Theflowersellingboy

Selasa, 25 Februari 2014

CUCU_CUCU YANG DI KASIHI.: Terimalah Khidmat Datuk dan Nenek




Bertambah lagi seorang menjadikan semuanya tiga. Lelaki juga. Dan ada berita baik, akan datang seorang lagi, September/Oktober tahun ini, inshaAllah. Lelaki atau perempuan?      Mengharapkan perempuan, itu doa yang dipohon dari Allah SWT. Tapi , redha dengan kurniaan Allah nanti, dan memohon yang terbaik, yang sempurna sifat, dan sihat tubuh badan dan akal fikiran; dan cucu yang soleh/solehah.

Pada malam 17 memasuki 18 Februari 2014 yang baru lepas ini maka seorang bayi lelaki selamat dilahirkan pada jam 12 malam memasuki 1 pagi di hospital Putra Jaya.
Pada malam itu. seperti malam-malam yang lain, saya masih lagi belum tidur walaupun sudah pukul12 malam lebih. Sekejap mengiring ke kiri dan sekejap ke kanan sambil menutp mata  rapat untuk tidur. Tapi tidak juga dapat tidur.

Banyak benda yang datang dalam otak kepala. Lepas satu , satu hal semacam cerita bersiri yang tidak ada kaitan diantara satu dengan lain. Ingat fasal urusan anak kahwin bulan September nanti; fasal umur yang semakin meningkat dan persiapan akhirat yang tidak sebanyak mana; fasal anak yang akan habis belajar tahun depan dengan mengharapkan dapat segera bekerja; fasal  duduk di Putra Jaya untuk menjaga bakal cucu, dan....

Tiba-tiba henfon yang ada diatas meja tepi berbunyi. Jelas tertera nama pemanggil. Sudah dapat meneka cerita yang bakal disampaikan. Mesti cerita dari Putra Jaya.
Benar, anak berada dihospital. 

"Water bag dah pecah, tapi belum bersalin lagi", itu yang diberitahu. 
"Naqib macam mana'? , saya menanyakan cucu, anak sulung yang manja itu. Rasa lega apabila diberitahu Naqib ada bersama dan tiada masalah.

Kami bersegera untuk ke Putra Jaya walaupun air muka isteri menunjukkan semacam ada kerisauan dalam hati tentang keterdayaan saya untuk memandu kereta pada waktu larut malam. Saya meyakinkannya bahawa saya pernah melakukannya semasa bekerja dulu dengan memandu kereta dari Perlis ke KL pada larut malam. Tidak ada masalah.

Isteri mendengar saja cerita itu. Dia tidak mahu berhujah tentang usia saya. Saya percaya mungkin dalam hatinya berkata, "itu waktu muda. Sekarang, dah ujung usia". Kerana cucu, dia lupakan soal itu.

Dalam tempoh sepuluh minit dari panggilan pertama, terima panggilan baru dengan maklumat terkini. Semuanya selamat. Emaknya selamat dan anak yang dilahirpun selamat. Kami bersyukur . Tanpa banyak cerita bergeraklah kami ke Putra Jaya pada jam 1 pagi.   

Dan kami sekarang di Putra jaya menjaga cucu yang baru.

Baru dua hari menjaga cucu di Putra Jaya , kami mendapat berita  baik dari anak yang seorang lagi yang tinggal di Ampang. Bulan September atau Oktober dapat lagi seorang cucu. InsyaAllah. 

Jadi jumlah cucu pada tahun 2014 termasuk bakal yang akan dilahirkan menjadi 4 orang. Alhamdulillah. Harap-harap anak yang akan berkahwin pada Setember nanti akan dukurniakan cahaya mata pada tahun 2015 menjadikan  jumlah semua cucu 5 orang. AMIN.

Sekarang jaga cucu di Putra Jaya. September atau Oktober nanti jaga cucu di Ampang. Tahun 2015 nanti jaga cucu di Pasir Gudang, Johor.

Begitulah khudmat yang mampu diberikan oleh datuk dan nenek kepada cucu-cucu yang di kasihi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan