Theflowersellingboy

Selasa, 25 Februari 2014

BASIKAL TUA YANG BERJASA

Isnin hingga Jumaat, melainkan hari cuti yang diistiharkan, aku mulai bersiap untuk ke sekolah sejak pukul lima pagi. Bersiap, hanya bermakna memakai uniform sekolah, kasut getah Fong Keong dan beg sekolah, tanpa mandi pagi, kerana air perigi terlalu sejuk, sampai ketulang rasa sejuknya.

Kampongku terletak di ulu bandar, sembilan batu jaraknya. Maka ianya tidak mempunyai daya tarikan kepada ahli perniagaan , termasuk mereka yang terlibat dalam bidang pengangkutan, seperti perkhidmatan bas, kerana tidak mungkin boleh meraih keuntungan. 

Tiada perkhidmatan bas di awal pagi. Bas hanya memasuki ke kampongku pada pukul 10 pagi, 2 dan 5 petang saja.

Setiap hari bersekolah, aku dengan malas tapi penuh taat mengayuh basikal tua ke kampong yang berdekatan untuk mendapatkan perkhidmatan bas menuju ke sekolah. Basikal tua itu aku tumpangkan di sebuah rumah di kampong itu, dengan izin tuan rumah, tanpa dikenakan bayaran.

Bagi aku basikal itu memenuhi syarat untuk dipanggil sebagai basikal tua. Segala-galanya seperti seorang tua, misalnya tiada gigi dan kurang daya berfungsi -basikal itu tiada brek, tiada loceng, tiada lampu, tayar depan belakang, botak gila; tempat duduk hanya tinggal rangka besi berspring saja, yang melecetkan punggung, dan mengeluarkan bunyi bising semasa membuat dikayuh.

Tapi basikal itulah yang telah memberi perkhidmatan yang begitu setia, semenjak dari tingkatan satu sehingga tingkatan tiga. 

Sayang sekali basikal tua yang penuh berjasa itu tidak dirakamkan secara bergambar sebagai kenangan jasa yang telah diberikan. Waktu itu aku tidak langsung ada keinginan untuk berbuat demikian. Tapi kalau ada pun keinginan, ianya mustahil dapat dilakukan kerana pada waktu  itu kamera adalah satu barang bertaraf terlalu mewah seperti memiliki sebuah kereta ferari ketika ini. 

Basikal tua, jasamu tetap dikenang.

Tanpa brek, tanpa loceng, tayar yang botak dan daya kekuatan yang sudah luntur, dapat juga aku menfaatkan basikal tua itu selama tiga tahun. Sepanjang tiga tahun itu, alhamdulillah tidak ada banyak masalah timbul. Tidak pernah berlaku perlanggaran. Selagi kaki aku kuat mengayuhnya, selama itulah basikal itu boleh membawa aku ke rumah tempat tumpangan basikal itu. Dan aku menyambung untuk ke sekolah dengan menaikki bas.

Brek tidak jadi masalah. Apabila menuruni bukit, kedua-kedua tapak kasutku akan diletakkan masing-masingnya di rim kiri dan kanan roda/tayar basikal, untuk menahan atau memperlahan kelajuan basikal itu. Bunyi bising kayuhan basikal itu sudah cukup untuk menjadi loceng.  Cuma punggung aku sentiasa melecet disebabkan geselan dengan rangka besi tempat duduk spring yang telah putus-putus.

Namun begitu, ada satu masalah besar yang aku hadapi. Masalah rasa malu. Malu pada kawan-kawan dan orang-orang yang melihat aku mengayuh basikal tua itu.

Masalah ini aku hadapi setiap kali aku mengayuh balik dari rumah tumpangan itu ke rumah aku. Aku merasakan ramai orang memerhatikan aku seolah-olah akulah yang menjadi minat dan tumpuan mereka. Apakan tidak, kerana bunyi bising dari kayuhan basikal itu boleh menarik perhatian orang.

Memang aku sangat malu apabila ada pihak yang memandang padaku, baik yang muda, tua atau yang sebaya, lelaki atau perempuan. Aku buat-buat tidak ambil kisah . Aku memandang lurus ke hadapan dan kadang-kadang tunduk. 

Jika ada yang menegur atau memangil, aku buat tak dengar saja. Apatah lagi jika ada yang memangil 'karipap' atau nasi 'lemak' dan nama-nama kuih yang aku biasa jual. Aku ada nama, tapi nama jenis kuih yang aku jual dipanggilnya. "Oiii karipap", sebagai ganti nama aku.

Memang aku sangat malu menggunakan basikal tua itu. Aku teramat malu jika yang melihat itu ialah kawan-kawan sebaya terutama yang perempuan. Tiada perkataan yang dapat menceritakan betapa malunya aku. Tambah-tambah jika aku terdengar mereka ketawa. Aku merasakan mereka ketawakan aku walaupun tidak semestinya begitu.

Jadi aku lebih suka sampai cepat ke rumah, dan tidak pernah singgah dimana-mana. Lagipun aku perlu menjalankan satu tugas yang lain -menjaga lembu yang aku selalu ceritakan kepada anak cucu sebagai menjaga kuda.

Khidmat basikal tua itu hanya bertahan selama tiga tahun. Bukan kerana tidak mempunyai kemampuan memberi khidmat tapi kerana aku telah meninggalkannya. Basikal itu aku sandarkan ditiang dibawah rumah. 

Aku ditawarkan untuk meneruskan pelajaran di Kuala lumpur, disebuah sekolah asrama penuh. Aku rasa gembira dan bangga. 

Tapi aku lupa akan jasa yang telah diberikan oleh basikal tua itu. 

Tanpa mengucapkan terima kasih atas taat setia khidmat yang diberi dan tanpa menoleh memberi mata pada basikal tua itu, tanpa mengucapkan selamat tinggal, aku ke Kuala Lumpur. Aku ke sekolah asrama penuh. Basikal tidak perlu bagiku lagi.

Sombongnya aku ketika itu.

Tapi tidak sekarang ini, sewaktu mengingat kembali antara berbagai kisah lama. Basikal tua adalah satu diantaranya.

Jangan lupa pada orang tua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan