Theflowersellingboy

Rabu, 12 Februari 2014

Antara Emak dan Abah , Siapa Yang Perlu Kita Lebihkan.



Seorang kawan bertanya diantara emak dan abah (mungkin itu panggilan bagi kedua orang tuanya), siapakah yang anak-anak lebih rapat?

Sebelum sempat saya  memberi jawapan, kawan itu menghuraikan maksud 'lebih rapat'. Katanya bahawa anak-anak itu mudah dan mesra berkomunikasi, bersedia menyatakan sesuatu keperluan dan hasrat tanpa khuatir, ragu dan 'takut', menyebelahi atau berpihak kepada salah seorang diantara mereka (emak dan abah) jika terdapat perbedaan pendapat, atau perselisihan diantara keduanya, lebih menunjukkan kasih sayang dan simpati melebihi diantara salah seorang, dan jika memberi sesuatu misalnya buah tangan, hadiah atau belanja bulanan, pemberian itu lebih disalur atau diunjukkan hanya ke satu pihak saja sama ada emak atau abah.

Saya hanya memberi pandangan bahawa ini adalah satu persoalan yang melibatkan cara membesarkan anak-anak. Bagi saya , pihak mana yang lebih banyak bersama dengan anak-anak, pihak itulah yang ada ruang dan peluang yang lebih bagi menarik perasaan anak-anak itu untuk menyebelahinya. Biasanya , emaklah yang lebih banyak masa bersama dan berkomunikasi dengan anak-anak, terutama jika emak itu sebagai suri rumah.

Tapi ianya bergantung kepada cara dan bagaimana masa yang banyak bersama itu digunakan bagi menarik perasaan anak-anak itu bagi berpihak kepadanya. Ada emak yang banyak bersama dengan anak-anak berbanding dengan seorang abah, tetapi anak-anaknya tidak pula menunjukkan sikap menyebelahi emaknya berbanding dengan abahnya. Mungkin masa kebersamaan itu tidak banyak memupuk bibit-bibit yang melebihkan emak dari abahnya, misalnya berlaku perbezaan pendapat atau perselisihan , pertengkaran atau suruhan-suruhan/perintah emak yang dikatakan menyusah atau memenatkan. Sedangkan abah yang mempunyai masa bersama yang kurang dari emak, jarang sekali mewujudkan suasana perbezaan dan perselisihan, lantas, menarik perasaan senang anak-anak.

Kawan saya itu tidak membantah dan tidak juga mengatakan bersetuju akan pandangan saya itu. Sebaliknya beliau  menceritakan hal dirinya pula. Bahawa dia telah berat sebelah. Dia melebihkan emak dari abahnya. Sepatutnya dia tidak membezakan sikap terhadap kedua orang tuanya itu. Dia mengaku, emaknyalah yang banyak bersama dengan dia dan adik beradiknya berbanding dengan abahnya, lantaran abahnya adalah pencari nafkah keluarga.

Dia merasa sedih kerana tanpa disedari ,dia telah melebihkan emaknya dalam apa saja keadaan atau pertimbangan. Tetapi dia tidak bermaksud untuk menyatakan bahawa dia lebih sayang emak dari abahnya. Dia sayang kedua-duanya. Cuma tanpa disedari, sikapnya, pertimbangannya dan tindak laku dan kelakuannya lebih nampak berat menyebelahi emaknya. Misalnya dalam hal memberi sedikit wang atau hadiah. Wang yang lebih akan diberi kepada emaknya walaupun dia tahu wang itu sebenarnya akan juga dimenfaatkan untuk abahnya. 

Akhirnya pada suatu hari, beliau tersentak apabila abahnya meminta sedikit wang untuk berbelanja minum kopi, ketika dia memberikan wang belanja bulanan kepada emaknya. Dia segera menghulurkan wang sebanyak RM20.00 kepada abahnya. Bukan main seronok dan cerianya wajah abahnya. Namun dia mahu bertanya emaknya sama ada wang bulanan yang telah diberikan tidak pernah dimenfaatkan oleh abahnya. Emaknya memberitahu bahawa abahnya juga diberikan belanja termasuk untuk minum kopi diwarung. Cuma, kata emaknya, abahnya hendak sendiri wang itu dihulurkan kepadanya. Kecil atau besar nilai wang itu tidak penting.

Mulai dari itu, dia bersikap tidak memihak. Walaupun misalnya abahnya yang bersalah, dia tidak memihak pada emaknya. Dia biarkan saja mereka menguruskan perbalahan atau perbezaan itu. Yang penting mereka itu ialah emak dan abahnya. Tanpa mereka berdua, tanpa izin Allah, dia tidak ada di dunia.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan