Theflowersellingboy

Selasa, 12 Ogos 2014

Rumah Terbuka Hari Raya





Seorang kawan memberi tahu, dan menyatakan sikap dan perasaannya terhadap jemputan rumah terbuka hari raya yang diterimanya. Begini ceritanya;

"Jemput datang ke rumah terbuka saya pada 16 Ogos ini. Tk".

Begitulah satu pesanan rengkas yang saya terima. Sesungguhnya saya amat berbesar hati atas ingatan dari kawan sekerja dulu. Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan saya itu. Saya menganggapkan jemputan itu bukan setakat ingatan dari seorang kawan lama, bukan saja setakat merasakan satu penghormatan, tidak juga hanya sebagai dihargai -ianya lebih dari itu. Saya menerimanya sebagai satu pernyataan kasih sayang dari seorang kawan.Pernyataan kasih sayang yang penuh keikhlasan.

Mengapa sampai begitu tanggapan saya? Bukankah jemputan rumah terbuka hari raya adalah satu perkara biasa. Jemputan dari seorang kawan, sama seperti dia menjemput kawan yang lain.

Benar,ia hanya satu jemputan untuk menghadiri rumah terbuka hari raya. Dia juga menghantar jemputan kepada orang lain. Dia juga menjemput secara pesanan rengkas , bukan datang ke rumah. Jadi tiada apa yang istimewanya.

Kalau dilihat begitu, memang tiada keistimewaan jemputan rumah terbuka kawan saya itu.

Tapi ada cerita lain tentang hubungan kami. Saya sedar, dan saya tahu ada hal yang beliau tidak bersetuju dengan saya semasa sama bekerja dahulu. Saya tidak pasti kawan saya itu berkecil hati. Tapi yang saya tahu ialah saya mengeluarkan arahan yang tidak menyenangkannya. Arahan dari seorang ketua kepada anak buahnya. Yang jelas wajahnya tidak ceria seperti biasa.

Setelah saya bersara, dia masih tidak gagal menjemput saya menghadiri rumah terbuka hari rayanya. Begitulah setiap kali beliau mengadakan rumah terbuka hari raya. Biasanya jika tiada aral melintang saya sekeluarga akan hadir. Dan kami hadir dengan perasaan dan sikap yang biasa saja iaitu sebagai memenuhi jemputan dari seorang kawan untuk menyudikan makanan yang disediakan, dan untuk bertemu kawan-kawan yang lain. Itu saja.

Malah dahulunya tidak tergerak langsung dihati saya untuk mengucapkan terima kasih semasa menerima pesanan rengkas yang menjemput ke rumah terbukanya. Saya hanya mengucapkan terima kasih setelah menghadiri dan menikmati hidangan di rumah terbukanya.

Maknanya, kalau tidak hadir, tiada ucapan terima kasih diatas ingatan kawan itu. Jauh sekali untuk saya menyatakan permohonan maaf kerana tidak dapat hadir seolah-olah jemputan itu tidak membawa apa-apa makna dari segi mengakrabkan silaturrahim. Jemputan itu hanya dianggap sebagai menjamu selera. Kalau bersalaman dan mengucapkan terima kasih pun hanya memenuhi satu kebiasaan yang dilakukan oleh semua orang.

Tidak pernah saya mengucapkan "Semoga Allah murahkan rezeki saudara, dan saudara dikurniakan rezeki yang halal dan barakah".

Begitulah cara saya . Tidak ada langsung nilai penghargaan atas ingatan dari seorang kawan.

Tidak pernah terfikir akan susah payah kawan itu dalam mencari wang untuk mengadakan majlis itu. Tidak pernah terkesan dihati saya bahawa kawan itu telah melakukan sesuatu yang terpuji, yang perlu diteladani, kerana sedia berkongsi sebahagian rezeki dengan orang lain.

Paling malang sekali,  saya tidak pernah mendoakan agar Allah murahkan rezeki kawan saya itu,  dikurniakan rezeki yang bertambah, dikurniakan rezeki yang halal dan barakah, sedangkan kawan saya itu tidak pernah gagal menjemput saya.

Maka dengan itu saya hanya tahu makan saja. Ucap terima kasih dan bersalaman sebelum meninggalkan majlis. Dan mengharapkan kawan itu menjemput lagi pada tahun depan. Dan saya akan datang untuk makan.

Jemputan tahun ini sama saja dengan yang lepas iaitu mejemput hadir dirumah terbuka hari raya. Caranya pun sama melalui pesanan rengkas.

Tapi sikap saya menerima jemputan kali ini berbeza sekali. Ianya bukan sangat jemputan untuk makan jamuan hari raya.

Lagipun banyak manalah yang mampu saya makan. Apa sangat yang boleh saya makan kerana banyak makanan yang perlu dielakkan -kolestral dan tekanan darah tinggi sentiasa bermain diotak kepala, setiap kali saya menghadapi hidangan. Tahu-tahu sajalah makanan yang dihidangkan pada hari raya, penuh dengan lemak dan minyak.

Bagi saya jemputan itu adalah tanda ingatan. Jemputan itu saya fahami sebagai tanda kesyukuran kawan saya itu akan rezeki yang telah dikurniakan Allah, dan beliau mahu berkongsi sebahagian dari rezekinya dengan orang lain. Beliau bukan seorang yang kedekut dan mementing diri sendiri.

Jadi sewajarnya saya mengucapkan terima kasih atas ingatan kawan saya itu menjemput saya dan keluarga menjamu selera di hari raya.

Ucapan terima kasih ini bukan hanya dilafazkan kerana dapat hadir majlis itu dan selepas makan hidangan yang disediakan. Ianya mesti saya lafazkan segera sebaik saja habis membaca pesanan rengkas kawan itu, tidak kira sama ada saya dapat hadir atau sebaliknya. Dan jika saya tidak dapat hadir, permohonan maaf adalah wajar disampaikan.

Kalau itulah respon saya keatas jemputan kawan saya itu, ianya hanya memberi fokus kepada soal makan saja.

Bukan, bukan. Respon seperti itu tidak mencukupi. Tidak ada langsung sifat mengakrabkan persahabatan.

Tarikh 16 Ogos nampaknya tidak sesuai untuk saya kerana saya akan berada di luar kawasan. Saya mesti memberitahu kawan saya itu bahawa saya tidak dapat hadir. Pohon maaf.

"Tk atas ingatan menjemput kami sekeluarga. Maaf, kami  tidak dapat hadir sebab berada diluar kawasan. Doa kami semoga Allah memberikan kesihatan kepada saudara sekeluarga. Allah murahkan rezeki saudara dan dikurniakan rezeki yang halal dan barakah", begitulah bunyi pesanan rengkas saya kepada kawan yang baik itu.

Air mata saya mengalir. Saya menganggapkan jemputan ini adalah jemputan atas rasa kasih sayang, menyambung dan mengekalkan persahabatan.







 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan