Theflowersellingboy

Rabu, 9 November 2016

Trump Menang. Clinton Kalah. Bila Masa Kita Mahu Berubah.




Donald Trump menang. Clinton kalah. Ahli parti Republikan akan mengambil alih pentadbiran Amerika Serikat (AS). Parti Demokrat menyerah kuasa kepada Republikan.

Sebelum pengundian, majoriti penganalisis mengatakan Clinton  akan menang. Sebahagian besar rakyat AS dan rakyat luar AS percaya Clinton akan menang. Tapi keputusan sebenar setelah rakyat mengundi, Trump yang menang.

Apa ertinya ini?

Saya berpendapat  bahawa sehebat manapun analisis yang dibuat, dengan menggunakan berbagai data dan cernaan berbagai maklumat, fikiran rakyat AS tidak mudah dibaca, ditafsir dan diterjemahkan ke pihak mana undi akan diberikan.

Ertinya juga bahawa rakyat AS menggunakan 'conscience' dan bukan 'atas dasar budi mesti dibalas'atau rakyat bermentaliti projek.. Kaedah dan pendekatan sepert BR1M tidak laku di Amerika.

Ertinya tidak kira mereka itu dari ahli Demokrat atau Republikan, jika 'conscience' mereka mengatakan mengundi Republikan itu lebih baik bagi diri dan negaranya walaupun ianya seorang Demokrat, parti Republikanlah yang diundi.

Dan faktor takut serta bimbang atas nama kaum dan agama seperti yang selalu dimainkan  di Malaysia juga tidak terpakai di Amerika dalam mempengaruhi fikiran rakyat dalam membuat pilihan.

Bagi rakyat Amerika, tidak ada satu parti politik, Demokrat atau Republikan mempunyai kedudukan yang terjamin untuk terus kekal berkuasa. 

Disamping mereka mahu sebuah parti yang boleh menjadi  kerajaan yang bertanggungjawab, mereka juga tidak terlalu taksub untuk mengekalkan parti yang sama bagi meneraju kerajaan pada satu tempoh yang lama. Paling lama hanya bagi tempoh dua penggal saja. 

Di Malaysia amat kontras sekali. Di negara kita ada faktor taksub. Taksub kepada parti, kaum dan agama lebih mempengaruhi pengundi.  Maka emosi digunakan semaksima dan optima yang mungkin. 

Maka adalah konsep 'mengenang budi'.

Maka adalah retorik demi bangsa, agama dan negara.

Maka adalah neratif tentang ancaman keselamatan jika berlakunya perubahan.

Ketiga-tiga yang dinyatakan diatas itu boleh mencair otak mereka, menyejukkan kemarahan dan menggerakkan tangan mereka untuk mengekalkan parti yang sama.

Begitulah yang sebenarnya berlaku kepada sebahagian besar rakyat terutama yang mempunyai capaian maklumat yang terhad. Mereka mudah untuk yakin dan menjadi taksub bahawa perubahan sebuah kerajaan tidak akan menjamin sebuah kehidupan yang lebih baik.

Lalu mereka mengundi kerana taksub. 

Walaupun mereka benci kepada perkara yang mungkar seperti rasuah, dan terlalu amat marah dengan kenaikan kos sara hidup yang membebankan, yang mereka sendiri melaluinya, dan hati kecil atau conscience mereka mengatakan begitu, oleh kerana taksub mereka tetap tidak akan mahu berubah.

AS lain Malaysia lain. 
Mengapa perlu kita bandingkan

Mungkin itu diantara ayat-ayat yang akan disampaikan kepada saya oleh mereka yang tidak bersetuju dengan pandangan ini. Itu hak mereka. Saya hormat hak itu.

Tapi jangan pula memaki hamun jika harga barang naik. Jangan bising-bising dan marah-marah lalu mengatakan sebagai fitnah jika negara kita dipanggil sebagai sebuah negara pimpinan kleptokrasi (perompak).

Jangan minta bukti dari saya kerana saya tahu bukti sudah jelas dan nyata. Cuma mereka yang taksub tidak mahu percaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan