Theflowersellingboy

Isnin, 11 Ogos 2014

Maaf Zahir Batin



Masih lagi dalam bulan syawal. Orang Islam Malaysia, khususnya orang Melayu terus meraikan hari raya sehinggalah ke hujung syawal. Dan kadang-kadang ada yang terlanjur melangkaui syawal.

Begitulah cara kita menyambut hari raya.

Dua lagi yang mencirikan sambutan hari raya ialah ucapan permohonan maaf sama ada secara oral atau diluah/dicoretkan dalam berbagai cara sebaran dan penyampaian; dan rumah terbuka.

"Maaf zahir batin", sentiasa mengiringi dalam ucapan, semasa bersalam-salaman , tulisan dan hantaran pesanan melalui berbagai media sosial. Tidak dikatakan beraya kalau tidak ada permohonan maaf. Malah ramai daripada kita yakin bahawa pada bulan syawal inilah waktu yang perlu dimenfaatkan sepenuhnya untuk bermaaf-maafan. Maka berkatalah ramai orang bahawa selepas saja bermaaf-maafan, seseorang yang melakukannya itu telah berada pada kedudukan Kosong Kosong. Tiada lagi salah dan silap diantara mereka.

"Sekarang kita telah kosong kosong", ucapan yang sentiasa ditutur dan menjadi kebanggaan apabila kita saling bersalaman. Maka lahirlah satu program raya di sebuah saluran tv yang dipanggil Kosong Kosong.

Sesungguhnya bermaaf-maafan pada sambutan hari raya ini adalah sesuatu yang amat terpuji dan wajar diteruskan.

Dan jika permohonan dan pemberian maaf itu dilakukan dengan penuh tertib, rasa kesal dan insaf dari kedua-dua belah pihak, tanpa ada unsur main-main dan gurau senda, ianya boleh mengingatkan kedua-dua pihak agar tidak melakukan/mengulangi kesilapan-kesilapan yang lepas.

Sebaliknya jika permohonan maaf itu adalah sebahagian dari kebiasaan kita yang sudah dibudayakan semasa menyambut hari raya , ianya tidak mempunyai nilai permohonan maaf. Sebab, walaupun kita tidak melakukan apa-apa kesalahan dengan kawan kita yang kita bersalaman itu, kita masih juga terus memohon maaf. Kenapa memohon maaf  sedangkan kita tidak melakukan kesalahan?

Permohonan maaf itu sudah menjadi satu ucapan formal apabila kita bersalaman pada hari raya. Itu saja fungsinya. Tidak ada langsung nilai menyesal dan insaf akan kesilapan yang telah kita lakukan. Pihak yang kita pohon maafpun, tidak juga menunjukkan rasa kecewa atau sedih dengan apa yang telah berlaku dulu. Masing-masing, dalam banyak keadaan ketawa suka.

Mungkin ada yang berhujah bahawa kita tidak sedar atas kesilapan atau kesalahan yang kita buat dengan orang yang kita pohon maaf. Maka tidak ada salah kita mohon maaf.

Hujah itu betul. Permohonan maaf itu adalah perbuatan yang mulia. Dan yang memaafkan  lebih mulia hatinya.

Tapi apa yang dilakukan tidak sebenarnya menepati maksud permohanan maaf kerana sesiapa saja yang kita jumpa termasuk yang tidak pernah kita kenal kita akan menyatakan 'maaf zahir batin', dan kita lakukan secara bersahaja saja tanpa rasa kesal dan insaf.

Maknanya, ucapan maaf zahir batin itu adalah satu ucapan standard yang telah menjadi budaya kita semasa menyambut dan meraikan hari raya. Sama ada kita melakukan kesalahan keatas seseorang atau tidak pernah melakukan kesalahan, itulah kata-kata yang kita ucapkan apabila kita bertemu dan bersalaman.

Yang paling silap sekali ialah keperluan dan masa untuk bermaaf-maafan.

Adakah permohonan maaf itu satu kewajipan dan perlu dilakukan?

Jika kita melakukan kesalahan terhadap seseorang maka menjadi kewajipan kita untuk memohon maaf.  Lagi segera kita mohon maaf lagi baik .

Kalau kita telah menyakiti hati seseorang pada 1 Rabiul Awal tahun lepas, dan menyedari bahawa perbuatan itu salah, sehingga menimbulkan rasa kesal dan insaf maka dengan segera kita pohon maaf, pada hari itu atau secepat mungkin tanpa menunggu hari raya untuk mendapat kedudukan Kosong Kosong.

Cara ini menepati maksud pohon maaf.

Tetapi permohonan maaf seperti ini tidak mudah dilakukan kerana kita ada perasaan besar diri. Walupun kita sedar kita bersalah,  tidak ramai diantara kita termasuklah saya, dapat dengan mudah melembutkan hati dan perasaan untuk segera atau melakukan permohonan maaf. Macam-macam alasan kita gunakan. Satu daripadanya ialah tidak mahu menanggung malu, atau tidak mahu mengalah menyatakan bahawa kitalah yang bersalah.

Jadi cara untuk mengelakkan rasa malu itu ialah dengan menggunakan kesempatan semasa menyambut hari raya. Kerana ketika ini kita tidak akan merasa malu. Semua orang minta mohon maaf. Atau dengan lain perkataan semua orang tidak tahu malu kerana apa yang perlu dimalukan. semua sama saja, mohon maaf. Lagipun boleh dilakukan secara bersahaja dan disambut pula secara bersahaja. Tiada langsung mengusik perasaan dan terkesan dihati. Kita ketawa besar.


Bersambung untuk tajuk Rumah Terbuka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan