Theflowersellingboy

Rabu, 17 Julai 2013

PERCUTIAN KELUARGA DI LANGKAWI: Penerbangan Dengan Pesawat MAS.

Pada 4  Julai yang lepas, hari Jumaat, kami sekeluarga ke Langkawi, sebuah percutian keluarga pada tahun ini.

Percutian ini adalah percutian yang dirancang oleh anak-anak saya. Maka segala persediaan adalah diuruskan secara pakatan oleh mereka semua termasuk pemilihan pengangkutan, hotel dan tempat dan aktiviti yang hendak dilakukan. Perbelanjaan pula adalah secara bersama yang dibahagikan mengikut keluarga. 

Ada 3 keluarga kecil. Pertama terdiri dari saya dan isteri, serta dua orang anak yang masih belum berumahtangga. Kedua dan ketiga ialah dua orang anak dan dua orang menantu yang masing-masing mempunyai seorang anak berusia 3 dan 2 tahun. 

Kami ke Langkawi dengan penerbangan MAS yang dijadualkan terbang pada 8.30 pagi. Tapi dua kali waktu penerbangan ditangguhkan iaitu pada pukul 9 dan 10 pagi. MAS memberi alasan bahawa pihaknya mengalami masalah opersai apabila krew penerbangan yang bertanggungjawab bagi penerbangan itu tidak hadir dan terpaksa diambilalih oleh krew yang lain.

Maka penumpang-penumpang tidak dapat berbuat apa-apa selain menerima saja keadaan yang berlaku dengan rasa kesal. Bagi kami sekeluarga pula merasa kesal juga kerana kami telah bangun seawal 4 pagi untuk menyiapkan diri. Maklumlah kami ada anak-anak kecil dan jarak jauh perjalanan dari rumah ke KLIA memakan masa. Dan kami tidak mahu terperangkap dengan kesesakan yang mungkin tidak disangka selain untuk dapat menunaikan fardhu solat Subuh di KLIA.

Jadi bangun 4 pagi itu nampaknya tidak berbaloi. Kesian kepada cucu-cucu saya yang masih kecil itu yang terpaksa bangun awal pada ketika sedang lena tidur.

MAS hanya memberi alasan penangguhan dan memohon maaf. Setakat itu saja. Mungkin bagi MAS cara begitu sudah mencukupi untuk menghilangkan rasa gelisah para penumpang. Dapat menyejukkan hati penumpang.

Tapi alasan penangguhan penerbangan itu tidak wajar dibebankan kepada penumpang. Ketiadaan krew untuk menguruskan penerbagan pada waktu yang telah dijadualkan itu menunjukkan bahawa ada kelemahan dalam menyediakan krew bagi satu-satu penerbangan. 

Ini bukan masalah teknikal misalnya kerosakan pesawat. Ini adalah masalah mengaturkan krew bagi satu-satu penerbangan.  Kalau urusan seperti ini tidak mampu dilakukan oleh MAS, bagaimanakah agaknya MAS menguruskan satu perkhidmatan udara kebangsaan yang boleh bersaing dan yang boleh menjana keuntungan. Ohh ...tidak hairanlah MAS sentiasa rugi. Mungkin penangguhan atas alasan operasi merupakan satu dari contoh cara mana MAS diuruskan.

Itu adalah masalah MAS. Masalah yang dibebankan kepada penumpang tidak pula diambil kira oleh MAS. Hanya mohon maaf saja. Bagaimanakah agaknya jika ada diantara penumpang mempunyai urusan perniagaan yang penting yang perlu diputuskan segera pada waktu yang telah dipersetujui. Dan kelewatan penerbangan membuatkan keputusan perniagaan yang penting itu tidak dapat dilaksanakan. Terlepaslah peluang ahli perniagaan itu.

Sudah tentu keadaan ini memberi imej tidak sihat kepada perniagaan MAS.

Pada hari itu, bukankah ada baiknya MAS sediakan sedikit minuman kepada para penumpang. Beri air mineral isian yang kecilpun rasanya boleh membantu mengurangkan rasa gelisah penumpang.

MAS akan tidak membenarkan para penumpang untuk check-in jika penumpang tidak mematuhi waktu chek-in yang ditetapkan. MAS meletakkan kesalahan kepada penumpang kerana tidak mematuhi peraturan penerbangan. Itu adalah satu perauran yang munasabah. Dalam keadaan yang sama MAS hanya dengan mudah memohon maaf jika berlaku penangguhan penerbangan. Itu saja. 

Adakah itu kaedah yang digunakan MAS dalam berurusan dengan pengguna?

Penerbangan percutian kami di Langkawi walaupun ada sedikit penangguhan akhirnya selamat mendarat di Langkawi. Dan dari lapangan terbang Langkawi bermulalah kisah-kisah percutian kami dalam sebuah keluarga besar di Pulau Mahsuri. Ada yang seronok dan ada hal-hal yang mengusik rasa hati dan ketahanan fizikal diantara beberapa dari anggota keluarga kami.      

Bersambung..... ada cerita tentang tahap perkhidmatan, kesabaran, ketahanan fizikal, pengurusan produk perlancungan dan kos yang tinggi dalam sebuah destinasi pelancungan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan