Theflowersellingboy

Selasa, 19 Ogos 2014

Usia Sudah 66 Tahun, Cerita Lama Masih Baru.


66 tahun?

Alhamdulillah, segala puji hanya tertentu bagi Allah. Selawat dan salam keatas junjungan Nabi Besar Muhammad SAW , keluarga dan sahabat baginda.

Bersyukur kehadrat Allah SWT dengan kurnia serta perkenanNya, pada tarikh 18 Ogos 2014, tahun masehi, saya telah diperkenankan Allah untuk terus berada di dunia yang fana ini, mencatatkan usia 66 tahun.

Saya berdoa kehadrat Ilahi agar baki-baki usia seterusnya akan memberikan kesempatan kepada saya untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan dikurniakan kesihatan tubuh badan dan akal fikiran, dipertingkatkan iman dari masa ke semasa, diberi petunjuk dan bimbangan untuk menjadi muslimin dan hamba Allah yang melakukan yang makruf dan meninggalkan yang mungkar. Amin, perkenankanlah doa hamba Mu ini ya Allah.

Ya, 66 tahun satu masa yang lama dengan berbagai-bagai liku kehidupan.

Tapi saya merasakan liku-liku kehidupan itu baru saja berlaku dan berlalu. Masih jelas cerita dan peristiwa yang mampu diingat dan dibayangkan serta diceritakan kembali walaupun tidak pernah dicatat dalam mana-mana buku catatan.

Alhamdulillah, maknanya saya masih sihat tubuh badan dan akal fikiran sepadan dengan usia 66 tahun.

Masa kecil (belum memasuki sekolah menengah) anggota badan bergelumang dengan lumpur dan berpanas terik dengan sinaran cahaya matahari ketika musim ke sawah (menyemai, mengubah dan menuai padi) sambil menangkap ikan haruan, keli , betuk dan ikan putih yang cuba melepaskan diri. Badan berlenggeng saja (tidak pakai baju) dan berjalan kaki ayam. Pernah menerima sengatan ikan keli, aduh sakitnya.  

"Kencing tempat yang kena sengat tu", saya teringat jeritan mak busu. Air kencing adalah ubat menahan bisa sengatan. Itulah kepercayaan orang kampong ketika itu.

Walaupun saya masih kecil, saya tidak percaya kerana tidak munasabah, tidak logik atau tidak rasional mengikut pemikiran sekarang, lantas saya tidak melakukannya. Ini menimbulkan kemarahan mak busu dan mereka yang lain. Mereka kata saya budak degil.

Tapi kalau saya tidak degilpun, saya tidak akan melakukananya, malulah. Begitulah dewasanya fikiran saya ketika itu walaupun masih budak kecil berumur tidak lebih dari 10 tahun.

Sekarang saya sudah 66 tahun.

Fikiran saya mula meragui pendirian semasa kecil dulu. Sekarang saya merasakan mungkin ada kebenaran bahawa air kencing boleh mengubat sakit bisa akibat sengatan, sekurang-kurangnya sengatan ikan keli. Mak busu dan orang-orang kampong bercakap ketika itu berdasarkan pengalaman. Kejadian yang telah berlaku, dan bagaimana air kencing telah digunakan bagi menahan dan menghilangkan bisa sengatan. Tidak mungkin mereka berbohong.

Namun saya tidak akan melakukannya jika saya disengat oleh ikan keli. Lagipun mana mungkin ianya berlaku kerana saya tidak lagi bergelumang dengan lumpur dibawah panahan cahaya matahari yang terik membahang. Saya sentiasa didingini dengan penghawa dingin dalam cuaca Malaysia yang semakin panas ini.

Sekarang ini tidak ada lagi kawasan sawah. Semua telah bertukar menjadi kawasan perumahan dan perindustrian.

Teringat akan tugas selepas balik dari sekolah. Balik saja dari sekolah, waktu itu pada peringkat sekolah menengah rendah, berusia diantara 12 ke 15 tahun, kerja saya antara lain ialah menghantar makanan untuk abah yang menoreh getah diladang mat saleh. Saya melihat abah begitu gigih bekerja, mengangkat tangga dari satu pokok ke satu pokok getah untuk membuat torehan kerana dipangkal yang sebelah bawah telah tidak boleh ditoreh lagi.

Kesian abah, tapi saya menahan air mata dari keluar. Abah tidak membenarkan saya mengangkat tangga.

Kemudian abah berhenti untuk menikmati makanan yang dibawa, nasi bertemankan sambal. Itu saja. Namun abah makan berselera sekali.

Saya juga menjadi penggembala lembu (saya panggil kuda semasa menceritakan kepada anak-anak). Lembu mesti dijaga dan diekori agar tidak hilang.  Kayu api mesti dicari untuk dibawa pulang.

Jika tiada lembu yang hilang dan jika bebanan kayu api ada dibawa pulang bersama, langkah saya begitu bergaya, pantas untuk balik ke rumah dengan wajah ceria sekali. Tapi jika ada lembu yang hilang, lutut menjadi lemah, kaki melangkah longlai, takut kena rotan. Jika tiada dibawa pulang bebanan kayu api, saya mesti bersedia untuk menerima leteran emak.

Saya adalah kaki panjat pokok. Pokok kelapa, pokok langsat, rambutan dan pokok manggis tidak jadi masalah. Pernah pengsan kerana jatuh dari pokok manggis kerana tersalah pegang pada dahan yang telah mati. Pernah jatuh dari pokok rambutan kerana sebab yang sama juga. Nasib baik panjang umur.

Sekarang saya sudah 66 tahun.

Saya tidak boleh melakukan kerja panjat memanjat. Lutut sudah tidak kuat, menggigil dibuatnya apabila saya pernah mencubanya waktu berumur 40an dulu.

Dua dari anak-anak saya telah berumahtangga dan mempunyai anak. Seorang lagi akan bernikah pada September ini, inshaAllah.

Mereka itu (Anak-anak saya) tidak melalui apa yang saya pernah lalui. Hanya mendengar cerita dari saya. Mereka percaya. Tapi setakat itu saja. Mereka tidak tahu apa itu tugas jaga lembu . Tidak juga tahu apa itu kayu api. Tidak tahu cara memanjat pokok. Cucu-cucu saya, jauh sekali.

Cucu-cucu saya tahu kaki ayam itu adalah kaki yang dipunyai oleh ayam. Dan mereka adalah betul. Saya juga betul bila mengaitkan kaki ayam itu dengan orang yang berjalan tidak pakai kasut. Yang berbeza ialah masanya. Saya pakai masa silam. Cucu saya pakai masa terkini, semasa.

Kalau begitu, maka tidak salahlah jika mak busu dan orang kampong semasa saya kecil dulu percaya bahawa  air kencing boleh menghilangkan bisa sengatan ikan keli.

Apa pun ceritanya, saya telah melalui masa anak-anak saya dan masa cucu-cucu saya. Ianya berbeza dan saya perlu melakukan penyesuaian. Kalau mereka ber'whatsapp' , saya juga perlu tahu ber'whatsapp'. Kalau tidak , pada usia ini saya akan berasap, tidak faham satu benda. 



   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan