Theflowersellingboy

Khamis, 7 Ogos 2014

Kalid...Khalid....Khalid ...Khalid Ibrahim dan Menteri Besar Selangor




Khalid Ibrahim dan Menteri Besar Selangor. Adakah kedua-duanya sama? serupa? Atau kita katakan tanpa Khalid tiadalah MenteriBesar Selangor?

Berbagai jawapan akan diberikan mengikut fahaman masing-masing . Tetapi satu hal yang jelas ialah bahawa Khalid Ibrahim setakat ini tidak mahu berpisah dengan Menteri Besar Selangor.  Khalid adalah Menteri Besar Selangor dan Selangor perlukan Khalid sebagai Menteri Besar. Sekurang-kurangnya itulah yang saya boleh faham tentang pendirian Khalid tentang isu yang sibuk dibincangkan pada masa ini.

Khalid tidak keseorangan dalam hal ini. Beliau ada penyokong dari ahli partinya. Ada penyokong dari sebahagian rakyat Selangor. Ada sokongan dan simpati dari sebahagian rakyat Malaysia. Yang paling menyeronokkan Khalid ialah beliau diberi sokongan politik dari sebahagian kepimpinan tertinggi PAS seperti terjelas dalam sokongan dari presiden PAS dan mesyuarat Majlis Syura PAS.

Khalid semakin bertambah subur keyakinannya tentang keyakinannya bahawa Khalid dan Menteri Besar Selangor itu adalah sama dan serupa apabila beliau juga didokong dan disanjung akan kebaikan dan kehandalannya oleh UMNO, musuh ketat politik partinya PKR dan gabungan PR.

Kalau UMNO yang telah bertalu-talu menghentam dan memperlecehkannya dulu dengan kata nista dan berbagai tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan gagap , sekarang ini iaitu dalam beberapa bulan kebelakang ini, beliau mendapat sokongan yang padu untuk kekal sebagai MB Selangor. Jadi sudah tentu ia menggembirakan Khalid , dan meransangkannya untuk terus menjadi MB Selangor.

Bayangkan, kalau musuh sendiri (UMNO) sudah menaruh kepercayaan kepadanya untuk meneruskan tugas sebagai MB maka sekarang ini beliau tidak perlu bimbang apa-apa kerana telah berjaya menawan hati musuh memihak kepadanya.

Sekarang beliau tidak perlu bimbang serangan media massa khususnya yang dikuasai UMNO. Media itu tidak akan menyerangnya lagi seperti yang telah dilakukan dahulu. Malah hari-hari beliau mendapat liputan media tersebut yang menyatakan sokongan akan pendiriannya yang menentang kehendak partinya (PKR). Beliau dipuji melangit tingginya. Hilang lenyaplah segala perasaan marah dan benci.

Kasih sayang bertaut sudah.

PAS parti dalam PR atau kawan politik PKR dan DAP dalam menentang UMNO/BN telah jelas menyatakan pendirian -menyokong Khalid kekal sebagai MB Selangor, sekurang-kurangnya seperti yang ditegaskan oleh Majlis Syura PAS dan beberapa orang kepimpinan tertinggi PAS termasuk presiden.

UMNO musuh ketatnya dan musuh partinya PKR dan gabungan parti-parti dalam PR (PAS, PKR DAP) pun begitu juga -memberi sokongan tidak berbelah bagi.

Sudah tentu Khalid merasa selesa akan kedudukannya.

Tapi siapakah atau pihak manakah yang meletakkan Khalid sebagai MB Selangor?

Kita cuba lihat urutan atau steps yang membolehkan Khalid jadi MB Selangor.

i) Khalid ahli PKR.
ii) Khalid dipersetujiu oleh PKR sebagai calun mewakili PR dalam PRU 13.
iii) Khalid menang dengan kerja keras dirinya dan jentera parti
iv) Khalid dicadang oleh PKR sebagai calun MB, dan pimpinan PR bersetuju dan diperkenankan oleh Sultan Selangor

Khalid dapat jawatan MB Selangor itu bermula dari kehendak partinya -dicalunkan bertanding dan menang atas kerja keras dirinya dan jentera parti, dicadangkan pula oleh PKR kepada ahli komponen PR dan diperkenankan oleh Sultan.

Sudah tentu Khalid bersyukur dan berterima kasih kepada partinya PKR yang meletakkan keyakinan kepada beliau untuk dicalunkan menjadi MB Selangor.

Sikap bersyukur dan berterima kasih itu adalah sesuatu yang wajar. Dan semua pihak dalam PR wajar menerimanya.

Jadi kalau partinya PKR tidak lagi mahu memanjangkan tempoh hayatnya sebagai MB Selangor dan digantikan dengan orang lain, sewajarnya Khalid menyambutnya dengan baik atau sekurang-kurangnya menerimanya sebagai satu kehendak atau arahan parti sama seperti semasa beliau dikehendaki oleh parti untuk menjadi calun PRU 13 dan dicalunkan menjadi MB Selangor.

Persoalan tentang integriti beliau sepatutnya tidak perlu ditimbulkan. Dan dalam semangat yang sama Khalid juga tidak boleh menggunakan alasan bahawa beliau mahu menghabiskan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai MB sehingga tamat tempoh penggal DUN.

Bila parti sudah tidak bersetuju beliau menjadi MB, beliau wajar berundur. Parti lebih penting dari peribadi.

Pendirian Khalid yang tidak mahu berundur itu, boleh juga dikaitkan dengan sokongan PAS (sebahagian) terhadapnya. Jadi PAS nampaknya memilih kepentingan peribadi dari kepentingan gabungan parti PR.

Sikap PAS ini amat menghairankan bagi setengah pihak Tapi saya tidak merasakan sesuatu yang ganjil dan luar biasa setelah mengikuti perkembangan gabungan parti-parti dalam PR.

Mereka bermusuh dalam berkawan, dan berkawan sebagai musuh.  Tikam menikam adalah sesuatu yang dibenarkan menurut masalahah politik masing-masing.

Tahniah kepada UMNO/BN. Sediakan karpet merah untuk meraikan seorang pejuang yang bernama..... UMNO sudah sedia tahu sang Wira itu.

Bagaimana PAS? Bentangkan karpet merah yang telah disediakan oleh UMNO itu  semoga yang keruh menjadi jernih, dan lupakan kisah-kisah lama tuduh menuduh , kecam mengecam kerana sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula mainan politik.

PKR: Semoga Khalid berbahagia di tapak yang baru.

Saya: Berbahagia? Biar betul.

DAP: Haiya, ini macam lugi beniaga la.

Tidak perlu tunggu 10 Ogos 14. Bahang sudah meledak.

Khalid...Khalid... Khalid.  Khalid Ibrahim dan Menteri Besar Selangor.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan