Theflowersellingboy

Ahad, 27 November 2016

MELAYU YANG BERMARUAH dan KETUANAN MELAYU: Apa Pilihan Orang Melayu.




Apa yang China mahu?
 
Begitulah soalan yang membawa nada kecewa pimpinan BN khususnya UMNO semasa menyambut keputusan PRU yang lepas. UMNO kalah undi populariti dengan skor 42% berbanding arwah PR sebanyak 58%. 
 
Pengundi China sebahagian besar ketika itu tidak menyokong BN dengan mengambil petunjuk kekalahan yang teruk menimpa MCA dan Gerakan, dua parti komponen BN yang majoritinya mendapat sokongan orang-orang China.
 
Saya tidak pasti apa jawapan dari orang China. Tetapi kalau saya orang China, saya akan jawab secara sinis bahawa macam-macam  orang Cina mahu. Begitu juga jika ditanya kepada orang Melayu saya jawab dengan air muka yang sama dengan kenyataan yang sama.

Soalan itu sebenarnya membawa maksud bahawa mereka yang ditanya adalah bersifat tamak dan tidak bersyukur. 
 
Bagi orang China ianya tidak memberi kesan bagi mempengaruhi fikiran mereka  memberikan undi kepada BN. Malah lebih menyakitikan hati, seterusnya menjauhkan diri.
 
Bagi orang Melayu jika ditanya seperti itu ianya bukan saja menggambarkan sifat tamak, tidak bersyukur bahkan tidak tahu mengenang budi.
 
Dan orang Melayu apabila budi dikaitkan, ia mudah jadi cair lalu menyerah dan mengalah. Jika dulunya ada rasa benci dan geram, ianya turut luntur dengan memujuk hati mereka bahawa 'yang dah lepas itu, lupakan saja'.
 
Itulah bezanya antara Melayu dan China.

Tapi bukan itu yang saya mahu bicarakan selanjutnya. Saya hanya mahu terus berbicara dengan satu pertanyaan kepada orang Melayu: Apakah pilihan mereka (termasuk saya) jika ditanya dan diminta membuat pilihan diantara Melayu Yang Bermaruah dan Ketuanan Melayu, yang mana satu pilihan orang Melayu.
 
Saya memilih Melayu Yang Bermaruah.
 
Melayu Yang Bermaruah dan Ketuanan Melayu tidak sama, jaraknya bagai langit dengan bumi. Kandungannya dari segi konsep, matlamat dan semangat berbeza. Kedua-dua tidak serasi, tidak sekupu (incompatible), tidak boleh tinggal serumah atau dibawah satu bumbung yang sama, dan saling kontradik. 

Namun kedua-duanya mencari perkara yang sama: mencari nilai-nilai murni (good virtues) seperti beramanah, bercakap benar, tepati janji, bersifat adil, bertolongan dan bantu membantu, berilmu dan berkemahiran, integriti, menjaga kehormatan dan harga diri, beradab dan bersopan dan sebagainya. 
 
Yang memisahkan MELAYU YANG BERMARUAH dan KETUANAN MELAYU ialah  matlamatnya. Melayu Yang Bermaruah mencari, memelihara, menyemai dan menyubur , mengekal dan mempertahankan MARUAH yang berpaksikan kepada Nilai-nilai Murni yang disebutkan itu. MARUAH menjadi matlamat dan bersifat dominan.

Ertinya dalam mencari dan menyuburkan serta mengamalkan sifat menepati janji, misalnya, ianya dilakukan semata-mata kerana untuk menjadi MELAYU YANG BERMARUAH, tidak ada lain dari itu. Kalau berjanji hanya kerana mahu menjaga martabat Melayu.

Sebaliknya KETUANAN MELAYU yang juga mencari untuk memiliki nilai-nilai murni yang sama, yang ada setengah pihak mengatakan demi martabat Melayu , tertegak atas paksi KUASA iaitu Memiliki dan Mengekalkan kuasa Melayu. Dominannya ialah KUASA.

Demi kuasa Melayu, nilai-nilai murni seperti bercakap benar boleh dikompromi atau diketepikan sahaja. Amanah bisa sahaja menjadi cair mengalir ke dalam longkang demi kuasa Melayu.

Melayu Yang Bermaruah tidak perlu hiraki. 
 
Ketuanan Melayu tertegak  memerlukan hiraki--ada TUAN ada SAHAYA yang secara mudah kita dapat kenalpasti melalui pertanyaan seperti berikut: Kamu siapa dan saya siapa.
 
Contoh jawapan dari soalan diatas:
 
Kamu orang luar atau pendatang. Saya anak watan, anak jati negara ini.

atau

Kamu bukan parti saya. Saya parti yang memerintah ketika ini.

Maka sifat murni yang ada, misalnya menepati janji mudah sahaja di ketepikan berdasarkan kamu siapa dan saya siapa. Berbohongpun tidak menjadi masalah asalkan KUASA dapat dimilikki atau kekal selama-lamanya, dari dulu dan kini.

Sekali lagi saya bertanya: Apakah pilihan terbaik bagi kita orang Melayu- Melayu Yang Bermaruah atau Ketuanan Melayu?

Saya telah buat pilihan> Saya pilih Melayu Yang Bermaruah demi kesinambungan generasi Melayu.

Memilih Ketuanan Melayu akan berakhir dengan kemusnahan Melayu itu sendiri kerana nilai-nilai murni yang dimiliki oleh orang Melayu akan terhakis dalam perjalanan masa. 

KUASA tidak kekal kerana dengan KUASA ianya boleh memusnahkan nilai-nilai murni yang menjadi asas dalam kelangsungan sebuah peradaban bangsa.


 
 
 





 


 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan