari kalangan parti BN khususnya UMNO kerana parti itu mempunyai kerusi majoriti walaupun memperolehi suara minoriti dalam PRU yang lepas.

Jadi apa pilihan kita selain dari ahli parlimen UMNO/BN. Sesungguhnya kita tiada pilihan. 

Ertinya kita akan dapat PM dari kalangan ahli parlimen yang mengamalkan budaya dan sifat yang sama seperti PM yang digantikan.

Bagimana dengan TPM Zahid? 

Ada pihak yang meragui kemampuan beliau khususnya dalam hubungan antara bangsa. Bahasa Inggeris beliau dikatakan tidak mencapai tahap yang diperlukan dalam hubungan antara bangsa seperti yang telah dipamerkan dalam ucapan di perhimpunan PBB baru-baru ini.

Saya masih lagi boleh bertolak ansur dalam hal ini dengan syarat beliau mesti mempertingkatkan kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. 

Namun begitu saya masih tidak yakin beliau boleh menjadi PM yang terbaik kerana orientasi beliau tidak ada bezanya dengan PM yang digantikan.

Begitu juga yang lain-lain dari kalangan UMNO/BN termasuklah Hishamuddin. Beliau juga tidak layak. 

Tapi oleh kerana penguasaan bahasa Inggerisnya dikatakan pada tahap yang wajar dalam hubungan antara bangsa, ada pihak yang yakin beliau layak sebagai pengganti. 

Bahawa menjadi PM bukan saja dilihat dari sisi kemampuan menguasai Bahasa Inggeris. 

Budaya yang membentuk pemikiran dan sifat peribadi seseorang itu adalah terlalu amat penting. 

Bermula dari zaman Mahathir sehingga kini, UMNO/BN tidak lagi  mengamalkan budaya yang mampu membentuk peribadi yang bersifat amanah dalam mengurus tadbir negara demi kesejahteraan rakyat. Budaya wang dan projek adalah menjadi idaman seterusnya amalan sebahagian besar ahli termasuklah dari kalangan ahli parlimen parti itu.

Jadi lupakanlah hasrat untuk tukar PM sebelum PRU.
Tunggulah PRU 14 dan ambillah peluang untuk mendapatkan PM yang terbaik. PM yang terbaik tidak akan diperolehi dari kalangan parti UMNO/BN.

Namun begitu jika Mahayuddin dari Parti Bersatu menang, saya berpendapat beliau bukanlah calun PM yang terbaik. Walaupun kelihatan beliau agak sedikit baik dari PM yang ada ketika ini, tapi beliau juga mewarisi budaya UMNO/BN.  

Beliau adalah calun yang layak menjadi PM, menurut Mahathir.

Saya masih tidak dapat melupakan apa yang telah dilakukan oleh Mahathir semasa menjadi PM. Ya, membangun Malaysia satu hal yang terpuji. Tetapi melakukan kerosakan kepada negara adalah lebih besar dari pembangunan dan kemajuan yang telah diusahakan. Sebab itulah jika ada orang tanya antara Najib dan Mahathir siapa pilihan anda. Saya tolak kedua-duanya kerana kerosakan lebih banyak dari kebaikan.

Yang demikian siapa yang layak jadi PM selepas PRU 14?

Jika UMNO/BN menang dan jika Najib masih mengetuai UMNO/BN beliaulah yang layak tapi bukan PM yang terbaik. Kalau Pembangkang menang, Mahyuddin bagi saya tidak akan mampu jadi PM terbaik, dan dengan itu tidak layak.

Jadi siapa yang layak? Anwar Ibrahimlah yang layak. Tapi ada halangan/sekatan kerana beliau tidak boleh menjadi calun.

Siapa DIA PM kita jika Pembangkang menang dalam PRU 14.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan